Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian kerjasama M³ dengan rakan kongsi masyarakat yang kukuh penting: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Memperkukuh rangkaian kerjasama dengan masyarakat rakan kongsi penting dalam usaha menyokong segmen masyarakat yang memerlukan yang lebih luas.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli berkata demikian di acara makan malam M³ di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Selasa (12 Sep).

Menurut Encik Masagos, rakan-rakan masyarakat memainkan peranan penting dalam mengumpulkan sumber, menyatukan masyarakat dan menerapkan pelbagai program dan inisiatif supaya ia dapat menjamin masa hadapan yang lebih cerah buat masyarakat.

"Sukarelawan kami adalah tulang belakang dan nadi kami dalam M³. Saya sangat gembira dapat bertemu dengan mereka. Mereka sudah berjaya dalam kehidupan dan tampil ke hadapan untuk menjadi sukarelawan dengan M³ dan menjadi warganegara yang aktif menyumbang kepada masyarakat seperti Puan Presiden."

"Kini ada lebih 800 relawan M³ di 11 M³@Bandar dan lebih ramai lagi di masjid, MENDAKI dan pertubuhan lain. Semua bekerja keras dengan agensi termasuk peringkat akar umbi Persatuan Rakyat dan rakan-rakan masyarakat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Tambahan pula, lebih ramai karyawan termasuk doktor, peguam, pakar IT yang bekerjasama dengan MENDAKI menerusi rangkaian M³," tambah beliau.

PERINGATI, HARGAI SUMBANGAN PRESIDEN HALIMAH YACOB

Encik Masagos turut menyanjung dan memperingati sumbangan Presiden Halimah Yacob sepanjang jawatannya sebagai Ketua Negara.

Puan Halimah, menurut beliau, telah menyumbang masa dan tenaganya kepada usaha menyatukan masyarakat Singapura serta memperkukuhkan landskap sosial termasuk masyarakat Melayu/Islam.

"Presiden Halimah telah menyumbang kepada pelbagai inisiatif yang dijalankan M³ serta pertubuhan dan badan kebajikan Melayu/Islam.

"Selain daripada dialog-dialog yang telah beliau terajui dengan pelbagai anggota masyarakat, daripada golongan belia, golongan karyawan hingga kepada warga emas, beliau juga telah membantu mengumpul dana untuk meningkatkan golongan yang lemah dan memupuk semangat kewarganegaraan yang aktif dalam kalangan kita," kata Encik Masagos.

Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim berkata Presiden Halimah telah memberikan sokongan kukuh kepada masyarakat Melayu/Islam semasa pandemik COVID-19 serta keprihatinan beliau dalam memperjuangkan isu-isu semasa.

"Presiden Halimah telah memperjuangkan beberapa isu yang menjadi keprihatinan kaum wanita, belia dan pekerja kita dan semasa wabak pandemik COVID-19, beliau telah banyak memberikan sokongan kepada badan-badan Melayu kita dan M³ khususnya untuk mereka yang terjejas dengan pandemik," kata Encik Zhulkarnain.

KONGSI PENGALAMAN, SUNTIK SEMANGAT UNTUK MAJU BERSAMA

Menurut Pengerusi dan Pengerusi Penyelaras, M³@Bedok, Encik Mohd Raihan Hafidz Mohd Rafiek, sesi bina rangkaian M³ itu juga bertujuan untuk menyuntik semangat buat para sukarelawan untuk terus berusaha dan bekerja keras untuk berjaya.

"Selain daripada memberi penghargaan kepada Puan Halimah untuk sumbangan beliau, ini juga untuk menguatkan lagi interaksi antara kita sukarelawan di M³ dan juga untuk kami berkongsi 'Way Forward' ataupun kisah kejayaan untuk kita saling mendorong antara satu sama lain dalam kerja-kerja kami," kata Encik Mohd Raihan.

'SEMANGAT YANG BAHARU'

Encik Masagos turut menggesa para pemimpin muda untuk mengambil iktibar daripada semangat baharu dan kerja keras yang dipaparkan bapa pengasas Singapura demi membina masa depan yang lebih cerah.

"Pengasas negara kita telah memberikan kita satu landasan bagi kita untuk membina sesuatu yang baharu dan saya harap dengan ahli-ahli M³ dapat menghidupkan semangat ini," kata Encik Zhulkarnain.

"Ini akan menjadi satu lonjatan bagi mereka untuk meneruskan perjuangan dengan “Semangat yang Baharu” dan apabila kita lihat apa yang telah dikecapi oleh tokoh-tokoh masyarakat kita seperti Presiden Halimah, harap-harapnya anak-anak muda kita dapat teruskan semangat dan perjuangan ini," tambah beliau.

Mereka yang hadir dihiburkan dengan persembahan daripada lagenda rok tanah air, Datuk Ramli Sarip, Rahimah Rahim dan kumpulan tarian Tradisional Melayu, Kirana Seni.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan