Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian suri rumah ini tawar khidmat jaga anak pada harga serendah S$5

Cik Siti Zubaidah, 40 tahun, cukup sibuk mengurus rumah tangga. Kelima-lima anaknya masih bersekolah - yang bongsu baru berusia enam tahun sementara yang sulung berusia 20 tahun. Anak keduanya pula acap kali perlu dihantar untuk mendapatkan rawatan bagi masalah kemurungan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Cik Siti Zubaidah, 40 tahun, cukup sibuk mengurus rumah tangga. Kelima-lima anaknya masih bersekolah - yang bongsu baru berusia enam tahun sementara yang sulung berusia 20 tahun. Anak keduanya pula acap kali perlu dihantar untuk mendapatkan rawatan bagi masalah kemurungan.

Namun, pintu rumah Cik Siti sentiasa terbuka kepada wanita-wanita berpendapatan rendah menitipkan anak mereka kepadanya untuk dijaga.

'Khidmat' penjagaan ini ditawarkannya pada harga kira-kira S$5 sahaja sejam.

Kini sudah dua tahun Cik Siti membantu menjaga anak orang secara mendadak. Sekitar 10 keluarga pernah melanggani khidmatnya - ada dalam kalangan mereka merupakan ibu tunggal.

Cik Siti bersama anaknya. 

"Saya pernah (melalui perceraian) dan menjadi seorang ibu tunggal. Jadi saya tahu kesukaran yang dialami keluarga berpendapatan rendah. Mereka perlukan bantuan seperti ini," kongsi Cik Siti kepada BERITAmediacorp.

"Kalau mereka tidak bekerja, mereka tidak ada wang. Betul tak? Tapi kalau tidak ada orang jaga anak (mereka), macam mana mereka nak bekerja?"

30 SURI RUMAH TAWAR KHIDMAT BEGINI...

Sebenarnya, Cik Siti hanya seorang daripada 31 suri rumah yang menawarkan diri untuk menjaga anak orang lain di bawah inisiatif berasaskan masyarakat diterajui Daughters of Tomorrow (DOT).

Badan amal berdaftar itu berusaha memperkasa golongan wanita kurang bernasib baik agar mereka dapat menaik taraf kehidupan keluarga masing-masing.

Berdasarkan laporan ComCare Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), DOT menganggarkan bahawa ada sekurang-kurangnya 25,000 wanita berpendapatan rendah di Singapura yang tidak punya banyak pilihan kerjaya. Ini kerana mereka sukar mendapatkan khidmat jagaan anak yang fleksibel.

Malah, antara 30 peratus hingga 40 peratus wanita yang dibantu DOT, berhenti kerja tidak lama selepas mendapat pekerjaan, kerana selalu mengambil cuti secara mendadak untuk menjaga anak mereka.

"Masyarakat tidak banyak mendalami kesukaran wanita daripada keluarga berpendapatan rendah. Mereka ada banyak pilihan tetapi kebanyakan pilihan ini terlalu mahal. Sebagai contoh, jika pendapatan mereka adalah $6-7 sejam, memang tidak mampu membayar pengasuh komersil ataupun mengupah pembantu rumah untuk menjaga anak-anak," terang Pengarah Eksekutif DOT, Cik Fannie Lim.

Lantaran itulah, DOT membentuk satu rangkaian dipanggil 'Community Childminding Network' atau Rangkaian Penjagaan Anak berasaskan Masyarakat. Inisiatif itu memadankan seorang suri rumah daripada keluarga berpendapatan rendah dengan pencari khidmat jagaan anak pada kadar yang murah dan fleksibel.

Rangkaian ini saling menguntungkan kedua-dua pihak. Suri rumah yang tidak bekerja boleh menjana sedikit pendapatan, sementara para ibu yang menggunakan khidmat ini boleh bekerja mencari rezeki dengan tenang.

Karnival Keluarga DOT sempena pelancaran rasmi rangkaian pengasuhannya. (Gambar fail, 2018: Daughters of Tomorrow)

Sejak diperkenalkan pada November 2018, 100 kanak-kanak daripada 50 keluarga berpendapatan rendah sudah diasuh di bawah rangkaian ini - kebanyakannya di Jurong dan Bukit Batok.

BOLEH BAYAR IKUT KIRAAN JAM ATAU BULANAN SERENDAH $200

Aturan penjagaan anak di bawah inisiatif ini ternyata begitu fleksibel - dari segi bayaran mahupun jadualnya.

"Ada yang menitipkan anak mereka sepenuhnya di rumah pengasuh, seminggu sekali baru diambil pulang," terang Cik Siti.

"Ada pula yang saat-saat akhir, anak dekat pusat jagaan pelajar, mereka tidak dapat jemput pulang, sedangkan anak mereka seharusnya dijemput paling lewat sekitar jam 6.00 petang. Selalunya saya ambil seperti ini.

"Kemudian ada yang memerlukan khidmat untuk 3-4 jam sahaja. Jadi ia sangat fleksibel," tambahnya lagi.

Maka itu, bayarannya juga disesuaikan. Bagi khidmat yang mengikut kiraan jam, yurannya adalah sekitar $5 sejam (tidak termasuk kos pengangkutan sekiranya anak perlu dijemput dari sekolah). Penjaga anak boleh dibayar secara tunai setiap kali khidmat mereka diperlukan.

"Tapi kalau khidmat bulanan, pastinya kami akan bertanya berapa mereka mampu bayar kita kerana kita faham keadaan mereka. Kita akan cuba berbincang. Anggarannya dalam S$200-S$300 sebulan," jelas Cik Siti lagi.

Malah, mereka yang kurang mampu diberi kelonggaran.

"Jika bulan pertama mereka tidak boleh bayar, kita cakap ‘bulan pertama ini awak tidak boleh bayar, bulan kedua ini awak boleh bayar lebih sikit’," ujar Cik Siti.

Kadar bulanan itu semestinya jauh lebih rendah berbanding kebanyakan khidmat jagaan yang sedia ada di pasaran. Khidmat jagaan bagi bayi berusia antara 2 hingga 18 bulan misalnya, tidak kurang S$600 di Singapura selepas subsidi.

Yuran pusat jagaan kanak-kanak pula boleh mencecah lebih S$1,000 sementara gaji pembantu rumah melebihi S$700 sebulan.

SIAPA BOLEH DAPATKAN KHIDMAT INI & BAGAIMANA?

Asalkan pendapatan per kapita keluarga anda kurang S$800 sebulan, anda boleh langsung menghubungi DOT atau mendapatkan bantuan menerusi Pusat Khidmat Keluarga anda.

Namun, sama ada permohonan diluluskan bergantung kepada sama ada terdapat suri rumah yang bersedia menjaga anak anda. DOT menjelaskan, ia belum mempunyai pengasuh di merata Singapura.

Kebanyakannya kini di bahagian barat seperti Bukit Panjang, Bukit Batok, Jurong dan Choa Chu Kang. Segelintir pengasuhnya tinggal di Tampines dan Marine Parade.

Tambahan lagi, permintaan bagi khidmat sebegini melebihi jumlah suri rumah yang menyertai rangkaian berkenaan.

"Kami turut menerima rujukan daripada agensi perkhidmatan sosial dan badan-badan akar umbi. Jadi boleh dikatakan sekarang masih tidak cukup (pengasuh). Tahun ini kami ingin meningkatkan usaha merekrut pengasuh anak-anak di kawasan lain di Singapura," kata Cik Fannie Lim.

Sebagai permulaan, tiga sukarelawan sudah direkrut untuk memadankan penjaga anak kepada keluarga kurang berkemampuan di kawasan tengah, utara dan timur Singapura.

Dengan kerahan tersebut, DOT berharap dapat meluaskan rangkaiannya khususnya di Lavender, Tampines, Bedok dan Woodlands. Bermakna, lebih ramai keluarga berpendapatan rendah boleh menggunakan khidmat sedemikian di kawasan kejiranan mereka!

INISIATIF PERKASA SURI RUMAH

Hakikatnya, usaha yang diwujudkan DOT turut memberi sedikit kelegaan kepada para suri rumah yang menyertai rangkaian tersebut. Ini kerana, salah satu kriteria yang ditetapkan bagi suri rumah yang ingin menjadi pengasuh adalah, pendapatan per kapita mereka juga tidak boleh melebihi $800 sebulan. Jadi mereka juga dari keluarga berpendapatan rendah.

Para pengasuh menjalani latihan yang diaturkan DOT. (Gambar fail, 2019: Daughters of Tomorrow)

Jika dinilai layak mengasuh anak orang lain, mereka akan menjalani latihan selama sehari yang diaturkan DOT bersama Caregiver Asia. Latihan itu akan menyentuh isu-isu seperti etika pekerjaan, menjaga keselamatan kanak-kanak dan menangani senario-senario mencabar bersama kanak-kanak.

Mereka malah berpeluang untuk naik setapak lagi - dengan menjadi seorang 'Community Leader' ataupun Pemimpin Kumpulan.

Peranan inilah yang disandang Cik Siti dan tanggungjawabnya kini lebih berat.

Cik Siti (dua dari kiri) berkongsi tentang rangkaian DOT dalam Sidang AVPN selaku Pemimpin Kumpulan. (Gambar fail, 2019: Daughters of Tomorrow)

"Kitalah yang akan padankan pengguna kepada pengasuh. Bila data menunjukkan mereka sesuai, saya akan atur pertemuan di rumah pengasuh, jumpakan mereka. Jadi dari situ, ibu bapa boleh lihat rumah pengasuh seperti apa. Selepas itu, pengasuh boleh cuba mengasuh anak mereka selama seminggu," terang Cik Siti tentang peranannya sebagai seorang Pemimpin Kumpulan DOT.

"Kalau mereka 'click' (serasi), Alhamdulillah. Kalau tidak, mula semuanya balik. Lepas tiga bulan juga kita akan bertanya-tanya jika semuanya baik-baik sahaja. Kalau ada konflik, kita akan cuba leraikan."

Para pengasuh DOT berkumpul bersama-sama dalam satu acara. (Gambar fail: Daughters of Tomorrow)

"Kita 'leader' (Pemimpin Kumpulan) tak dapat bayaran tambahan. Pengasuh yang bekerja, takkan kita yang terima (bayaran)," jawabnya lagi ketika ditanya pula jika beliau mendapat bayaran bagi 'kerja lebih'.

SURI RUMAH SALING BANTU-MEMBANTU

Lebih daripada itu, hubungan erat turut terjalin antara para suri rumah dalam rangkaian DOT ini.

"Kita pun sebenarnya ada kumpulan sembang dengan para pengasuh. Jadi kita boleh bincang bersama-sama. Musim cuti ke tidak, pagi petang siang malam sentiasa 'busy'," seloroh Cik Siti.

Kumpulan sembang itu dijadikan sebagai satu wadah untuk para pengasuh bertukar-tukar pandangan dan tempat untuk mereka mengadu.

"Pernah sekali anak yang dijaga seorang pengasuh sukar dipisahkan daripada ibunya. Dia masih minum susu badan. Dia nangis, nangis, nangis. Jadi pengasuhnya pun meminta bantuan dan bertanya-tanya," cerita Cik Siti.

Pelbagai ragam lain yang kadangkala perlu dihadapinya. Tetapi semua itu tidak pernah sekalipun Cik Siti menganggapnya sebagai membebankan.

"Saya rasa puas hati jika saya dapat membantu seseorang itu dalam kesusahan. Sekurang-kurangnya ibu bapa mereka boleh tumpukan perhatian pada pekerjaan. Jadi bila fikiran mereka tidak kusut, insya-Allah semuanya akan berjalan lancar."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan