"Rasa berat, sulit untuk terus bekerja": Ini luahan anak kapal SIA & Scoot

Anak kapal Singapore Airlines menuju keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney pada 1 November 2021. (Gambar: Saeed Khan/AFP)
SINGAPURA: Bagi salah seorang anak kapal Singapore Airlines (SIA) yang sentiasa gemar melakukan penerbangan sebagai sebahagian daripada tugasnya, tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya dia akan terkurung selama lebih seminggu dalam biliknya sejauh beribu-ribu batu dari Singapura.
Wanita berusia awal 30-an tahun yang meminta agar identitinya tidak didedahkan, menyingkap kembali kejadian baru-baru ini di mana dia diselubungi perasaan panik ketika sedang bersiap sedia untuk menaiki pesawat ke salah satu destinasi di mana sebahagian besar tempoh tersebut dia akan terkurung di dalam bilik hotel.
Masalah keluarga hanya memburukkan lagi kerisauannya.
"Sungguh tertekan semasa membuat persiapan untuk melakukan penerbangan dan pelbagai masalah perlu ditangani. Tetapi, saya biasanya akan mengetepikan masalah-masalah saya sebelum menaik pesawat. Saya juga cuba melakukannya kali ini, tetapi apabila saya berjalan menuju ke pintu masuk terminal, saya berasa panik," katanya kepada Mediacorp.
Dia berasa terlalu panik sehinggakan dia terpaksa meminta sedikit masa untuk menenangkan dirinya di dalam tandas.
"Saya berasa gementar setelah saya menyedari bahawa saya akan terkurung di dalam sebuah bilik selama beberapa malam dan keadaan seperti itu mungkin lebih teruk berbanding dengan keadaan di Singapura. Saya terpaksa menahan diri daripada menangis kerana saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini," katanya lagi.
Pramugari itu adalah antara tujuh anak kapal - termasuk juruterbang, pramugari dan anak kapal lain dari SIA dan Scoot - yang diwawancara oleh Mediacorp dan berasa terkesan dengan sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan ke atas mereka apabila mereka berada di luar negara, sekalipun kawalan sempadan semakin dilonggarkan dan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dilancarkan.
Setakat ini, Singapura sudahpun melancarkan aturan VTL bersama dengan lebih 20 destinasi, termasuk Australia, Jerman, Indonesia, Malaysia, Korea Selatan, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat, walaupun penjualan tiket digantung buat sementara waktu.
Menurut peraturan yang ditetapkan oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), semua anak kapal boleh meninggalkan bilik hotel mereka dan menggunakan kemudahan di tempat penginapan mereka hanya bagi destinasi Kategori 1, iaitu Hong Kong, Macau, tanah besar China dan juga Taiwan.
Namun, Mediacorp turut dimaklumkan bahawa pihak berkuasa di Taiwan, Hong Kong dan Shanghai, China tidak membenarkan anak kapal SIA meninggalkan hotel mereka.
Di destinasi-destinasi lain pula, mereka harus berada di dalam bilik mereka pada setiap masa dan hanya boleh berkumpul dalam bilik anak kapal lain dalam kumpulan seramai lima orang sahaja, iaitu berdasarkan langkah jarak selamat yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).
Peraturan itu ditetapkan sedemikian rupa untuk melindungi anak kapal daripada virus COVID-19, menurut CAAS, SIA dan Scoot kepada Mediacorp.
Peraturan-peraturan sudah dilonggarkan berbanding sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan sebelum ini dan pihak mereka sedang mencari jalan untuk melonggarkan lagi peraturan-peraturan tersebut.
Sungguhpun demikian, sebilangan anak kapal berkata mereka sedang menimbangkan untuk meninggalkan pekerjaan mereka yang pernah begitu disayangi pada satu ketika dahulu gara-gara tekanan terhadap kesihatan mental mereka semasa mematuhi peraturan-peraturan ketat COVID-19.
Mereka memberitahu Mediacorp bahawa mereka memilih kerjaya tersebut kerana mereka gemar melancong, yang bagi mereka seolah-olah disekat sekarang.
Walaupun SIA sudah mengadakan sesi-sesi untuk berkongsi tip-tip menjaga kesihatan mental bagi anak kapalnya, sesi-sesi tersebut "hanya segelintir saja", katanya sambil menegaskan bahawa topik kesihatan mental masih dianggap tabu bagi industri tersebut dan menyuarakan keprihatinan terhadap sebarang isu kesihatan kehilangan lesen untuk mengendalikan pesawat.
Seorang lagi juruterbang SIA yang berusia awal 30-an tahun, yang meminta identitinya tidak didedahkan, mengatakan bahawa sekatan pergerakan juga menjejas kesihatan mentalnya dan dia kerap berasa "klaustrofobik" apabila terkurung di dalam bilik hotel bagi tempoh yang agak panjang.
Anak kapal SIA juga dinasihatkan supaya memakai peranti pengesan apabila mereka berada di luar negara untuk memantau pergerakan mereka.
Walaupun mereka dibenarkan melawat bilik satu sama lain, seorang juruterbang yang berusia lewat 20-an tahun berkata ramai anak kapal takut untuk berbuat demikian kerana bimbang peranti pengesan boleh menjadi aktif secara tidak sengaja, menyebakan tindakan tatatertib dikenakan ke atas mereka. Ini membuatkan mereka berasa bimbang akan kehilangan mata pencarian mereka.
RESPONS SYARIKAT PENERBANGAN DAN PIHAK BERKUASA
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada 17 Disember, Encik Alan Foo, Pengarah Kanan Kumpulan Peraturan Kesalamatan CAAS mengatakan bahawa keutamaannya adalah untuk menjaga keselamatan dan kesihatan anak kapalnya.
Beliau juga berkata, CAAS, bersama dengan MOH dan syarikat-syarikat penerbangan lain yang berpangkalan di Singapura, sudah menguatkuasakan pelbagai langkah untuk melindungi anak kapal dan mengurangkan risiko terdedah kepada jangkitan COVID-19 semasa mereka berada di luar negara dan juga semasa bertugas di dalam pesawat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.