Rangkaian lokar bungkusan dilancar seluruh negara seawal 2021
Pengguna yang membeli-belah online akan dapat menikmati kemudahan penghantaran lebih hebat dan pilihan pengambilan bungkusan lebih luas jauh lebih awal daripada yang dijangkakan, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Jumat (3 Jul).
(Gambar: IMDA)
SINGAPURA: Pengguna yang membeli-belah online akan dapat menikmati kemudahan penghantaran lebih hebat dan pilihan pengambilan bungkusan lebih luas jauh lebih awal daripada yang dijangkakan, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Jumat (3 Jul).
Sebanyak 1,000 stesen lokar bungkusan di bawah Rangkaian Lokar Bungkusan Seluruh Negara dijangka selesai dipasang menjelang 2021 - setahun lebih awal daripada jadual.
Kelompok pertama sekitar 200 stesen lokar akan dilancarkan mulai suku pertama 2021. Stesen lokar akan diletakkan di tempat awam utama seperti estet HDB, stesen MRT dan pusat pertukaran bas serta kelab masyarakat.
Para penduduk akan mempunyai sekurang-kurangnya satu stesen lokar bungkusan kira-kira lima minit perjalanan atau 250 meter dari blok HDB menjelang hujung 2021, menurut IMDA. Setiap stesen akan mempunyai 30 hingga 50 lokar.
IMDA akan melibatkan Pick Network untuk memasang, memiliki dan mengendalikan rangkaian lokar. Anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya itu akan menyelia tiga bidang utama: prasarana, ketersediaan perkhidmatan dan pelibatan.
Dari segi prasarana, Pick akan mengenal pasti tapak-tapak sesuai untuk stesen lokar itu dengan bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk pengguna, pemain industri dan agensi Pemerintah.
Di bahagian perkhidmatan, Pick akan memberi para penyedia khidmat logistik (LSP) seperti SingPost, DHL, EasyParcel, FedEx, J&T Express, Ninja Van, Qxpress, ST Logistics, UPS dan WMG akses yang adil serta terbuka kepada rangkaian lokar tersebut. Ini akan membolehkan LSP untuk mendakap rangkaian lokar dengan lebih mudah dan menyediakan pengguna dengan pengambilan lancar pada kadar yang dimampui, jelas IMDA.
Pick juga akan melibatkan pihak berkepentingan industri e-dagang untuk memudahkan lebih banyak pelibatan industri dan mendidik pengguna tentang manfaat rangkaian lokar.
Pick sudahpun menandatangani Memorandum Hasrat dengan pasaran e-dagang seperti Lazada, Qoo10 dan Shopee serta LSP seperti SingPost. Setelah loker siap, pelanggan yang membeli barangan dari wadah-wadah ini akan dapat mengambil bungkusannya dari stesen lokar Pick.
Pengendali lokar sedia ada juga akan mempunyai pilihan untuk menghubungkan lokar mereka dengan Rangkaian Lokar Bungkusan Seluruh Negara menerusi wadah Pick.
LANDSKAP E-DAGANG KIAN BERUBAH-UBAH
Meskipun Singapura mempunyai "budaya membeli-belah" di mana penduduk gemar berbelanja di pusat beli-belah, COVID-19 sudah "mengubah minda", kata Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran semasa sesi Zoom dengan para wartawan serta rakan kongsi industri pada Jumaat (3 Jul).
Dengan rangkaian lokar, akan ada wadah "biasa" dan "merata" untuk meningkatkan daya penghasilan serta kecekapan.
"Lebih banyak penghantaran dilakukan dalam jangka waktu lebih pendek (pada dasarnya) bermaksud pulangan yang lebih baik bagi syarikat tetapi juga pekerjaan lebih baik bagi mereka yang terlibat dalam sektor penghantaran," kata Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Sim Ann.
Rangkaian lokar juga akan menyediakan pelanggan dengan lebih banyak pilihan sekiranya mereka memilih penghantaran ke rumah, penghantaran ke titik rangkaian atau mengambil bungkusan mengikut masa mereka sendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.