Skip to main content

Singapura

Rangka Kerja Strategik MABIMS lakarkan usaha tangani cabaran global & perkukuh perpaduan serantau

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Oct 2025 01:23PM Dikemas Kini : 03 Nov 2025 02:08PM
SINGAPURA: Menteri-menteri agama dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) meluluskan satu rangka kerja yang menetapkan hala tuju baharu kerjasama Islam serantau dalam menghadapi cabaran global dan memperkukuh perpaduan masyarakat Islam di rantau ini.

Rangka Kerja Strategik Lima Tahun (2026–2030) itu juga merangkumi usaha memperkasa belia, memperkukuh pendidikan agama serta kehidupan beragama demi kebaikan bersama.

Ini di samping memupuk keharmonian sosioekonomi dan perpaduan serantau.
Related article image
Ini merupakan penyertaan pertama Dr Faishal dalam MABIMS sejak menyandang jawatan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. (Gambar: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Setiap bidang keutamaan akan diterajui oleh negara penyelaras masing-masing, yang akan memantau pelaksanaan dan mengukur keberkesanan inisiatif tersebut.

Pelan tersebut diluluskan semasa Mesyuarat Menteri MABIMS yang berlangsung di Melaka dari 16 hingga 19 Oktober 2025.

Delegasi Singapura menyertai pelbagai sesi utama termasuk Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) serta Mesyuarat MABIMS.

Mesyuarat tersebut membuka ruang untuk membincangkan keutamaan bersama, berkongsi pengalaman dan merancang pendekatan kolaboratif bagi memperkukuh pembangunan Islam di rantau ini.

Penyertaan kali ini juga merupakan yang pertama bagi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, sejak pelantikan beliau pada Mei 2025.

KERJASAMA SERANTAU TANGANI CABARAN GLOBAL

Dalam Mesyuarat Menteri-menteri Agama, Dr Faishal menekankan peri perlunya kerjasama Islam serantau yang lebih kukuh bagi menangani cabaran global seperti perubahan teknologi, tekanan iklim dan ketidaktentuan geopolitik.
 
Related article image
Dr Faishal menekankan pentingnya kerjasama Islam serantau yang lebih kukuh bagi tangani cabaran global. (Gambar: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Beliau menegaskan bahawa untuk membina masyarakat Islam yang berdaya tahan dan mudah menyesuaikan diri, usaha mesti berasaskan institusi yang kukuh, pendidikan agama berkualiti serta rangkaian sokongan yang berkesan.

Para pemimpin turut membincangkan perancangan strategik jangka panjang dan pendekatan inovatif bagi memperkukuh kerjasama masa depan.

Dr Faishal menyifatkan pertukaran pandangan itu sebagai satu pengalaman bermakna yang memperlihatkan kepimpinan, visi dan tekad kolektif MABIMS.

FORUM PERDANA: HADAPI CABARAN MODEN DENGAN KEPIMPINAN BERWAWASAN

Dr Faishal turut menyertai barisan panel yang terdiri daripada para pemimpin agama dari empat negara anggota MABIMS dalam Forum Perdana pada 16 Oktober 2025.
Related article image
Dr Faishal turut menyertai barisan panel dalam Forum Perdana Ehwal Islam di Melaka. (Gambar: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Forum itu meneliti cabaran dan peluang bersama yang dihadapi umat Islam masa kini.

Dr Faishal menekankan peri perlunya memperkukuh kehidupan beragama sambil menyokong pencapaian sosial dan ekonomi dalam masyarakat yang semakin majmuk dan moden.

Forum itu turut menonjolkan peranan kepimpinan agama dalam membantu masyarakat mengharungi dunia moden dengan kefahaman Islam yang berwawasan, berprinsip dan penuh belas ihsan, di samping memperkukuh institusi keagamaan dan pendidikan Islam yang relevan dengan zaman.

“Rantau Nusantara mempunyai potensi untuk menjadi hab pendidikan Islam kontemporari yang menggabungkan tradisi dan pembaharuan kerana kepelbagaian tradisinya. Melalui kerjasama serantau ini dan hab pembelajaran Islam kontemporari, kita dapat membangunkan asatizah yang berilmu, berakhlak dan berwibawa, yang boleh kita banggakan,” ujar Dr Faishal.
MUFTI NAZIRUDIN: MUSLIM ASIA TENGGARA JADI TELADAN

Sebelum mesyuarat para menteri, Mesyuarat Pegawai Kanan MABIMS ke-49 turut diadakan dan ia menghimpunkan para pegawai kanan agama daripada keempat-empat negara.

Turut menyertai delegasi dari Singapura ialah Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir.
 
Related article image
Dr Nazirudin menyeru agar pemimpin agama rantau ini memperkukuh nilai keseimbangan dan kesederhanaan yang menjadi identiti Islam Asia Tenggara. (Gambar: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Dalam penyampaiannya, beliau menyeru agar pemimpin agama rantau ini memperkukuh nilai keseimbangan dan kesederhanaan yang menjadi identiti Islam Asia Tenggara – satu model bagaimana masyarakat Islam dapat hidup harmoni dalam masyarakat berbilang bangsa sambil memacu kemajuan mampan.
PERKUKUH PIAWAIAN HALAL & EKONOMI MUSLIM

Di samping itu, MUIS turut menyertai Sidang Puncak Halal MABIMS 2025 dan Mesyuarat Teknikal Halal pada 17 Oktober bagi membincangkan peluang memperkukuh piawaian halal dan memperluas kerjasama ekonomi dalam ekosistem halal serantau.

Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengangkat standard halal sebagai teras daya saing ekonomi umat Islam di rantau ini.
Related article image
Pengarah Halal MUIS, Faizal Othman mewakili delegasi Singapura di Sidang Puncak Halal MABIMS. (Gambar: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Penyertaan Singapura kali ini turut mencerminkan komitmen berterusan MUIS dalam membina perkongsian strategik dan memperkukuh pembangunan masyarakat Islam serantau.

Melalui rangka kerja MABIMS, Singapura menegaskan peranannya sebagai rakan aktif dalam usaha memupuk perpaduan dan kemajuan umat Islam di Asia Tenggara.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/NF/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita