Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian Pemulihan Badan-Badan Melayu/Islam lakar strategi baru tangani masalah pesalah dadah bentan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mempertingkatkan keupayaan serta memanfaatkan kekuatan dan kepakaran badan-badan Melayu/Islam untuk menyokong pesalah Melayu/Islam dan keluarga mereka dengan lebih baik.

Demikian antara strategi utama pelan kerja baru Rangkaian Pemulihan Badan-badan Melayu/Islam (MMO) untuk menangani isu penyalahgunaan dadah, pesalah dan pesalah bentan.

Rangka kerja dua tahun itu didedahkan di forum rangkaian tersebut hari ini. (23 Mei).


ISU PESALAH BENTAN MELAYU/ISLAM KEKAL MENCABAR MESKIPUN KADARNYA MULAI MEROSOT

Kadar pesalah bentan dalam kalangan pesalah Melayu/Islam merosot dalam tempoh dua tahun lalu.

Kadarnya susut daripada 26 peratus pada 2019 kepada 24.7 peratus pada tahun 2020, iaitu yang paling rendah sejak sedekad lalu.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata: "Kejayaan ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat, dan dedikasi yang kukuh di kalangan agensi-agensi Pemerintah, rakan-rakan berkepentingan masyarakat, serta para sukarelawan yang tidak kenal erti penat."

Meskipun satu perkembangan yang memberangsangkan, Encik Masagos mengingatkan bahawa ia kekal sebagai cabaran yang sukar dan tidak boleh diambil ringan.

Encik Masagos berkata: "Saya menyeru agar anda tingkatkan kerjasama dan sinergi baik ini supaya dapat memberi impak yang lebih ketara kerana masih ada kerja yang belum selesai. Sungguhpun kita boleh bergembira dan berbangga dengan pencapaian ini, kita tidak mampu untuk leka. Hari ini, setiap 2 dalam 5 bekas banduan kembali ke penjara dalam tempoh 5 tahun."

"Saya juga menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat kita untuk menyertai Rangkaian Pemulihan Badan-badan Melayu/Islam sebagai sukarelawan dalam usaha murni ini demi membantu bekas banduan kita dan memperkukuh ikatan keluarga masyarakat
serta negara kita," tambah beliau lagi.

PELAN KERJA DUA TAHUN; LAKAR TIGA STRATEGI UTAMA

Rangkaian Pemulihan Badan-badan Melayu/Islam yang melibatkan hampir 30 pertubuhan telah melakarkan tiga strategi utama.

Ia termasuk memperbaiki proses rujukan para pesalah kepada program-program sedia ada, mempertingkat kerjasama serta menggalakkan perkongsian amalan-amalan terbaik dan ilmu, serta memanfaatkan kebolehan setiap pertubuhan.

Superintenden Daerah Masjid-Masjid Utara Encik Yacob Ahmad berkata: "Antara yang dapat masjid bantu dan usahakan, yang pertama sekali, membantu keluarga mereka yang sedang di dalam penjara."

"Untuk daerah masjid-masjid utara, antara 16 masjid yang kita ada mempunyai lebih kurang 119 pendamping biasa. Jadi apa yang kami sedang usahakan, untuk memberi latihan khusus bagi pendamping ini supaya dapat menyokong menjadi pendamping yang dapat membantu keluarga bagi mereka yang sedang di dalam penjara," tambah beliau.

Pengerusi M³@Jalan Besar, Encik Didicazli Cindy Ismail pula mengalu-alukan pelan kerja yang dibentangkan itu.

Encik Didicazli berkata: "Dengan adanya rangka kerja yang dibentangkan hari ini, ia akan membantu M³@Jalan Besar untuk memberi bantuan lebih menyeluruh. Ini termasuk sokongan kewangan, bantuan daripada SSO."

"Ada antara mereka yang mempunyai anak-anak yang perlu sokongan pelajaran. Ada antara mereka juga, mungkin seorang ibu yang harus mencari pekerjaan. Atau seorang datuk atau nenek yang menjaga seorang cucu kerana ada anggota ahli keluarga yang berada dalam penjara," kata Encik Didicazli.

Hampir 10 sesi perbincangan dan forum sudahpun dirancangkan sehingga Disember tahun depan.

KEMPEN DADAH ITU HARAM DIPERHALUSI

Dalam pada itu, strategi kempen Dadah Itu Haram (DIH) juga diperhalusi lagi.

Sebelum ini, aktiviti yang dianjurkan lebih menjurus ke arah menjana kesedaran masyarakat terhadap masalah dadah, dan memperkasakan kumpulan sasaran dengan pengetahuan.

Rancangan tiga tahun buat kempen itu kini akan memberi tumpuan kepada arah hidup sihat bagi perubahan tingkah laku, selain terus meningkatkan kesedaran tentang isu penyalahgunaan dadah.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan