Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian dan kemahiran relawan akan diperkukuh di bawah inisiatif Pembetulan 2030

Pelbagai usaha dan langkah baharu telah diselaraskan oleh agensi pemerintah untuk membanteras penipuan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelbagai usaha dan langkah baharu telah diselaraskan oleh agensi pemerintah untuk membanteras penipuan.

Namun, pada akhirnya, masyarakat yang perlu peka dan berwaspada terhadap sebarang ancaman penipuan.

Demikian ditekankan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam satu wawancara bersama wartawan Nurhelmy Hakim.

"Yang penting adalah bagaimana kita boleh membangunkan masyarakat yang tahu ada kes-kes penipuan secara online. Yang kedua, mereka juga mempunyai ilmu. Mereka juga arif dalam proses ini. Jadi dengan adanya pendedahan kesedaran dan juga tabiat berjaga-jaga, kita boleh membanteras penipuan," tegas Dr Faishal.

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Khamis (29 Feb), Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Cik Sun Xueling menyentuh tentang satu rang undang-undang baharu yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan bagi menghukum mereka yang menyalah guna kad SIM tempatan bagi aktiviti penipuan dan jenayah-jenayah lain.

'

"Bilangan kes kes penipuan telah meningkat hampir 50 peratus dari tahun 2022 hingga 2023. Peningkatan ini kebanyakannya disebabkan penipuan menggunakan kejuruteraan sosial dan memperdayakan mangsa untuk memindahkan wang. Penipuan ini membentuk 92 peratus daripada kerugian penipuan, atau kira kira S$600 juta, daripada jumlah S$652 juta kerugian bagi penipuan pada tahun 2023.

"Kami kini lebih faham wadah platform dan juga landskap sindiket penipuan dan di mana sumbernya. Kita lihat sindiket-sindiket selalu menukar cara mereka menipu. Ini kerana mereka dapat melihat pemerintah di merata dunia tahu tentang ini dan cuba menanganinya," jelas Dr Faishal.

Lantaran itu, satu Rang Undang-undang baharu akan menghukum mereka yang membantu sindiket untuk memperoleh kad-kad SIM tempatan.

Dr Faishal berkata: "Ini termasuk pendaftar yang tidak bertanggungjawab, yang menyerahkan kad-kad SIM tempatan yang berdaftar di bawah nama mereka kepada orang lain, dan juga mereka yang membeli dan menjual kad-kad SIM tempatan yang berdaftar dengan menggunakan butiran orang lain."

PERKUKUH KEMAHIRAN RELAWAN ANTARA TERAS UTAMA PEMBETULAN 2030

Dalam ucapan COS beliau, Dr Faishal menyentuh tentang pemulihan oleh Jabatan Penjara Singapura (SPS) yang melibatkan usaha para relawan dan rakan-rakan masyarakat.

Ia merangkumi tiga strategi termasuk memberi sokongan kepada keluarga banduan bagi mengurangkan kesalahan antara generasi.

Strategi seterusnya melibatkan memaksimumkan peluang bagi bekas pesalah untuk mendapatkan pekerjaan, dengan tumpuan meningkatkan harga diri mereka, menyediakan kestabilan kewangan, sekali gus mengurangkan risiko mengulangi kesalahan.

Akhir sekali, menggerakkan rakan kongsi masyarakat bagi memberi sokongan pemulihan dan integrasi semula dengan lebih baik.

Menurut Dr Faishal, pihak SPS akan mempergiat jenis-jenis latihan yang berasaskan pemulihan.

Rangkaian latihan yang akan dipertingkatkan oleh SPS itu adalah di bawah Rangka Kerja Pembangunan untuk Kakitangan Pemulihan Pesalah yang dikemas kini.

Ia akan menyediakan relawan dengan kemahiran-kemahiran khusus untuk bekerjasama dengan banduan serta bekas pesalah dan keluarga mereka.

Ini termasuk pengurusan trauma emosi.

Dr Faishal berkata: "Ini penting kerana ini bukan satu usaha yang mudah. Jadi, pihak penjara bekerjasama dengan MSF dan Pusat Khidmat Keluarga (FSC) dan kita mahu meneruskan dan mengukuhkan lagi proses ini.

"Jadi, kita akan mengadakan latihan bagi membantu mereka memahami tentang kehidupan. Kita pun mahu meningkatkan keupayaan kemahiran para sukarela. Kami akan memberikan latihan tentang bagaimana seorang itu boleh memahami keperluan keluarga banduan dan etika-etika tertentu serta juga sistem," tambah beliau lagi.

Dengan adanya rangkaian latihan sedemikian, Dr Faishal berkata, masyarakat akan terus membangun dan memberikan sokongan dan bantuan yang mantap buat  banduan dan keluarga mereka.

MAKLUM BALAS POSITIF PERSIDANGAN RANGKAIAN PEMULIHAN MMO

Dalam ucapannya, Dr Faishal menyentuh tentang kepentingan ekosistem sokongan bagi para banduan dan bekas pesalah Melayu Islam.

"Mereka merupakan rakan kongsi utama kita yang menjalankan program-program nuansa budaya dan telah memainkan peranan yang besar dalam mengurangkan kadar bentan dua tahun bagi pesalah Melayu daripada kira-kira 34 peratus kepada 26 peratus pada dekad yang lalu."

Mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut, Dr Faishal menarik perhatian maklum balas positif terhadap sidang Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) pada Januari lalu.

Menurut Dr Faishal, meskipun belum kukuh, kakitangan yang terlibat sudahpun mempunyai rancangan untuk memperkukuhkan bantuan bagi golongan banduan dan keluarga mereka.

"Para pegawai masjid-masjid setelah mereka menghadiri persidangan itu, mereka memikirkan bagaimana mereka boleh meneruskan usaha ini dan meluaskan usaha mereka supaya mereka boleh memberi sokongan yang lebih mantap kepada badan dan keluarga. Kita dapat melihat bagaimana badan-badan ataupun agensi-agensi pemerintah dapat bekerjasama dengan satu sama lain. Mereka adakan program latihan dan mereka mendapat pengetahuan lebih lanjut tentang keperluan anak-anak dan juga keluarga banduan ini," ujar Dr Faishal.

Persidangan tersebut kata Dr Faishal juga bukan setakat menjana idea bagi melakar bantuan buat bekas pesalah tetapi menjalin kerjasama baharu antara badan-badan yang terlibat.

Beliau berkata bahawa sudah ada rancangan untuk menganjurkan persidangan serupa pada masa hadapan.

"Pada tahun-tahun yang mendatang, mereka mahu menyediakan wadah perkongsian. Bagaimana kita dapat melihat walaupun badan-badan MMO ini mempunyai bidang kekuatan masing-masing tetapi apabila mereka bersatu padu dan mempunyai satu matlamat yang murni dan sama untuk memberi sokongan kepada para banduan dan keluarga mereka," kata beliau lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan