Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian baru MMO dilancarkan, dianggotai 25 badan Melayu/Islam, 11 M³@Bandar

Sebuah rangkaian yang dianggotai 25 badan Melayu/Islam (MMO) dan 11 rangkaian M³@Bandar dilancarkan hari ini (30 Nov) dalam usaha mahu membela nasib individu dan keluarga berisiko dengan lebih baik lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah rangkaian yang dianggotai 25 badan Melayu/Islam (MMO) dan 11 rangkaian M³@Bandar dilancarkan hari ini (30 Nov) dalam usaha mahu membela nasib individu dan keluarga berisiko dengan lebih baik lagi.

Semasa melancarkannya Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Faishal Ibrahim berharap rangkaian itu akan dapat mewujudkan keluarga lebih kukuh serta masa depan kanak-kanak lebih cerah.

Beliau berharap rangkaian itu akan juga dapat membangunkan masyarakat yang mengambil peduli antara satu sama lain.

SOKONGAN LEBIH TEPAT BUAT GOLONGAN BERISIKO

Sebilangan pesalah dan bekas pesalah didapati kurang sedar tentang program-program yang disediakan oleh badan-badan Melayu/Islam (MMO).

Kadangkala bantuan yang dihulurkan pula tidak sepadan buat golongan itu.

Dalam pada itu, sumber khidmat dan program sesebuah MMO pula mungkin tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Lantaran itulah, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menggembleng satu rangkaian MMO untuk menggiatkan usaha bersama demi menyediakan sokongan yang lebih tepat buat golongan tersebut.

Rangkaian itu dianggotai badan-badan seperti Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Bapa Sepanjang Hayat, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Jamiyah, AMP, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS) serta Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (FITRAH).

Usaha itu dilakukan di bawah Bidang Tumpuan Kedua (FA2) M³ yang bertujuan untuk menyediakan sokongan holistik buat para individu dan keluarga-keluarga berisiko.

Semasa acara pelancaran rangkaian tersebut, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim berkata: "Dengan adanya sinergi ini, ia boleh meluaskan pendekatan kita dan memberikan ruang bagi kita untuk memikirkan dari segi sebagai satu rangkaian bagaimana kita boleh meluaskan sokongan untuk diberikan kepada keluarga-keluarga ini."

Rangkaian itu juga akan membolehkan anggota kerabatnya berkongsi sumber selain memahami khidmat yang disediakan agensi-agensi lain.

"Dari segi kepakaran yang ada sekarang ini, masih lagi terhad sebenarnya dalam bidang isu-isu dadah dan pemulihan mereka yang telah mengambil dadah. Keduanya, jaringan keselamatan yang ada harus diperluaskan," kata Pengerusi Jamiyah Darul Islah, Dr Isa Hassan.

"Dan kerjasama seperti ini penting dari segi pertukaran pengetahuan, pengurusan pengetahuan dalam bidang ini," tambahnya.

Dr Isa menukil contoh bagaimana Jamiyah Darul Islah bekerjasama dengan FITRAH untuk menyediakan sokongan lebih menyeluruh.

"Jadi, dengan kerjasama seperti dengan satu misalan FITRAH, setiap penghuni yang telah tamat di Jamiyah Halfway House,dibawa ke tempat-tempat pusat FITRAH yang terdekat. Jamiyah tidak dapat melakukan semuanya, jadi kami boleh membuat satu rujukan dan pertubuhan itu mengambil alih dan dalam bekerjasama ini, mungkin kita dapat menyelamatkan lebih banyak, lebih berkesan lagi usaha kami."

Sebuah lagi MMO yang menunjukkan komitmennya dalam rangkaian itu adalah AMP.

Pengurus Kanan badan bantu diri, AMP, Cik Hameet Khanee berkata: "Rangkaian ini menyediakan wadah di mana kolaborasi di antara agensi-agensi dapat memastikan bahawa setiap keperluan khusus para pesalah dadah ini dan juga keluarga mereka dapat dipenuhi dan mereka tidak perlu ke beberapa agensi untuk mencari bantuan."

Walaupun kini sudah ada sejumlah 36 pihak menyertai rangkaian ini, MHA menyatakan ia mahu terus meluaskannya untuk menyokong khalayak sasarannya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan