Skip to main content

Singapura

Rangkaian Pengamal Masyarakat lancar monograf, himpun kegiatan dan panduan rangkaian

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian Pengamal Masyarakat (NOCP) buat julung-julung kalinya melancarkan e-monograf pada satu acara sambutan ulangtahunnya yang ke-8 pada Ahad (9 Nov).

Ia bertujuan bagi mendokumentasikan kegiatan NOCP sepanjang lapan tahun.

Selain itu, E-monograf ini turut berfungsi sebagai rekod, penilaian kendiri, dan panduan masa depan.

Ia memuatkan sejarah penubuhan, visi dan misi, nilai-nilai utama, serta kegiatan mereka bersama rakan kolaborasi seperti MKAC dan Muhammadiyah.

"Kami rasa inilah masanya kami mengumpulkan maklumat maklumat mendokumentasikan semua kegiatan yang telah kami lakukan," kata Pengasas NOCP, Dr Bibi Jan Ayyub.

"Ada kelemahannya, ada kekurangannya. Dengan harapan ini akan memberi kami peluang untuk melihat semula apa yang telah kami lakukan. Mana kesilapan kami, mana kekurangan kami dan juga dengan satu lagi harapan, supaya ini semacam assessment, Penilaian bagi kami untuk mengorak langkah untuk maju ke hadapan," tambahnya lagi.

E-monograf ini juga menampilkan refleksi anggota NOCP yang berkongsi pengalaman dan perjalanan mereka bersama organisasi, termasuk mereka yang telah menubuhkan inisiatif baru seperti SG Bapa Hebat, pertubuhan keselamatan, dan rawatan tradisional Melayu.

"Kami selitkan tentang asal usulnya kelahiran dan NOCP, bagaimana dan apakah nilai, visi dan misi NOCP. Apakah yang menjadi pendorong dan apakah kegiatan kegiatan yang kami lakukan," kata Dr Bibi Jan.

"Kami juga rakamkan pendamping pendamping kami. Ini merupakan badan-badan Islam yang memang memberi kami ruang dan peluang untuk bekerjasama dengan mereka. Jadi, Alhamdulillah, kami harap dengan adanya dokumentasi ini, ini akan membantu kami untuk melakarkan program yang lebih berkesan lebih berkesan untuk masa masa akan datang," tambahnya lagi.

Baginya, usaha ini dilihat sebagai perkembangan organik yang memberi kesan positif kerana melahirkan aktivis baru dan memperluas impak sosial.

Berucap di majlis tersebut, tetamu kehormat Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim berkata platform seperti NOCP penting sedang masyarakat berdepan dengan masa depan yang kian tidak menentu.

"Sedang kita melangkah ke masa depan yang tidak menentu, kita memerlukan lebih banyak platform sedemikian. Mungkin kita boleh fikirkan tentang platform yang lebih luas, bagaimana untuk mempelajari dari bidang kuasa yang lain juga mempelajari amalan-amalan terbaik dari industri-industri lain dan yang boleh disesuaikan kepada ruang NOCP," kata Encik Zhulkarnain.

Dan beliau yakin, kerja-kerja yang dilakukan NOCP mencerminkan usaha yang terbaik yang boleh diberikan masyarakat untuk masyarakat.

 
NOCP turut memperkenalkan Pemprofilan Genetik Personaliti dalam acara tersebut.
PENDEKATAN PEMPROFILAN GENETIK PERSONALITI BAGI MEMPERKASA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Pada acara tersebut, NOCP telah memperkenalkan pemprofilan genetik personaliti yang dibentangkan dalam satu perkongsian oleh Pengasas GPS Group, Siti Suhailah Madi.

"Pemprofilan genetik personaliti adalah salah satu alat yang kami gunakan untuk kenal pasti di mana belahan otak yang dominan," jelas Cik Suhailah.

"Melalui pemprofilan genetik personaliti ini, kita dapat tahu secara keseluruhan keadaan asli otak kita dan ini amat membantu dari segi bagaimana kita mengenal pasti apakah fitrah yang telah dianugerahkan pada kita dan macam mana kita boleh menggunakannya sebaik mungkin," tambahnya lagi.

Profil genetik peribadi, jelasnya, berperanan penting dalam membantu seseorang mengenal pasti dan memanfaatkan bakat semula jadi mereka.

Langkah ini bukan sahaja membantu individu kekal tahan dan fleksibel dalam menghadapi cabaran, tetapi juga menjadikan mereka lebih seimbang serta berdaya saing dalam kerjaya dan kehidupan seharian.

"Di dalam zaman dan era yang senantiasa sering bertukar, kita dapat lihat betapa cepatnya pembangunan seperti AI. Kalau kita tidak mengenal pasti dari segi apakah fitrah yang tersedia, kita akan rasa terbeban dan susah untuk mengubah pada persekitaran," kata beliau.

NOCP merupakan rangkaian disokong AMP yang dianggotai oleh para sukarelawan yang terdiri daripada golongan karyawan dari pelbagai bidang seperti jagaan kesihatan, pendidikan dan kaunseling.

Ia bertujuan memupuk kerjasama dalam kalangan sukarelawan mengenai isu-isu berkaitan masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita