Rangkaian nasional bagi kesihatan mental rintis jalinan kesejahteraan dalam masyarakat
Sebuah rangkaian sosial bagi agensi dan pertubuhan khidmat sosial yang akan memperkenal serta mempertingkatkan program-program kesihatan mental dan kesejahteraan kepada masyarakat dilancarkan pada Sabtu (16 Jul).
SINGAPURA: Sebuah rangkaian sosial bagi agensi dan pertubuhan khidmat sosial yang akan memperkenal serta mempertingkatkan program-program kesihatan mental dan kesejahteraan kepada masyarakat dilancarkan pada Sabtu (16 Jul).
Rangkaian Kesejahteraan Mental SG bertujuan menyatukan rakan-rakan kongsi dan rakyat bagi mengukuhkan kesihatan mental dan kesejahteraan bagi Singapura, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Melancarkan inisiatif tersebut di Muzium Tamadun Asia (ACM) pada pagi Sabtu (16 Jul), Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Alvin Tan berkata rangkaian itu akan memberi tumpuan pada dua bidang: Mengukuhkan sokongan masyarakat dan rakan sebaya, serta meningkatkan kesedaran dan pendampingan.
"Kami menubuhkan rangkaian Kesejahteraan Mental SG untuk meningkatkan kesedaran dan menghakis stigma tentang isu-isu kesejahteraan mental, melengkapkan rakyat dengan kemahiran untuk menjaga diri sendiri dan orang lain, serta menyediakan ruang selamat untuk berbuat demikian," kata Encik Tan.
Rangkaian itu adalah lanjutan kepada Rangkaian Kesejahteraan Mental Belia, yang melibatkan lebih 1,500 orang dalam pembangunan 22 inisiatif akar umbi.
Rangkaian yang diperluaskan itu bertujuan menangani isu-isu kesihatan mental dalam masyarakat am dengan rancangan untuk meluaskannya lagi kepada sokongan keluarga dan di tempat kerja, kata Encik Tan.
Ia akan menjadi cabang kerjasama Pasukan Bertindak Antara Agensi bagi Kesihatan dan Kesejahteraan Mental, yang menghimpunkan rakan-rakan kongsi dalam ruang kesejahteraan dan kebajikan mental untuk memacu inisiatif yang selari dengan strategi-strategi di bawah pasukan bertindak itu, menurut MCCY.
Sekitar 100 rakan kongsi sedia ada dan baru di bawah Rangkaian Kesejahteraan Mental SG menghadiri majlis pelancaran itu, yang mana mereka terlibat dalam dialog bersama Encik Tan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.