Rapat Umum Hari Kebangsaan akan bentangkan rancangan masa depan S'pura: Heng Swee Keat
Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini akan membentangkan rancangan untuk Singapura buat tahun-tahun akan datang, menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada pagi Ahad (5 Ogos).
SINGAPURA: Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini akan membentangkan rancangan untuk Singapura buat tahun-tahun akan datang.
Demikian didedahkan Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa berucap di luar acara sambutan ulang tahun pertama Hab Tampines Kita (OTH), pagi Ahad (5 Ogos).
Beliau juga berkata persiapan terperinci sedang dijalankan menjelang rapat umum.
"Seluruh kabinet terlibat dalam perbincangan bagi Rapat Umum Hari Kebangsaan, dan pastinya agenda untuk Singapura bagi tahun-tahun akan datang. Bahkan, perbincangan diadakan berkali-kali tentang beberapa isu-isu utama. Kami akan melancarkan sesi perbincangan dengan warga Singapura untuk merancang masa depan," kata Encik Heng.
Beliau ditemani para penasihat GRC Tampines yang lain semasa lawatannya ke OTH - yang merupakan hab masyarakat dan gaya hidup bersepadu pertama dan terbesar untuk para penduduk.
Selain penduduk Tampines, penduduk kawasan lain juga tidak lepaskan peluang untuk melawat OTH.
"Saya juga bangga kerana setiap bulan lebih sejuta pengunjung ke OTH kerana mereka sangat tertarik dengan kemudahan yang ada di sini dan juga program-program yang diakan untuk masyarakat," kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.
KEGIATAN OTH SEMAKIN RANCAK
Kelab Masyarakat Tampines Central juga secara rasmi berpindah ke OTH hari ini.
Ia adalah kemudahan sivik terkini untuk sertai OTH yang menempatkan Pusat Khidmat Awam pertama di Singapura.
Ia menyatupadukan khidmat-khidmat dari Persatuan Rakyat, Majlis Pembangunan Masyarakat Timur Laut, Lembaga Perumahan dan Pembangunan, dan banyak lagi.
Khidmat-khidmat tersebut menyaksikan purata 15,000 transaksi setiap bulan.
Menurut Encik Heng, penyepaduan tersebut menyelaraskan operasi dan tenaga kerja.
Dengan ini, ia dapat menyediakan khidmat lebih baik kepada masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada acara meraikan ulang tahun pertamanya, OTH juga sedang cuba untuk memecahkan rekod dunia bagi panjat tembok dalaman terpanjang - sepanjang 53 kilometer, iaitu setiap kilometer bagi setiap tahun kemerdekaan Singapura.
OTH juga menempatkan enam kolam renang, stadium bola sepak 5,000 tempat duduk dan taman permainan inklusif untuk semua kanak-kanak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.