Rangkaian laluan berbasikal dilanjutkan kepada 1,000km jelang 2040
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) merancang untuk menambah rangkaian laluan berbasikal di negara ini sebanyak 30% lebih panjang menjadi 1,000km menjelang 2040, menurut Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 (LTMP 2040) yang dikeluarkan hari ini (25 Mei).
Gambar fail penduduk berbasikal. (Gambar: Ngau Kai Yan)
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) merancang untuk menambah rangkaian laluan berbasikal di negara ini sebanyak 30% lebih panjang menjadi 1,000km menjelang 2040, menurut Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 (LTMP 2040) yang dikeluarkan hari ini (25 Mei).
Pelan tersebut merupakan lanjutan kepada komitmen yang dibuat pada 2013 iaitu untuk membina laluan berbasikal sepanjang 700km menjelang 2030, dedah LTA.
Menurutnya, sejauh ini, laluan berbasikal sepanjang 440km sudahpun dibangunkan.
Demi mencapai matlamat tersebut, LTA akan membina laluan berbasikal di kedua-dua bahagian jalan raya di kawasan-kawasan yang sedang dibangunkan seperti Kampong Bugis, Tengah dan Woodlands North Coast.
Ia juga akan meneroka kemungkinan menyediakan kemudahan berbasikal di kawasan kediaman privet dan estet perusahaan.
Gagasan untuk meluaskan rangkaian laluan berbasikal di Singapura adalah sebahagian daripada visi LTA untuk membolehkan para penumpang sampai ke tempat kerja dalam masa 45 minit dan 20 minit untuk ke kemudahan-kemudahan di kawasan perumahan.
MEMPERBAIKI KELAJUAN BAS
Salah satu lagi matlamat LTMP 2040 adalah untuk memperbaiki tahap kelajuan bas. Bagi tujuan itu, LTA menyatakan ia akan memperkenalkan lebih banyak "Koridor Keutamaan Transit" (TPC) secara bertahap-tahap.
TPC adalah laluan khusus bas dan lorong berbasikal bagi perjalanan keluar masuk bandar dengan yang pertama sudahpun dilaksanakan di Bencoolen Street.
LTA mendedahkan kawasan lain yang mungkin mempunyai TPC adalah Robinson Road, Loyang, Tengah, Daerah Tasik Jurong dan Woodlands North Coast.
Ia juga menambah bahawa Koridor Utara-Selatan yang dijangka siap pada 2029, bakal menjadi TPC terpanjang di Singapura dan boleh menjimatkan masa perjalanan penumpang sehingga 15 minit.
LEBIH BANYAK HAB PENGANGKUTAN BERSEPADU
Dari segi prasarana pengangkutan awam pula, selain pembinaan lebih banyak stesen MRT dan kemungkinan laluan rel baru, LTA juga akan meninjau kemungkinan membangunkan hab pengangkatan bersepadu yang baru bagi menyediakan hubungan lancar antara khidmat bas dengan kereta api.
LTA menyatakan kemudahan-kemudahan berhawa dingin itu akan dihubungkan dengan pusat beli belah bagi menyediakan akses lebih mudah sebagai sebahagian daripada pengalaman perjalanan menggunakan pengangkutan awam .
Kemudahan-kemudahan tersebut dirancang dibina di Beauty World, Bedok South, Hougang, Jurong East, Marina South, Pasir Ris, Tampines North dan Tengah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.