Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rasional menaikkan GST tidak terjejas oleh hasil projek HSR: Lawrence Wong

Kemungkinan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan dan pengumuman pemerintah bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dinaikkan pada masa akan datang adalah dua perkara berasingan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Rasional menaikkan GST tidak terjejas oleh hasil projek HSR: Lawrence Wong

Menteri Kewangan Kedua Lawrence Wong di Parlimen.

Diterbitkan : 09 Jul 2018 04:26PM Dikemas Kini : 09 Jul 2018 04:28PM

SINGAPURA: Kemungkinan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan dan pengumuman pemerintah bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dinaikkan pada masa akan datang adalah dua perkara berasingan. Demikian menurut Menteri Kewangan Kedua, Lawrence Wong di Parlimen pada Isnin (9 Jul).

Rancangan untuk menaikkan GST tidak pernah bertujuan untuk membiayai pelaburan besar dalam infrastruktur, katanya, sambil menambah bahawa pemerintah mengambil pendekatan yang berbeza terhadap pelaburan sedemikian.

Pertama, pemerintah akan menjimat lebih dahulu dan mengetepikan pembiayaan untuk pelaburan sedemikian menerusi inisiatif seperti Dana Pembangunan Lapangan Terbang Changi dan Dana Infrastruktur Kereta Api. Kedua, pemerintah akan membiayai infrastruktur melalui pinjaman oleh Lembaga Berkanun dan syarikat milik pemerintah.

Ini dilaksanakan bagi pelaburan-pelaburan lebih besar yang dapat menjana manfaat ekonomi selama bertahun-tahun, seperti Terminal Lima Lapangan Terbang Changi, HSR dan Link Sistem Transit Laju JB-Singapura, katanya.

Beliau menjawab soalan AP Parti Pekerja Pritam Singh mengenai implikasi pembatalan HSR terhadap keputusan pemerintah untuk menaikkan GST antara 2021 dan 2025.

Sebab utama untuk peningkatan perbelanjaan pemerintah pada tahun-tahun kebelakangan ini, dan pada masa akan datang, adalah penjagaan kesihatan, keselamatan dan perbelanjaan sosial, kata Encik Wong.

"Ini adalah peningkatan struktural yang meluas dalam perbelanjaan, maka kami perlu meningkatkan hasil, dan rancangan menaikkan GST adalah satu bahagian, untuk membiayai keperluan berterusan ini tahun demi tahun," tambah beliau.

Beliau juga mengatakan bahawa tidak wajar untuk beliau memberikan anggaran jumlah perbelanjaan projek HSR pada masa ini, bagi menjawab soalan-soalan Encik Singh dan Anggota Parlimen Tanpa Kawasanundi Daniel Goh.

"Ia boleh menjejas kelakuan dan strategi harga para pembida," katanya. Beliau menekankan, seperti para menteri lain yang bercakap sebelumnya, sementara menanti pengesahan dari kerajaan Malaysia mengenai keputusannya mengenai projek itu, Singapura terus memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian HSR.

Sumber : CNA/NA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan