Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian Pemulihan MMO tubuhkan 3 kumpulan projek untuk tingkatkan sokongan buat pesalah, keluarga bekas banduan & belia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) mengumumkan penubuhan tiga kumpulan projek untuk meningkatkan sokongan kepada pesalah, keluarga bekas banduan, dan belia.

Rancangan itu diumumkan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Forum Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam pada Rabu (25 Sep).

USAHA PERLU DITERUSKAN UNTUK KURANGKAN KADAR BENTAN

Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata bahawa masyarakat Melayu/Islam telah membantu para banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka dengan baik.

Penurunan kadar bentan dalam tempoh dua tahun yang merosot mencerminkan sokongan padu itu, kata Dr Faishal.

Beliau berkata: "Kadar pesalah Melayu yang kembali melakukan kesalahan dalam tempoh dua tahun telah merosot kepada 26 peratus untuk kohort yang dibebaskan pada tahun 2021. Ini berbanding 35 peratus untuk kohort yang dibebaskan pada tahun 2011."

"Ini adalah kemajuan yang sangat ketara. Ia adalah hasil daripada komitmen kuat dan kolektif kita semua - dalam sektor awam, peribadi dan sebagai rakyat - untuk tujuan ini," tambah beliau lagi.

Menurut Dr Faishal, usaha baik itu perlu terus diteruskan untuk mengurangkan kadar pesalah berulang.

Lantaran itu, penubuhan tiga kumpulan projek itu akan meneroka pelbagai huraian.

Ia antara lain akan membantu golongan bekas pesalah yang tidak mempunyai sokongan keluarga yang kukuh serta mewujudkan persekitaran yang membina untuk golongan belia agar tidak terlibat dalam jenayah.

Rangkaian tersebut akan dipimpin secara bersama oleh wakil-wakil pertubuhan Melayu/Islam serta pegawai dari Jabatan Penjara dan Polis.

Dr Faishal berkata: "Ketiga-tiga kumpulan projek ini menunjukkan bahawa kita mahu bertindak, kita mahu membantu, dan kita mahu mencari cara baharu untuk membantu. Bagi saya, ini adalah contoh masyarakat yang hebat dengan hati yang mulia, dan ingin saling membantu, supaya generasi masa hadapan kita akan menjadi lebih baik daripada kita sekarang ini."

TIGA KUMPULAN SASARKAN BANTUAN UNTUK KELUARGA, PESALAH DAN BEKAS PESALAH SERTA GOLONGAN BELIA

Dr Faishal berkata bahawa Kumpulan 1 akan memberi fokus kepada mengukuhkan sokongan keluarga.

"Keluarga yang kuat dan stabil adalah kunci untuk bekas pesalah melakukan kesalahan lagi, dan juga untuk mencegah kesalahan antara generasi. Kumpulan 1 akan lebih memahami keperluan keluarga, memetakan proses sedia ada dan struktur sokongan, dan mencadangkan penambahbaikan," ujar Dr Faishal.

Kumpulan itu akan diketuai secara bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam; Pengarah Eksekutif New Life Stories, Cik Saleemah Ismail; dan Cik Salina Samion dari Khidmat Penjara Singapura (SPS).

"Kami masyarakat Melayu/Islam beruntung kerana ada banyak MMO yang menghulurkan banyak bantuan untuk masyarakat kami. Setiap MMO ada kekuatan dan sumber tersendiri dan memberi impak kepada masyarakat. Menerusi rangkaian ini, kami berhasrat untuk memperkukuhkan usaha bersepadu demi menyokong keluarga yang memerlukan secara berterusan dan lebih mampan."

"Dalam kumpulan projek 1, yang diwakili empat organisasi MMO, kumpulan kami terdiri daripada tujuh orang profesional yang mempunyai pengalaman bekerjasama dengan keluarga dalam pelbagai aspek, dan mereka terdiri daripada pekerja sosial, pegawai pemulihan, ahli terapi dan pendidik. Menerusi kumpulan ini, kami berharap dapat memanfaatkan dan bergabung kepakaran dan pengalaman untuk kukuhkan sokongan bagi keluarga yang memerlukan," jelas beliau kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Kumpulan kedua pula akan memberi tumpuan kepada mengukuhkan sokongan buat para banduan dan bekas pesalah yang tidak mempunyai sokongan keluarga yang kukuh.

"Individu sedemikian lebih berisiko untuk mengulangi kesalahan. Kita perlu lebih memahami keperluan mereka, dan meneroka sumber sokongan sosial yang lain untuk mereka, untuk mengukuhkan keazaman mereka agar terus berada di jalan lurus," kata Dr Faishal.

Kumpulan itu diterajui bersama Setiausaha PERGAS, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah; dan Encik Mohamed Nizaar dari SPS.

Kumpulan yang terakhir pula, menurut Dr Faishal, akan memikirkan langkah-langkah untuk mencegah kesalahan dalam kalangan belia.

Kumpulan itu akan mengkaji semula usaha sedia ada dan mencadangkan cara lain yang boleh mengurangkan kenakalan dalam masyarakat.

Kumpulan itu akan diketuai bersama Pengarah Eksekutif 4PM, Encik Didicazli Ismail, Setiausaha IMSSA, Cik Irfana Banu, pegawai SPF, Encik Rudy Dzulkarnaen dan pegawai CNB Encik Muhammad Rizal.

Encik Didicazli berkata: "Kami telah mengenal pasti semasa perbincangan awal kami bahawa terdapat bidang yang perlu kami pertingkatkan lagi, secara kolektif, melebihi apa yang telah kami ketahui. Sekarang persoalannya, apa yang kita tidak tahu? Kita perlu lakukan kajian, lakukan penyelidikan dengan pelbagai agensi,dan menghasilkan bentuk program mengenai perkara yang belum tersedia.

Ketiga-tiga kumpulan ini akan memikirkan huraian dan meningkatkan sokongan untuk golongan tersasar dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan