Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian Jaga Kesihatan Jaga Ummah dan HPB berjaya dekati 29,000 penduduk pada 2021

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak masjid, badan-badan Melayu/Islam, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), jawatankuasa M³ dan juga kelompok-kelompok jagaan kesihatan kini menyertai insiatif Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU).

Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli berkongsi perkembangan tersebut di acara JKJU di Wisma Geylabng Serai hari ini (19 Nov).

JKJU diperkenalkan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB)untuk memperkukuh penggalakan kesihatan dalam kalangan anggota masyarakat Melayu.

"Daripada 15 masjid pada tahun 2017, saya dengan sukacitanya berkongsi bahawa kami telah mengembangkan rangkaian kepada 64 rakan kongsi.

Ia bukan sahaja masjid-masjid tetapi juga MAEC dan Pertubuhan Melayu Islam. Ini memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat kita untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat," kongsi Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli dalam ucapannya yang sampaikan menerusi rakaman video.

Pada tahun lalu, rangkaian JKJU dan HPB secara kolektif berjaya mendekati lebih 29,000 penduduk melalui pelbagai aktiviti hidup sihat.

Dalam majlis itu, Encik Masagos memberi pengiktirafan kepada 53 pertubuhan termasuk masjid-masjid atas usaha dan pencapaian mereka melibatkan masyarakat Melayu/ Islam dalam aktiviti kesihatan.

Salah satu daripadanya adalah Masjid Hasanah yang  menganjurkan sesi Zumba Gold secara maya pada setiap minggu untuk menggalakkan para jemaah kekal aktif.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Rahayu Mahzam pula berkata banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menggalakkan masyarakat Melayu ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

"Ia adalah peluang untuk kita mempelajari tentang apa yang telah diusahakan oleh rakan kongsi yang berbeza-beza dan memikirkan bagaimana kita dapat menghimpunkan masyarakat Melayu ke arah gaya hidup yang lebih sihat dengan lebih baik. Ini sejajar dengan usaha SG Lebih Sihat yang telah diumumkan oleh pemerintah baru-baru ini. Saya gembira melihat masyarakat kita mengambil bahagian dan menyumbang secara aktif," kata Cik Rahayu.

Beliau menekankan perlunya mengambil pendekatan strategik dan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang masih menjadi kebimbangan masyarakat.

"Di peringkat nasional, terdapat pelbagai program untuk menyokong rakyat Singapura, termasuk masyarakat Melayu, untuk mengamalkan dan mengutamakan gaya hidup sihat. Melalui aplikasi mudah alih Healthy 365, kami boleh mengakses dan mendaftar untuk program yang menyokong matlamat kesihatan," tambah beliau.

Selain memanfaatkan program sedia ada, beliau menggesa masyarakat untuk menyokong inisiatif Saham Kesihatan yang dikhususkan untuk masyarakat Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan