Rangkaian salun kecantikan sediakan skim bayaran balik S$1 juta susuli siasatan amalan jualan tidak adil
Rangkaian salun kecantikan DNA Brands akan menyediakan skim bayaran balik sehingga S$1 juta kepada para pelanggan yang terjejas selepas siasatan mendapati sebahagian kakitangannya menggunakan amalan jualan yang tidak adil.
Salah sebuah cawangan Beautique di Ang Mo Kio. (Gambar: Google Maps/Beautique)
- DNA Brands menawarkan skim bayaran balik sehingga S$1 juta kepada pelanggan yang terjejas akibat amalan jualan tidak adil oleh kakitangannya di Singapura.
- Siasatan CCCS mendapati kakitangan menggunakan taktik tekanan seperti menahan pelanggan di bilik rawatan dan memeriksa simpanan CPF, terutama melibatkan warga emas.
- CASE menerima 53 aduan antara Ogos 2024 hingga Oktober 2025, dengan nilai transaksi dipertikaikan melebihi S$980,000.
- DNA Brands telah menggantung atau memberhentikan kakitangan terlibat, memperkenalkan dasar bayaran balik 14 hari, dan memperkukuh latihan serta pemantauan untuk elak kejadian berulang.
Menurut Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Khamis (30 Jul), siasatan mendapati beberapa kakitangan syarikat itu menggunakan taktik jualan mendorong pelanggan membeli pakej dan produk yang pada asalnya tidak mereka berniat untuk beli.
Antara taktik yang dikenal pasti ialah meletakkan pelitup muka pada pelanggan walaupun rawatan telah selesai, sekali gus menyebabkan mereka terperangkap di dalam bilik rawatan sementara kakitangan meneruskan usaha memujuk mereka membuat pembelian.
CCCS turut mendapati kakitangan bertanya kepada pelanggan tentang jumlah kad kredit yang dimiliki mereka dengan alasan menyemak kelayakan promosi, namun sebenarnya untuk menilai kemampuan mereka berbelanja.
Dalam kes pelanggan warga emas, sebahagian kakitangan didapati memeriksa baki simpanan Caruman Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
Dalam sekurang-kurangnya satu kes, seorang pelanggan dipaksa menggunakan simpanan CPF untuk membayar pakej dan produk kecantikan.
Ada juga kakitangan yang membantu pelanggan mengubah had pengeluaran CPF serta mengarahkan mereka ke bank atau mesin ATM berdekatan bagi mengeluarkan wang.
Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menerima 53 aduan terhadap DNA Brands antara Ogos 2024 hingga Oktober 2025, melibatkan transaksi yang dipertikaikan bernilai lebih S$980,000.
CCCS bagaimanapun berkata siasatannya tidak menemukan bukti bahawa para pengarah DNA Brands mengarahkan atau terlibat secara langsung dalam amalan tersebut.
DNA Brands memaklumkan syarikat itu telah menggantung atau memberhentikan kakitangan yang terbabit, selain memperkukuh latihan, pemantauan pengurusan dan langkah pematuhan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Mulai sekarang, semua cawangan DNA Brands juga akan memaparkan dasar bayaran balik selama 14 hari dengan jelas.
Di bawah skim itu, pelanggan yang membeli produk atau perkhidmatan di cawangan DNA Brands yang terlibat sejak 1 Januari 2023 dan mengalami tekanan atau paksaan semasa membuat pembelian boleh mengemukakan tuntutan melalui CASE.
Jumlah bayaran balik akan ditentukan berdasarkan keadaan setiap kes.
Ketua Eksekutif CCCS, Alvin Koh, berkata pengguna tidak seharusnya berasa terperangkap atau dipaksa membelanjakan wang yang mereka tidak berniat untuk dikeluarkan, manakala perniagaan pula perlu sedar bahawa amalan jualan gunakan tekanan tinggi akan menerima tindakan tegas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.