Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rasa malu, bersalah dan jangkaan masyarakat: Cabaran penyalahguna dadah wanita

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cik Syamlia mula berjinak-jinak dengan methamphetamine hydrochloride lebih dikenali dengan nama 'Ice', ketika berusia 22 tahun kerana rasa tertekan perlu mengimbangi tuntutan kerja serta menjaga tiga anak kecilnya.

Kini berusia 37 tahun, beliau memberitahu Mediacorp sudah berkali-kali cuba untuk melepaskan diri daripada cengkaman dadah namun sukar untuk melawan ketagihannya itu dengan sendiri.

Rasa khuatir dimalukan atau dihukum orang lain menghambatnya daripada mengakui tentang ketagihannya itu dan mendapatkan bantuan daripada ibu bapa serta suaminya. Dia juga risau akan kehilangan anak-anaknya.

"Dalam masyarakat kita, wanita sepatutnya berkelakuan, menjadi isteri yang baik, menjadi ibu yang baik (dan) menjaga anak-anak, dan jangan melakukan perkara buruk," ujar Cik Syamlia. "Saya berasa seperti saya tidak dapat memberitahu sesiapa."

"Bukan saya tidak tahu ada bantuan seperti di IMH (Institut Kesihatan Mental) tetapi sebaliknya, jika saya ke sana, apa yang akan berlaku? Sekiranya mereka menangkap saya, apa akan terjadi kepada anak-anak saya?"

Cik Syamlia, bergelut dengan ketagihan dadah selama sedekad sebelum menjalani pemulihan.

Disebabkan norma berkaitan jantina, penyalahguna dadah wanita sering melaporkan rasa malu, bersalah dan menyalahkan diri mereka sendiri. Perasaan itu lebih tinggi berbanding kaum lelaki, kata pakar.

"Tekanan masyarakat untuk mematuhi peranan tradisional sebagai isteri atau ibu yang baik boleh menanamkan rasa takut dihakimi, meningkatkan lagi perasaan putus asa dan tidak berdaya," ujar Dr Eliza Yong, kaunselor kanan di Perkhidmatan Pengurusan Ketagihan Nasional IMH.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan kebimbangan akan kehilangan hak penjagaan kanak-kanak, pekerjaan dan sokongan keluarga, menjadikan golongan wanita kurang cenderung untuk mendapatkan atau menjalani rawatan, jelasnya.

Satu laporan tahunan daripada Biro Narkotik Pusat (CNB) yang dikeluarkan awal tahun ini, menunjukkan lebih ramai penagih dadah wanita diberkas pada 2023, dengan jumlahnya naik 11 peratus kepada 454 daripada 408 pada 2022. Penagih wanita bahkan, membentuk 15 peratus daripada semua penyalahguna dadah yang ditahan tahun lalu, melonjak daripada 14 peratus.

Dalam kalangan penagih baharu pada 2023, 182 merupakan kaum wanita, berbanding 171 pada 2022.

Para pakar yang ditemui Mediacorp, berkongsi bahawa angka yang kian meningkat itu tidak mencetuskan sebarang petanda yang membimbangkan. Mereka mengatakan bahawa jumlah keseluruhan penyalahguna dadah wanita di Singapura kekal kecil.

CABARAN BAGI PENAGIH WANITA

Wanita seringkali diperkenalkan kepada dadah oleh seseorang yang rapat dengan mereka seperti pasangannya atau anggota keluarga. Menurut Dr Yong dari IMH, biasanya ia melibatkan latar belakang penderaan, pengabaian atau trauma.

Cik Isabel Tan, pengurus kes di Persatuan Anti-Narkotik Singapura (SANA), turut menyuarakan pendapat yang sama bahawa wanita dalam keadaan sedemikian tidak akan dapat mencari bantuan sewajarnya atau mencari cara yang sihat untuk menangani perasaan putus asa, takut dan marah.

Ini kemudian membawa kepada penyalahgunaan dadah sebagai cara untuk menanganimasalah yang dihadapi.

Dalam beberapa kes lain, dadah digunakan sebagai cara"mengubati sendiri" penyakit seperti rasa sakit kronik, keletihan dan kawalan berat badan. Ini berpunca daripada percubaan atau kekurangan pendidikan ataupun akses kepada maklumat, kata pakar.

Apa pun, penyalahguna dadah wanita mungkin dengan cepat mendapati diri mereka lebih terjerumus dalam ketagihan kerana mereka lebih cepat "terdedah kepada ketergantungan berbanding golongan lelaki", ujar Dr Yong.

RAIH KEMBALI HARGA DIRI

Tidak semua orang dapat bangkit dengan jayanya.


Para pakar berkata ketagihan semula merupakan ancaman sebenar bagi penagih dadah tidak kira usia. Huraiannya melibatkan bukan sahaja merawat ketagihan, tetapi juga menangani isu-isu yang wujud dalam kehidupan penagih itu.

Bagi golongan wanita, faktor seperti hubungan dengan orang lain biasanya memainkan peranan besar dalam proses pemulihan, kata Cik Tan, memetik penyelidikan SANA mengenai penyalahguna dadah wanita dan usaha mereka untuk berhenti atau tidak mengulangi kesalahan.

Untuk membantu bekas pesalah wanita memulakan lembaran baharu, program sokongan melibatkan bantuan berhubung isu hubungan, konflik keluarga dan kesukaran memdapatkan khidmat jagaan, kata pakar.

Perkara itu merupakan bidang tumpuan usaha rumah peralihan Rise Above, iaitu rumah pemulihan yang pertama seumpamanya di Singapura bagi bekas penagih wanita berbilang bangsa dan agama.

Pasukan di Rise Above, yang terdiri daripada kaum wanita sahaja, membantu penghuni untuk menjalin semula hubungan dengan keluarga mereka dengan memudahkan lawatan atau sesi untuk menghuraikan isu-isu yang dihadapi.

Antara lain ia termasuk mengenai hal menguruskan tanggungjawab di rumah dan penjagaan "sebaik" mereka keluar dari penjara, jelas penolong pekerja sosial kanan Nur Hamizah Rahim.

"Harapan (bagi pesalah wanita) untuk menjalankan peranan mereka sebagai ibu, isteri atau anak perempuan biasanya agak segera. Sebaik sahaja mereka keluar, mereka merasakan tekanan daripada keluarga mereka yang sedang menunggu, seperti 'Anda seorang ibu. Bilakah anda akan kembali kepada anak-anak anda?

"Bukan saja keluarga, akan ada juga permintaan daripada sekolah anak-anak mereka atau agensi pemerintah... Di situlah kami tampil dan membantu, bukan sahaja bagi penghuni, tetapi juga keluarga untuk menguruskan jangkaanmereka dan memberitahu semua untuk melakukannya selangkah demi selangkah," tekan Cik Hamizah.

Dengan melakukan demikian, ia dapat membantu wanita meraih semula keyakinan dan harga diri mereka, tambahnya.

Bagi Cik Syamlia sendiri, sejak keluar dari pusat pemulihan beliau menyumbang masa dan pengalamannya di SANA untuk memberi sokongan kepada penagih wanita.

Gambar: Syamlia
Ini termasuk memberi ucapan awam dan ditemu bual media dengan harapan dapat memberi motivas kepada orang lain untuk mengubah hidup mereka.

Namun, tidak semua orang dalam keluarganya menyokong perbuatannya itu. Ibu Cik Syamlia, misalnya bimbang ia mungkin menjejaskan kerjanya atau aspek kehidupan yang lain.

"Saya memberitahu ibu saya bahawa jika semua orang malu menceritakan kisah mereka, maka bagaimana mereka yang terjerat, terutamanya orang muda, tahu bagaimana untuk keluar?" kata Cikgu Syamlia yang bekerja sebagai pentadbir pejabat.

“Kerana saya tidak tahu, maka saya sebelum ini telah meneruskan kesilapan saya. Saya fikir saya akan terus 'terperangkap' dengan sejarah saya menjadi penagih dadah ... sehingga saya mendengar kisah kejayaan. Jadi, saya tahu perkongsian saya boleh membantu.”
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan