Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian Pemulihan MMO akan luaskan sokongan untuk banduan termasuk kaum Muslim India: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian Pemulihan MMO akan meneroka peluang di luar rangkaian seperti bekerjasama dengan Rangkaian CARE untuk mengembangkan peluang kerjasama dan pembelajarannya.

Rangkaian CARE merangkumi tujuh agensi termasuk Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Jabatan Penjara Singapura (SPS), Reben Kuning Singapura (YRSG) dan Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA).

Demikian yang didedahkan Menteri Negara (MHA), Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa mengulas tentang perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi MHA dalam wawancara bersama wartawan Nurhelmy Hakim.

Rangkaian Pemulihan MMO yang ditubuhkan pada 2021 antara lain bertujuan membela nasib pesalah dan bekas pesalah, para banduan serta keluarga berisiko dengan lebih baik lagi.

"Rangkaian CARE itu lebih luas daripada Rangkaian Pemulihan MMO. Justeru, kita ingin mempelajari daripada mereka. Ini adalah satu aspek MMO boleh bekerjasama dengan badan badan yang lain di mana mereka telah lama melakukan kerja-kerja memberi sokongan," ujar Dr Faishal.

Beliau menambah: "Kita dapat meneruskan usaha bukan sahaja untuk memantapkan kerja-kerja kami tetapi meluaskan pendekatan kerjasama dengan badan-badan lain dan juga memikirkan apakah aspek-aspek yang boleh menolong kita memberikan maklumat yang baharu ataupun membangunkan pendekatan yang baharu supaya kita boleh membangunkan satu rangkaian yang lebih efektif."

Sejak penubuhan rangkaian tersebut, pelbagai kegiatan dan inisiatif telah dianjurkan bagi merapatkan lagi hubungan antara MMO, mengukuhkan kerjasama dan memupuk ekosistem sokongan yang lebih padu untuk banduan Melayu/Islam, bekas pesalah dan keluarga mereka.

Kegiatan-kegiatan itu termasuk forum tahunan dan persidangan dua tahun sekali di serta penggabungan sebuah direktori program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh MMO.

Usaha itu dilakukan di bawah Bidang Tumpuan Kedua (FA2) M³ yang bertujuan untuk menyediakan sokongan menyeluruh buat para individu dan keluarga-keluarga berisiko.

CADANGAN KUMPULAN PROJEK TANGANI CABARAN BELIA, KELUARGA AKAN DIBENTANGKAN SELEPAS MEI 2026

Tahun lalu, Rangkaian Pemulihan MMO juga mengumumkan pembentukan tiga kumpulan projek untuk mengkaji aspek pelbagai bidang termasuk memantapkan usaha untuk mencegah belia daripada terbabit dalam kesalahan.

Menurut Dr Faishal, ketiga-tiga kumpulan projek itu akan membentangkan dapatan dan cadangan mereka selepas Mei 2026.

Dr Faishal menjelaskan: "Bagaimana kita boleh memberi sokongan kepada mereka yang mungkin tidak mempunyai sokongan daripada keluarga. Bukan mudah untuk melayari kehidupan selepas dipenjara. Justeru, kita mahu memikirkan sokongan yang mereka perlukan."

"Mungkin ada di kalangan MMO mahu menyokong usaha ini dan memberikan ruang bagi mereka untuk membangun supaya proses atau perjalanan pemulihan itu bukan sahaja baik tetapi mereka ada rakan dan badan-badan untuk menyokong mereka. Jadi ada kumpulan yang sedang melihat bagaimana kita boleh adakan program program dari masyarakat untuk memberikan ruang positif kepada belia belia kita ini supaya mereka tidak terjerumus dalam penyalahgunaan dadah," tambah beliau lagi.

SOKONGAN HOLISTIK KEPADA GOLONGAN BANDUAN INDIA/ISLAM

Dr Faishal juga mendedahkan beberapa inisiatif baharu yang bukan sahaja ingin membantu golongan banduan Melayu tetapi dari kaum Muslim India juga.

Tahun ini, FITRAH akan bekerjasama dengan Masjid Abdul Gafoor untuk merintis Projek Najdah bagi menyokong golongan banduan Muslim India.

Ia merupakan sokongan tambahan yang diterima golongan tersebut selain sokongan daripada masjid dan badan-badan MMO.

"Golongan 'befrienders' mahu memberikan ruang pemulihan kepada banduan ataupun bekas banduan India Muslim ini supaya bukan sahaja mereka dapat sokongan tetapi keluarga mereka boleh mendapat sokongan," jelas Dr Faishal.

"Ini penting kerana kita harus menolong golongan kaum lain yang memeluk agama Islam. Kita mempunyai rangkaian yang baik, yang dibangunkan oleh FITRAH yang ada guru-guru agama atau para asatizah India Muslim," tambah beliau lagi.

Program bimbingan itu akan dilaksanakan sepanjang 12 sesi.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan