Skip to main content

Singapura

Rangka kerja gaji ahli politik perlu dikemas kini, kekalkan semangat berkhidmat: Chan Chun Sing

Singapura perlu memastikan rangka kerja gaji pemegang jawatan politik sentiasa dikemas kini bagi mengimbangi usaha mengekalkan semangat dalam bidang khidmat politik dengan memperluaskan kumpulan rakyat yang secara realistik boleh mempertimbang untuk berkhidmat, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Selasa (8 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Rangka kerja gaji ahli politik perlu dikemas kini, kekalkan semangat berkhidmat: Chan Chun Sing

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing menyampaikan kenyataan menteri di parlimen berhubung Semakan Gaji bagi Pemegang Jawatan Politik dan Anggota Parlimen pada 8 September 2026. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 08 Sep 2026 03:01PM
  • Pemerintah Singapura mengumumkan kenaikan gaji sehingga sembilan peratus untuk pemegang jawatan politik selepas 15 tahun tanpa pelarasan.
  • Chan Chun Sing menegaskan semakan ini penting agar lebih ramai rakyat berkebolehan dari pelbagai latar belakang dapat mempertimbangkan khidmat politik tanpa beban kewangan melampau.
  • Jawatankuasa Semakan 2026, yang turut dianggotai wakil sektor swasta, menjalankan kajian menyeluruh sebelum cadangan dikemukakan.
  • Langkah ini bertujuan memastikan sistem kekal relevan, membina pasukan kepimpinan pelbagai, dan menjamin masa depan Singapura yang lebih baik.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura perlu memastikan rangka kerja gaji pemegang jawatan politik sentiasa dikemas kini bagi mengimbangi usaha mengekalkan semangat dalam bidang khidmat politik dengan memperluaskan kumpulan rakyat yang secara realistik boleh mempertimbang untuk berkhidmat, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Selasa (8 Sep).

Dengan memastikan rangka kerja tersebut kekal relevan, individu berkebolehan dan komited daripada pelbagai latar belakang serta pada peringkat kehidupan yang berbeza boleh tampil untuk berkhidmat, bukan hanya mereka yang bebas daripada kekangan kewangan atau sanggup membuat pengorbanan luar biasa dari segi gaya hidup, kata beliau.

“Kita mahu untuk berkata kepada rakyat Singapura yang berkebolehan, ‘Singapura memerlukan anda, dan walaupun khidmat politik memerlukan pengorbanan, ia tidak akan membebankan anda dan keluarga secara tidak munasabah’,” kata Encik Chan di parlimen.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan respons pemerintah terhadap laporan Jawatankuasa Semakan 2026, yang merangkumi Semakan Gaji bagi Pemegang Jawatan Politik dan Anggota Parlimen.

Encik Chan berucap selepas Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pada Selasa bahawa para pemegang jawatan politik Singapura yang sedang berkhidmat akan menerima kenaikan gaji sehingga sembilan peratus.

Semakan itu pada asasnya bertujuan memberi Singapura peluang lebih baik untuk membentuk “pasukan bertaraf tinggi”, kata Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan.

Rakyat Singapura yang lebih muda mungkin sedang membina kerjaya, membesarkan keluarga dan memikul komitmen kewangan yang besar ketika berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an.

Pemerintah mahu golongan sedemikian dapat menyandang jawatan awam ketika berada di kemuncak usia yang produktif, agar mereka mempunyai tenaga dan tempoh yang mencukupi untuk membina pengalaman serta kepercayaan rakyat Singapura.

Pada masa yang sama, mereka yang sudah mencapai kedudukan yang lebih kukuh dalam kerjaya mungkin meraih pendapatan jutaan dolar setahun.

“Kita tidak cuba untuk menyamai jumlah itu dan kita juga tidak seharusnya berbuat demikian,” kata Encik Chan. “Namun, kita tidak boleh berpura-pura bahawa kos melibatkan peluang sedemikian tidak wujud.”

Beliau kemudian berkata pemerintah memahami bahawa ia tidak akan mampu menyamai gaji semua individu yang ingin direkrutnya dan tidak kira berapa tinggi gaji pemegang jawatan politik, sesetengah individu tetap tidak akan memilih untuk menyertainya.

Sebaliknya, wang tidak boleh menjadi dorongan utama bagi sesiapa yang menyertai khidmat politik, kata beliau. “Jika wang adalah sebab utama anda mahu menjadi menteri, terus terang, anda bukan individu yang kami cari.”

Justeru, perlu adanya keseimbangan yang membolehkan lebih ramai rakyat Singapura mempertimbangkan untuk berkhidmat tanpa menjejas semangat khidmat politik, kata Encik Chan.

SUMBANGAN “JAUH MELANGKAUI SOAL GAJI”

Encik Chan mengakui bahawa isu gaji politik sukar untuk dibincangkan “walaupun dalam keadaan terbaik”.

Rakyat Singapura mempunyai pelbagai keprihatinan dan mengharapkan pemerintah menangani isu-isu tersebut dengan sewajarnya.

Atas sebab itu, pemerintah perlu memastikan rakyat Singapura yang berkebolehan tidak keberatan untuk tampil ke hadapan bagi menangani isu-isu tersebut, kata beliau.

“Pada masa yang sama, kita tahu bahawa sumbangan pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen jauh melangkaui soal gaji,” kata beliau.

"Kos melibatkan peluang dan tuntutan kehidupan dalam khidmat awam yang menyebabkan masa bersama keluarga dan insan tersayang terjejas bukan sesuatu yang kita pandang ringan. Kita tidak boleh menghapuskan pengorbanan ini, tetapi kita boleh memastikan pilihan untuk berkhidmat tidak menjadi terlalu membebankan,” kata Encik Chan.

Beliau menambah, mentadbir dengan baik bermakna membuat keputusan secara rasional demi kepentingan jangka panjang Singapura. Keputusan tersebut mungkin tidak disenangi hari ini, tetapi diperlukan untuk masa depan.

Kepimpinan politik bermakna berterus terang berhubung cabaran dan pilihan yang ada, kata beliau, sambil menambah bahawa prinsip dan rangka kerja tersebut tidak berubah.

“Apa yang kita lakukan adalah mengemas kini gaji dalam rangka kerja itu selepas 15 tahun tanpa pelarasan, supaya ia kekal relevan dan berdisiplin.”

Semakan itu tidak tertumpu kepada para individu yang sudah tampil untuk berkhidmat pada hari ini, kata beliau.

Sebaliknya, ia lebih bertujuan untuk mengekalkan sistem yang memberi peluang lebih baik kepada generasi seterusnya dalam kalangan rakyat Singapura yang berkebolehan dan komited untuk tampil berkhidmat, “supaya masa depan Singapura kekal menjadi lebih baik”.

“Dengan cara inilah kita melakukan yang terbaik untuk Singapura,” kata Encik Chan.

GAJI DIBEKUKAN SELAMA 15 TAHUN

Encik Chan menarik perhatian bahawa rangka kerja gaji pemegang jawatan politik semasa disediakan pada 2012. Namun, ia berkuat kuasa sejak Mei 2011.

Gaji tahunan rujukan bagi pemegang jawatan politik tidak dikemas kini sejak itu, dengan pemerintah memutuskan untuk tidak meneruskan pelarasan pada 2017 disebabkan oleh keadaan ekonomi ketika itu.

Pemerintah juga menangguhkan semakan pada 2023.

“Akibatnya, struktur gaji politik dibekukan sepanjang 15 tahun lalu,” kata Encik Chan.

Beliau berkata rangka kerja itu berisiko menjadi tidak lagi relevan jika Singapura terus menangguhkan usaha untuk mengemas kininya.

“Lebih penting lagi, kita terus melemahkan keupayaan untuk membentuk pasukan pemimpin yang kukuh dan pelbagai seperti yang diperlukan Singapura,” kata beliau.

Jawatankuasa bagi menyemak gaji politik dibentuk Encik Wong pada Disember 2025 dan turut dianggotai para wakil sektor swasta.

Encik Chan pada Selasa mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa tersebut atas usaha mereka. “Ini bukan tugas yang mudah. Jawatankuasa itu melaksanakannya dengan serius, teliti dan menyeluruh.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para Anggota Parlimen dahulu dan sekarang, daripada semua pihak dalam Dewan, yang tampil untuk berkhidmat.

“Singapura menjadi lebih baik hasil sumbangan mereka,” kata beliau.

Mereka yang mempertimbangkan untuk menyertai khidmat politik turut memikirkan sama ada pasukan yang bakal disertai itu berbaloi untuk mereka berkhidmat bersama, tambah beliau.

“Itu tanggungjawab kita semua, untuk memberi inspirasi menerusi tindakan dan rasa tanggungjawab kita.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita