Skip to main content

Singapura

Rawatan baharu ekzema ditawarkan di SG, kos tinggi jadi hambatan

Anggaran Waktu Membaca:
Rawatan baharu ekzema ditawarkan di SG, kos tinggi jadi hambatan

Ekzema menjejas satu daripada lima kanak-kanak dan satu daripada 10 orang dewasa di Singapura. (Gambar: iStock/Evgeniia Gordeeva)

SINGAPURA: Apabila penyakit ekzema beliau merebak, Cik Chloe Ng mendapatinya sukar untuk memegang pen atau sudu kerana jari-jarinya dipenuhi luka-luka.

Selama bertahun-tahun, beliau mencuba pelbagai rawatan termasuk steroid dan ubat imunosupresif. Walaupun ia memberi sedikit kelegaan, rawatan tersebut turut menyebabkan kesan sampingan yang ketara.

Perubahan besar berlaku pada 2021 apabila beliau mencuba rawatan baharu di Pusat Kulit Kebangsaan (NSC). Ubat oral Janus kinase (JAK) - ubat yang menyekat respons imun tertentu - didapati paling berkesan.

“Saya boleh menjalani kehidupan normal selepas mengambil ubat ini. Jika tidak, saya tidak boleh tidur. Sejak 2008 hingga sehari sebelum mencuba ubat ini, saya tidak tidur lena selama bertahun-tahun,” kata Cik Ng, 43 tahun, yang mula mengalami ekzema sejak usia 20-an tahun.

Dermatitis atopik, bentuk ekzema paling lazim, ialah penyakit radang kronik yang menjejas kira-kira seperlima kanak-kanak sekolah dan satu daripada 10 orang dewasa. Ia menyebabkan kulit gatal, kering dan radang.

Terapi bersasar yang baru diperkenalkan seperti ubat JAK dan biologik kini muncul sebagai pilihan yang lebih selamat dan berkesan bagi menangani kes-kes sederhana hingga teruk, namun kosnya tinggi dan tidak dimampui ramai.

JAK membantu menghilangkan kira-kira 95 peratus ekzema Cik Ng, tetapi menelan belanja sekitar S$1,200 sebulan. Kini beliau beralih kepada ubat yang lebih dimampui untuk mengawal keadaannya.

RAWATAN TERKINI

Kebanyakan pesakit ekzema boleh mengawal keadaan dengan krim sapuan, pelembap dan mengelakkan bahan pencetus, kata Dr Yew Yik Weng, pakar dermatologi kanan di Pusat Kulit Kebangsaan.

Sekitar 20 peratus pesakit, yang mengalami penyakit ekzema yang tidak dikawal dengan baik, memerlukan rawatan sistemik.

Sebelum ini, kes-kes teruk bergantung kepada ubat imunosupresif yang menekan sistem imun secara menyeluruh, tetapi ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti tekanan darah tinggi, jangkitan dan peningkatan risiko barah.

Sejak 2019, Singapura meluluskan penggunaan ubat biologik seperti dupilumab (Dupixent) – untuk merawat ekzema sederhana hingga teruk.

Berbeza dengan ubat imunosupresif, biologik menyasarkan laluan imun tertentu yang diaktifkan semasa serangan ekzema.

Teorinya ialah jika hanya laluan khusus itu disekat, ekzema boleh dikawal tanpa menekan keseluruhan sistem imun, kata Dr Yew.

Ubat JAK pula diperkenalkan pada awal 2020-an, yang menyekat enzim terlibat dalam isyarat imun yang mencetuskan keradangan.

Dr Uma Alagappan, pakar dermatologi di The Dermatology Clinic, berkata terapi ini kini menjadi pilihan rawatan barisan pertama atau kedua bagi ekzema sederhana hingga teruk, serta alternatif bagi kes-kes ringan yang tidak memberi respons terhadap steroid sapuan.

Kelegaan juga lebih pantas: pesakit yang mengambil JAK boleh melihat kemajuan dalam masa beberapa hari, manakala ubat jenis biologik pula dalam tempoh beberapa minggu - berbanding beberapa bulan bagi ubat imunosupresif.

Dalam ujian klinikal, sekitar 44 hingga 51 peratus orang dewasa yang dirawat dengan Dupixent sahaja mencapai kemajuan 75 peratus pada tahap keterukan ekzema dalam tempoh 16 minggu, menurut para pengeluar.

“Dari segi sosioekonomi, ia boleh memberi kesan besar kepada golongan dewasa muda … hanya dengan merawat kulit, ia memberi mereka keyakinan yang jauh lebih tinggi,” kata Dr Uma.

KOS RAWATAN TINGGI

Namun, harganya kekal menjadi hambatan besar kepada para pesakit.

Satu suntikan Dupixent menelan belanja lebih S$900 bagi Encik Reyes Lim.

Ekzema remaja berusia 19 tahun itu menjadi lebih teruk ketika beliau berusia 16 tahun, dan selepas tidak mendapat kelegaan daripada rawatan perubatan Barat atau tradisional Cina, beliau mula menggunakan Dupixent pada Januari.

Rasa gatal pada kulit kepalanya hilang hampir serta-merta dan tidurnya bertambah lena, walaupun kulitnya belum pulih sepenuhnya.

“Saya agak berpuas hati dengan rawatan tersebut setakat ini. Cuma yang saya tidak mampu tanggung ialah harganya,” kongsi beliau.

JAK juga mahal, antara S$500 hingga sekitar S$2,000 sebulan, kata Profesor Madya Klinikal Mark Koh, ketua dan perunding kanan di jabatan dermatologi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Daripada beberapa terapi bersasar ini, hanya satu - abrocitinib (Cibinqo), sejenis ubat JAK - diberi subsidi di bawah Dana Bantuan Ubat Kementerian Kesihatan (MOH) selepas dimasukkan ke dalam senarai tersebut pada Mac 2024.

Rakyat Singapura yang layak boleh menerima subsidi sehingga 75 peratus, bergantung kepada pendapatan isi rumah, menjadikan kos pil dengan dos lebih tinggi sekitar S$300 hingga S$900 sebulan.

Ubat ini begitu mahal kerana paten ubat biasanya sekitar 20 tahun, memberikan monopoli kepada pengeluar yang turut menghapuskan persaingan.

Bagi ubat jenis biologik khususnya, proses pengeluaran yang bersifat biologi - bukan kimia - adalah lebih mahal dan sukar dihasilkan semula, kata Dr Yew.

Dupixent diberi subsidi di beberapa bahagian Eropah, Kanada dan Australia, tetapi tidak di Singapura.

Pada November 2024, Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Janil Puthucheary berkata di parlimen bahawa Dupixent tidak disyorkan untuk diberi subsidi kerana manfaatnya tidak sepadan dengan kos pada harga yang dicadangkan oleh pengeluar.

Cibinqo, ubat oral, dinilai sekurang-kurangnya sama berkesan dan disediakan pada harga lebih rendah, katanya lagi.

“Jika pesakit menghadapi kesukaran untuk menampung kos dupilumab, mereka boleh menghubungi pekerja sosial perubatan di institusi penjagaan kesihatan awam untuk memohon bantuan kewangan melalui MediFund,” kata Dr Janil.

Namun, JAK seperti Cibinqo mungkin tidak sesuai untuk semua pesakit - mereka yang lebih berusia atau mempunyai lebih banyak penyakit mungkin tidak digalakkan mengambil ubat ini kerana profil keselamatannya yang lebih rendah, kata Dr Uma.

Bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, hanya Dupixent dan baricitinib (Olumiant) diluluskan di Singapura.

Dr Koh dari KKH, yang kebanyakannya merawat kes kanak-kanak, berkata akses lebih baik kepada rawatan baharu akan membantu, mengambil kira kesan penyakit ini yang lebih luas.

“Tidur yang lena pada waktu malam adalah hak semua orang, terutamanya kanak-kanak. Dan ekzema, walaupun hanya pada kulit … ia sebenarnya penyakit sistemik,” katanya.

Pesakit mungkin tidak membesar dengan baik, atau tidak mahu ke sekolah atau bersosial, tambahnya.

MENANGANI PENYAKIT KRONIK

Dr Yew menegaskan bahawa rawatan ini bukan penawar - ia setakat memberi masa untuk kulit pesakit sembuh.

“Kami memberitahu pesakit bahawa semua ubat ini bukan untuk menyembuhkan mereka. Ia untuk mengawal keadaan supaya kulit mempunyai peluang untuk pulih, dan apabila kulit pulih, mereka tidak lagi memerlukan ubat ini,” katanya.

Pesakit biasanya mencuba rawatan ini selama kira-kira setahun sebelum mengurangkan penggunaannya.

Rawatan ini juga hanya menangani satu aspek ekzema, iaitu mengurangkan keradangan. Cara ia ditangani masih memerlukan pelembapan, mengelakkan bahan pencetus, mengawal kegatalan dan merawat jangkitan kulit.

“Mereka tidak sepatutnya melihat ubat-ubat ini sebagai penyelesaian mutlak. Hakikatnya, pendekatan bersifat gabungan amat diperlukan,” katanya.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita