Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ratianah Tahir bertekad 'hidupkan semula' rasa cinta masyarakat kepada baju kebaya

Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam kedai 'Kebaya by Ratianah' di Bussorah Street, anda seolah-olah dibawa menerawang ke era tahun 1950-an di Singapura, dikelilingi dengan pelbagai perabot vintaj dan alunan suara merdu P Ramlee dan Saloma yang mendendangkan lagu-lagu Melayu klasik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam kedai 'Kebaya by Ratianah' di Bussorah Street, anda seolah-olah dibawa menerawang ke era tahun 1950-an di Singapura, dikelilingi dengan pelbagai perabot vintaj dan alunan suara merdu P Ramlee dan Saloma yang mendendangkan lagu-lagu Melayu klasik.

Kedai seluas tiga ruang runcit di Kampong Gelam itu dikendalikan oleh Cik Ratianah Tahir, 51 tahun, bersama suami dan anak perempuannya.

Sebagai pereka fesyen baju kebaya tersohor di sini, beberapa pasang baju rekaan Cik Ratianah pernah diperagakan oleh personaliti-personaliti terkenal di Singapura.

Ini termasuk pelakon-pelakon wanita seperti Nurul Aini dan Sheiryn Aisiqa dalam drama Melayu berjudul 'Bunga Tanjong'.

Menerusi pakaian rekaannya, Cik Ratianah berharap dapat "menghidupkan semula rasa cinta orang ramai kepada baju kebaya", iaitu sesuatu yang menurutnya, hampir ditelan zaman dek kemodenan dan kerana budaya Melayu semakin dipengaruhi oleh budaya Arab.

"Masihkah anda ingat sewaktu nenek, ibu dan makcik anda memakai baju kurung? Mereka semua memakai baju kurung dan kebaya. Dan ini bukan sahaja bagi kaum Melayu atau Cina - kaum India dan Serani juga memakainya.

"Ia adalah ikon Nusantara - bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

"Kita semua berkongsi minat yang sama terhadap baju kebaya dan baju kurung. Ini yang sedang saya berikan tumpuan," katanya.

HIDUPKAN SEMULA RASA CINTA KEPADA KEBAYA

Apakah yang diperlukan untuk mengembalikan keanggunan fesyen tradisional itu?

Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.

"Baju kurung dan baju kebaya sudah bertahan selama lebih daripada 100 tahun. Anda boleh membuat perubahan, tetapi ia harus kelihatan anggun dan segar, dan bukan malap dan tidak berseri.

"Anda harus mengekalkan keanggunannya, bermula dari kain, menggunting dan menjahit hingga ke perkara-perkara yang lebih seni dan halus seperti sulaman dan pilihan warna.

"Mutu kain juga sangat penting. Orang pada masa itu sangat halus dan telaten dalam pemilihan kain - biasanya ia adalah kain-kain yang diperbuat daripada serat kapas atau kain 'rubiah Swiss'," kata Cik Ratianah yang berpengalaman lebih 30 tahun menjahit.

Di butiknya, Cik Ratianah merancang untuk mengembalikan jahitan 'ikut ukuran badan'.

"Mesti ada minat yang mendalam untuk menghasilkan baju kebaya. Ia haruslah sesuatu yang dibuat kerana minat. Dahulu, anda kenal siapa tukang jahit anda, tetapi sekarang, dengan pakaian yang dihasilkan pada jumlah yang banyak, anda tidak kenal mereka sama sekali.

"Saya memberikan banyak perhatian kepada jahitan. Apabila anda memakai baju kebaya, tanpa mengira saiz tubuh badan anda, ia harus kelihatan anggun. Ia sepatutnya sesuai dengan tubuh badan anda," katanya.

Setelah lebih dua dekad berkecimpung dalam perniagaan itu, Cik Ratianah tidak banyak melakukan jahitannya sendiri lagi. Sebaliknya, beliau menggajikan tukang jahit dari merata rantau ini.

"Sulaman di Singapura kini sangat mahal dan anda perlu mencari individu yang benar-benar memahami cita rasa dan gaya anda. Para pekerja saya sudah lama bekerja dengan saya - lebih daripada 10 tahun," katanya.

MENDAKAPI PERUBAHAN

Sekalipun berkecimpung dalam industri yang sering mengalami perubahan, Cik Ratianah berkongsi dengan CNA Women bahawa kejayaan yang dikecapinya adalah berkat keupayaannya untuk merubah perniagaannya.

Seorang wanita progresif, kata Cik Ratianah, adalah seseorang "yang tidak pernah berhenti mendidik dirinya sendiri".

"Jangan sesekali berhenti belajar perkara baru. Sesuaikan diri anda dengan persekitaran baru. Jika anda perlu membantu suami anda, teruskan dengan niat anda itu. Jika anda belum mendirikan rumah tangga, maka bantu diri anda sendiri. Jangan berhenti memburu ilmu baru," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan