Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian salon kecantikan Salon One diberi amaran buat dakwaan kesihatan palsu berhubung rawatannya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah rangkaian salon kecantikan diberi amaran kerana membuat dakwaan palsu mengenai manfaat kesihatan daripada rawatannya dan potongan harga yang ditawarkan.

Demikian menurut Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Khamis (18 Mei).

Rangkaian salon tersebut, Salon One, juga didapati menggunakan taktik penjualan tekanan di beberapa cawangannya. Rangkaian tersebut mempunyai cawangan di Ang Mo Kio, Bukit Batok, Bukit Panjang, Clementi, Marine Parade, Pasir Ris dan Tampines.

Menurut CCCS, Salon One mendakwa rawatan spa herbanya dapat mencegah penyakit seperti Alzheimer dan strok otak.

Rawatan tersebut juga didakwa dapat menguatkan daya ingatan, kata badan tersebut.

Siasatan oleh CCCS mendapati rangkaian tersebut terlibat dalam amalan tidak adil antara Oktober 2017 hingga Ogos 2022.

DAKWAAN POTONGAN HARGA PALSU

Selain membuat dakwaan palsu mengenai rawatan yang ditawarkan, Salon One juga mendakwa terdapat potongan harga bagi khidmat gunting rambut biasa untuk ahli dan bukan ahli.

Namun, potongan harga tersebut sebenarnya tidak pernah wujud kerana ia dimasukkan dalam harga yang tidak pernah ditawarkan kepada pengguna.

CCCS mendapati dua daripada cawangan rangkaian tersebut - Salon One Bukit Batok dan Salon One MP560 di Marine Parade - telah membuat dakwaan palsu bahawa potongan harga sebanyak S$359 wujud untuk kedua-dua rawatan mata TCM dan limpa serta khidmat membersihkan pusat.

Harga potongan sebenar yang ditawarkan bagi kedua-dua perkhidmatan itu masing-masing adalah S$159 dan S$59.

Cawangan rangkaian tersebut di Bukit Batok juga mendakwa potongan harga sebanyak S$138.

Siasatan juga mendapati beberapa cawangan rangkaian itu telah menggunakan taktik tekanan ke atas pengguna untuk membeli perkhidmatan atau produk tertentu, walaupun pelanggan telah menolak atau menyuarakan mereka tidak berminat.

DIRUJUK KEPADA CCCS

Persatuan Pengguna Singapura (CASE) telah merujuk empat cawangan iaitu Salon One Ang Mo Kio dan tiga cawangan lain di Tampines, Marine Parade dan Clementi kepada CCCS pada Oktober 2020.

CASE juga mengeluarkan amaran kepada cawangan di Ang Mo Kio mengenai taktik penjualan tekanan agresif pada Julai 2019.

Menyusuli rujukan tersebut, pemeriksaan lanjut yang dijalankan CCCS mendapati empat lagi cawangan Salon One di Bukit Batok, Pasir Ris, Marine Parade dan Bukit Panjang terlibat dalam tindakan yang serupa.

CCCS kemudian memulakan siasatan ke atas rangkaian tersebut pada Julai 2021.

Dalam hantaran Facebook yang berasingan pada Khamis, Presiden CASE Melvin Yong berkata persatuan tersebut telah menerima lebih 130 aduan terhadap Salon One sejak Januari 2017.

Menurut Encik Yong, pengguna melaporkan bahawa kakitangan salon tersebut bersikap agresif dalam mempromosikan pakej tambahan semasa rawatan mereka dan tidak membenarkan mereka pergi sehingga mereka menandatangani pakej baru.

Semasa tempoh siasatan dijalankan, CCCS menyatakan bahawa rangkaian kecantikan tersebut telah mengambil langkah untuk mengubah amalan perniagaan mereka, yang mematuhi Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) (CPFTA).

Pengguna yang berdepan dengan amalan tidak adil sedemikian boleh menghubungi CASE menerusi talian hotlinenya di 97958397 atau melayari laman web mereka www.case.org.sg untuk bantuan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan