Ratusan rentas pusat pemeriksaan pada hari pertama pembukaan semula sempadan S'pura-M'sia
Beratus-ratus orang merentas pusat pemeriksaan di Woodlands dan Linkedua sedang Singapura dan Malaysia membuka sepenuhnya sempadan darat pada Jumaat (1 Apr).
(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Beratus-ratus orang merentas pusat pemeriksaan di Woodlands dan Linkedua sedang Singapura dan Malaysia membuka sepenuhnya sempadan darat pada Jumaat (1 Apr).
Ini merupakan kali pertama dalam masa dua tahun di mana orang ramai boleh melakukan perjalanan antara kedua-dua negara dengan menaiki pengangkutan privet tanpa perlu mengambil ujian atau menjalani pengasingan kendiri.
Pelawat harus sudah lengkap divaksin, dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang belum lengkap divaksin perlu diiringi seorang dewasa yang sudah lengkap divaksin.
Orang ramai mula beratur panjang di Pusat Pemeriksaan Woodlands lebih sejam sebelum sempadan dibuka sepenuhnya.
Hanya beberapa minit sebelum sempadan dibuka semula, beberapa pemandu menekan hon kenderaan sedang beberapa penunggang motosikal pertama memasuki laluan pelepasan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Ramai yang bersorak dan melambai-lambaikan tangan mereka sedang mereka menghampiri penghadang jalan.
Pemandu juga menunggu giliran masing-masing sedang mereka menghampiri pondok pelepasan di Pusat Pemeriksaan Woodlands, dengan ramai yang melambai-lambai ke arah pemandu lain.
Penolong Pesuruhjaya Kanan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Chua Tuan Meng berkata pembukaan semula sempadan darat itu menandakan "detik bersejarah signifikan ke arah hidup bersama COVID-19".
"ICA dan agensi-agensi yang lain sudah bekerja rapat dengan rakan sejawatan kami dari Malaysia untuk membuka semula sempadan kedua-dua negara secara selamat dan teratur sepanjang beberapa bulan lalu," katanya.
"Ia sudah menjangkau lebih dua tahun sejak sekatan sempadan dilaksanakan di pusat-pusat pemeriksaan darat.
"Sejak tengah malam, operasi di kedua-dua pusat pemeriksaan darat berjalan dengan lancar. Pelawat yang mempunyai dokumen diperlukan dapat melepasi pusat pemeriksaan ini dengan mudah."
Beliau mengingatkan mereka yang melakukan perjalanan supaya menyediakan dokumen-dokumen penting sebelum tiba di pusat pemeriksaan.
"ICA akan terus memantau keadaan dan menyesuaikan proses-proses di sana bagi memperbaiki pengalaman pelepasan pusat pemeriksaan bagi pelawat," katanya.
Dalam satu kenyataan pada Khamis malam (31 Mac), ICA menyatakan bersama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (ICA), kedua-dua agensi sudah mengekalkan, mempertingkatdan menguji sistem bagi memastikan kesediaan dan kecekapan operasi.
Ia menambah bahawa pelan kecemasan dilakarkan bagi menangani sebarang "keadaan lalu lintas yang tidak diduga".
Di bawah peraturan baru, had terhadap jumlah pelawat harian digugurkan. Pelawat juga bebas untuk melakukan perjalanan ke kedua-dua negara bila-bila mereka ingin melakukan demikian.
Sebelum ini, pelawat perlu menaiki khidmat bas khusus di bawah laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL).
Meskipun pelawat tidak lagi perlu memohon bagi kelulusan untuk memasuki Singapura, mereka perlu mempunyai dokumen perjalanan yang sah, seperti pasport dan permit kemasukan kenderaan sebelum tiba di pusat-puast pemeriksaan.
Semua pelawat termasuk rakyat Singapura, penduduk tetap Singapura dan pemegang pas jangka panjang harus selesai mengisi Kad Ketibaan SG mereka dalam tempoh tiga hari sebelum mereka ke pusat pemeriksaan dan menyerahkan sijil vaksinasi digital mereka terlebih awal di laman SafeTravel.
Sebelum COVID-19, sekitar 400,000 orang merentasi Koswe setiap hari, kata Ketua Menteri Johor Onn Hafiz Ghazi sebelum ini. Beliau berkata pihak berkuasa Johor menjangkakan jumlah pelawat yang serupa antara 1 April dengan 7 April.
Bagi mengurangkan kelengahan dan memudahkan perjalanan kenderaan, kerajaan Malaysia mengumumkan pada awal minggu ini bahawa bayaran tol di Koswe dan kompleks Linkedua akan dikecualikan antara 1 April dengan 7 April.
Pengecualian bayaran tol di kompleks imigresen itu dilaksanakan selain daripada pengecualian cukai jalan raya sebanyak RM20 (S$6.43) yang diumumkan pada Isnin (18 Mac) bagi kenderaan berdaftar Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.