Rangka Kerjaya dan Kecekapan (CCF) dilancar April, pertingkat laluan kerjaya asatizah
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang membangunkan Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP) bagi merubah dan menjadikan sektor asatizah lebih profesional
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang membangunkan Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP) bagi merubah dan menjadikan sektor asatizah lebih profesional, menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman semasa perbahasan peruntukan bagi Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Jumaat (6 Mac).
AWDP juga dibangunkan bagi meningkatkan daya tarikan sektor agama serta kemahiran dan keupayaan para asatizah.
Ini memandangkan sebahagian besar pekerjaan dalam sektor agama tidak berstruktur, sekali gus mengakibatkan peluang terhad bagi para asatizah maju, jelas Dr Maliki.
Dr Maliki, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA), berkata usaha tersebut adalah salah satu daripada tiga tunjang strategik bagi merealisasikan visi asatizah masa depan sebagai karyawan, peran contoh dan pemimpin agama dalam masyarakat majmuk dan berbilang budaya.
RANGKA KERJAYA DAN KECEKAPAN INISIATIF PERTAMA AWDP
Dr Maliki menarik perhatian para asatizah boleh menjangkakan inisiatif pertama di bawah AWDP pada April tahun ini, iaitu Rangka Kerjaya dan Kecekapan (CCF).
Rangka kerja tersebut membutirkan peranan dan laluan berbeza dalam sektor keagamaan formal dan menyediakan maklumat bagi set kemahiran tertentu yang diperlukan.
"Dengan rangka kerja ini, asatizah boleh merancang kerjaya mereka dengan lebih baik dan mempelajari tentang kemahiran dan keupayaan yang diperlukan secara proaktif bagi pelbagai laluan kerjaya," kata Dr Maliki.
LEBIH BANYAK INISIATIF AWDP 3 TAHUN AKAN DATANG
Dalam masa tiga tahun akan datang, MUIS juga akan membangunkan lebih banyak inisiatif di bawah AWDP, kata Dr Maliki.
Salah satunya ialah pelan meningkatkan kemahiran bagi asatizah mengukuhkan pembangunan ilmu dan kemahiran. Ini akan dibangunkan dalam rangka kerja Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Inisiatif lain termasuk program biasiswa dan pengurusan bakat berstruktur bagi mengenal pasti dan membangunkan pemimpin agama masa depan serta semakan garis panduan gaji bagi asatizah di masjid dan madrasah.
KURSUS PENDIGITALAN, MEDIA SOSIAL
Di samping itu, MUIS juga akan menganjurkan kursus-kursus relevan dalam pendigitalan dan penggunaan media sosial.
Ini diadakan bagi asatizah yang berminat meningkatkan diri mereka mengenai isu-isu yang kian timbul.
"Pembelajaran sepanjang hayat penting bagi semua rakyat Singapura yang mahu kekal relevan, dan asatizah kita juga tidak terkecuali.
"Tokokan Kredit SkillsFuture yang diumumkan Belanjawan 2020 akan menjadi dorongan tambahan bagi mereka mendedahkan diri kepada kemahiran dan peluang baru," kata Dr Maliki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.