Skip to main content

Singapura

Rasel Catering dibenar sambung operasi selepas digantung dek kes keracunan makanan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Syarikat katering makanan Rasel Catering, digantung operasinya pada November 2022 lalu selepas ratusan kes penyakit radang perut dan usus (gastroenteritis) dikesan.

Penggantungan operasi syarikat katering tersebut bagaimanapun ditarik balik pada Khamis (29 Dis).
Operasi syarikat katering tersebut digantung dari 18 November. Ini menyusuli laporan mengenai 345 orang yang mengalami gastroenteritis selepas mereka memakan sajian daripada Rasel Catering antara 8 November dengan 16 November.

Tiada orang yang terjejas dimasukkan ke hospital.

Syarikat katering tersebut sudah menguatkuasakan langkah-langkah yang ditetapkan dan dibenarkan menyambung semula operasi.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan media pada Khamis.

"Syarikat tersebut sudah membuang semua makanan sedia untuk dimakan, makanan yang tidak dibekukan dan bahan makanan yang mudah rosak, serta membersihkan premis mereka, termasuk peralatan dan perkakas, dan membasmi kuman di permukaan yang digunakan bagi penyediaan makanan, meja serta lantai," menurut agensi tersebut.

Para pengendali makanan dan pegawai kebersihan makanan daripada Rasel Catering juga sebelum ini diperlukan untuk menghadiri semula dan lulus kursus kesihatan dan keselamatan makanan.

Menurut MOH dan SFA, syarikat tersebut sudah mengambil beberapa "langkah tambahan", termasuk membersihkan penghawa dingin dan penyedut asap dapur di premis mereka.

Menyusuli pengguguran arahan penggantungan operasi syarikat tersebut, Rasel Catering akan terus dipantau secara rapi dalam memastikan syarikat tersebut mematuhi piawai keselamatan makanan.

SFA sedang mempertimbangkan hasil dapatan siasatan daripada penularan gastroenteritis dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang didapati melanggar Akta Kesihatan Awam Sekitaran.

Mereka yang didapati bersalah akan berdepan dengan denda sehingga S$2,000. Bagi kes dengan kesalahan yang berulang, mereka juga akan dikenakan denda sehingga S$100 setiap hari semasa kesalahan tersebut diteruskan selepas didakwa.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita