Rangkaian rel S'pura bakal sediakan stesen baru, laluan baru
Akses kepada rangkaian kereta api akan dipertingkat dengan sesetengah laluan dilanjutkan dan beberapa stesen baru dibina.
SINGAPURA: Akses kepada rangkaian kereta api akan dipertingkat dengan sesetengah laluan dilanjutkan dan beberapa stesen baru dibina.
Antara saranan yang diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (25 Mei) dalam Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 (LTMP 2040) adalah stesen-stesen baru di Laluan Utara-Selatan (NSL).
Ditempatkan antara stesen Chua Chu Kang dengan Bukit Gombak, stesen baru Brickland dapat dimanfaatkan para penduduk Keat Hong, Bukit Batok West dan Pavilion Park serta daerah Brickland di Tengah yang bakal dibangunkan.
Pusat pertukaran baru juga akan dibangunkan di Sungei Kadut yang akan menghubungkan NSL dengan Laluan Downtown (DTL). Menurut LTA ini akan dicapai dengan DTL dilanjutkan dari stesen Bukit Panjang bagi penduduk di Yew Tee dan Chua Chu Kang.
Menjawab soalan dalam satu taklimat media Selasa lalu (22 Mei), Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LTA Jeremy Yap berkata stesen pertukaran yang baru itu akan dibangunkan antara stesen Yew Tee dengan Kranji.
Dengan pembangunan itu, para penduduk di kawasan barat laut dapat mengurangkan masa perjalanan mereka ke kawasan bandar sehingga 30 minit.
Encik Yap menambah stesen pertukaran Sungei Kadut mungkin siap "menjelang pertengahan 2030".
STESEN MRT DI TERMINAL 5 LAPANGAN TERBANG CHANGI
Selain itu, LTA menyatakan ia juga akan melanjutkan Laluan Thomson-East Coast (TEL), dengan sebuah stesen di Terminal 5, Lapangan Terbang Changi serta stesen baru Sungei Bedok.
LTA menyatakan laluan baru itu akan disambungkan kepada rangkaian rel sedia ada antara Tanah Merah dengan Lapangan Terbang Changi di Laluan Timur-Barat (EWL) yang akan diubah untuk membentuk sebahagian daripada lanjutan TEL.
Apabila siap sepenuhnya, lanjutan itu akan menghubungkan Lapangan Terbang Changi dengan stesen-stesen di TEL sehingga ke Woodlands North di mana para penumpang boleh bertukar kepada rangkaian Sistem Transit Laju Singapura-Johor yang bakal dibina.
LTA menambah ia akan mengumumkan butiran lebih lanjut berhubung peluasan rangkaian rel itu pada masa akan datang.
LAPORAN BERKAITAN: Rangkaian laluan berbasikal dilanjutkan kepada 1,000km jelang 2040
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.