Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam akan adakan persidangan pertama pada Jan 2024
SINGAPURA: Sebuah persidangan bakal diadakan buat julung-julung kalinya oleh Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) pada bulan hadapan (Jan 2024).
Selain berkongsi tentang pelbagai program dan khidmat MMO, persidangan itu juga akan menyediakan peluang bagi para peserta untuk memahami keperluan para banduan Melayu/Islam, bekas pesalah dan keluarga mereka serta sumber yang ada untuk menyokong mereka.
Ini selain mengesahkan lagi visi MMO dan menggalak badan-badan berkepentingan lain untuk bekerjasama dengan lebih rapat lagi bagi mempertingkatkan khidmat dalam menyokong para banduan Melayu/Islam, bekas pesalah dan keluarga mereka.
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim juga berkongsi dengan wartawan Nazirah Jamzuri antara objektif lain persidangan itu.
"Persidangan ini akan memberi peluang kepada badan-badan Melayu/Islam dan juga badan-badan M³ di bandar-bandar kita untuk pertama, meningkatkan tahap pendekatan mereka sesama mereka dan juga dengan badan-badan yang lain di mana mereka boleh mempelajari daripada badan-badan sekular yang menyokong proses pemulihan para banduan," kongsi Dr Faishal yang menerajui bidang tumpuan kedua M³ iaitu menyediakan sokongan bagi individu rentan dan keluarga mereka.
"Dengan adanya pendekatan seperti ini, mereka boleh meningkatkan lagi kemahiran mereka di mana mereka boleh mempelajari konsep-konsep yang sedia ada dan bagaimana mereka boleh mengaplikasikannya dalam proses pemulihan para banduan dan keluarga mereka," tambah beliau.
PERSIDANGAN RANGKAIAN PEMULIHAN MMO AKAN DIADAKAN JANUARI 2024
Untuk persidangan yang akan diadakan pada 25 Januari 2024 itu, Dr Faishal menambah bahawa ia akan dikendalikan oleh rangkaian itu sendiri dan akan melibatkan para banduan dan sukarelawan dalam beberapa atur caranya.
Ia juga satu peluang untuk membuka lebih banyak peluang bagi para peserta untuk belajar daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam aliran-aliran tertentu.
"Saya harap ini akan mendatangkan lebih banyak manfaat bukan sahaja kepada para banduan malah kepada ekosistem yang kita sedang bangunkan untuk menyokong para banduan, keluarga mereka dan bagaimana kita boleh memberikan ruang kepada sukarelawan dan masyarakat kita untuk menyumbang kepada kemaslahatan dan kehidupan masyarakat Singapura ini," ujar Dr Faishal.
Persidangan sebegini amat dialu-alukan oleh MMO seperti Rumah Peralihan Pertapis yang turut terlibat.
"Dengan adanya persidangan ini, agensi-agensi dan masyarakat dapat mengetahui tentang khidmat-khidmat yang ada. Dalam masa yang sama, kita dapat memberi sokongan yang lebih khusus dan tertentu bagi mereka-mereka yang memerlukan dari segi 'in-care', 'aftercare' dan juga untuk terus untuk maju ke hadapan insya-Allah," menurut Ketua Rumah Peralihan Pertapis, Encik Sufian Salim.
KERJASAMA 26 MMO DAN 11 BANDAR M³
Badan itu juga berharap lebih ramai dapat mengetahui tentang usaha-usaha oleh Rangkaian Pemulihan MMO dan terus bekerjasama dalam menyokong para pesalah dan keluarga mereka.
Sejak ditubuhkan pada November 2021, rangkaian itu sudah pun menganjurkan pelbagai acara hasil kerjasama 26 MMO dan 11 bandar M³.
"Kami juga mempunyai sesi perkongsian atau amalan masyarakat di mana kita berkongsi bagaimana menangani sesuatu masalah ataupun aspek tertentu dari masalah-masalah individu atau kekeluargaan, di mana kita dapat berkongsi antara satu sama lain dan berkongsi sumber untuk memberi tumpuan yang lebih teratur dari segi pemulihan mereka," tambahnya.
USAHA UNTUK TURUNKAN KADAR KEBENTANAN LIMA TAHUN
Dalam pada itu, usaha juga perlu diteruskan dan didalami lagi untuk menurunkan kadar kebentanan lima tahun bagi pesalah Melayu yang masih tinggi iaitu sekitar 40%.
Ini akan diusahakan menerusi program-program seperti FITRAH yang memainkan peranan penting menerusi khidmat dan sokongan yang disediakan untuk para pesalah dan keluarga mereka.
Misalnya menerusi antara program agama 'in-care' atau dalam penjagaan yang berstruktur, khutbah-khutbah Solat Jumaat yang disesuaikan mengikut keperluan pemulihan para banduan Melayu/Islam serta sokongan untuk para pesalah dan keluarga mereka menerusi khidmat rujukan dan 'community befriending' atau pendampingan masyarakat.
Sejauh ini, ia sudah mempunyai 695 relawan dan sudah bantu lebih 100 kes sejak penubuhan khidmat pengurusan kes FITRAH.
"Pada pendapat saya, FITRAH memainkan peranan yang sangat penting kerana mereka ada program pendampingan, pengurusan kes dan juga mereka juga memberikan peluang kepada para sukarelawan untuk mendekati keluarga-keluarga para banduan. Jadi dengan sokongan ini dan juga peranan yang dimainkan oleh badan-badan Melayu/Islam, yang lain seperti PPIS, AMP, Jamiyah, Pertapis, MENDAKI dan MESRA, ia memberikan ruang pendekatan yang mendalam dan mantap untuk memberi sokongan kepada para banduan dan keluarga mereka supaya mereka sentiasa dalam proses disokong oleh masyarakat," menurut Dr Faishal.
"Kita telah membangunkan satu program 'Desistor Network' di mana ini memberikan peluang kepada para banduan untuk memainkan peranan mereka dalam proses pemulihan antara satu sama lain," kongsi Dr Faishal.
"Kurang daripada setahun selepas kita melancarkan program ini, kita telah mendapat lebih daripada 70 rakan kongsi. Ini termasuk badan-badan Melayu/Islam yang ada di dalam rangkaian MMO. Justeru, dengan sokongan yang lebih mendalam ini, dan juga program yang dilakarkan di peringkat nasional dan bagaimana kita boleh menggunakan dan mendapat manfaat daripadanya, saya yakin ia juga akan menyokong para banduan Melayu/Islam yang akan mengambil bahagian dalam proses ini," tambahnya.
Setakat ini, kadar kebentanan dua tahun bagi masyarakat Melayu menunjukkan kemajuan cemerlang.
Dalam masa sedekad, kadarnya turun 10 peratusan mata kepada 24.7% bagi kohort 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.