Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian Masyarakat SG Cares berjaya damping lebih 6,300 keluarga sejak Jun; hubungkan penduduk dengan agensi relevan, dedah Masagos

Sepanjang kurang tiga bulan lalu, Rangkaian Masyarakat SG Cares sudahpun mendampingi lebih 6,300 keluarga yang tinggal di rumah sewa untuk bertanya khabar serta menghubungkan mereka dengan bantuan lanjut semasa pandemik COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Rangkaian Masyarakat SG Cares berjaya damping lebih 6,300 keluarga sejak Jun; hubungkan penduduk dengan agensi relevan, dedah Masagos

(Gambar-gambar: Masagos Zulkilfi/Facebook)

SINGAPURA: Sepanjang kurang tiga bulan lalu, Rangkaian Masyarakat SG Cares sudahpun mendampingi lebih 6,300 keluarga yang tinggal di rumah sewa untuk bertanya khabar serta menghubungkan mereka dengan bantuan lanjut semasa pandemik COVID-19.

Demikian didedahkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli dalam catatan Facebooknya pada Rabu (9 Sep).

Encik Masagos memberikan kemas kini itu selepas beliau bersama-sama dengan Setiausaha Parlimen Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua bertemu dengan beberapa relawan serta rakan kongsi Rangkaian Masyarakat SG Cares di SSO@Toa Payoh semalam.

(Gambar-gambar: Masagos Zulkilfi/Facebook)

Kumpulan tersebut sebahagian daripada 900 relawan yang bekerjasama dengan MSF, MCCY dan Persatuan Rakyat (PA) sejak Jun lalu untuk mendampingi para penduduk yang menetap di flat-flat sewa.

Daripada kira-kira 13,000 panggilan telefon yang dibuat sejauh ini, menurut Encik Masagos, kumpulan tersebut berjaya mendekati lebih 6,300 keluarga.

Melalui perbualan telefon itu, para penduduk mengutarakan isu-isu utama mengenai kewangan, pekerjaan dan perumahan. Para relawan merujukkan sekitar 2,300 keluarga kepada agensi-agensi yang relevan bagi mendapatkan bantuan lanjut.

Bagi keluarga yang tidak menyatakan keperluan segera pula, para relawan berkongsi maklumat tentang pelbagai skim berguna dan bagaimana mereka boleh mengaksesnya jika perlu.

Sementara itu, bagi keluarga yang tidak dapat dihubungi menerusi panggilan telefon, para relawan akan melakukan lawatan dari rumah ke rumah bagi bertanya khabar dan mendapatkan perkembangan semasa mereka.

Encik Masagos berkata COVID-19 adalah krisis "generasi kita" tetapi usaha seumpama ini membuktikan bahawa rakyat Singapura akan tampil untuk saling menjaga satu sama lain demi memastikan tiada seorang pun yang ketinggalan.

"Dengan pemerintah dan orang ramai berganding bahu, kita boleh bangkit lebih teguh," ujar Menteri itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para relawan, rakan kongsi masyarakat, agensi dan rakan setugas kita yang berkumpul bersama-sama untuk membantu golongan mudah terjejas serta keluarga yang mungkin menghadapi kesulitan akibat pandemik COVID-19," ujarnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan