Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangka kerja baru IRAS bantu syarikat urus cukai korporat dan GST

Anggaran Waktu Membaca:
Rangka kerja baru IRAS bantu syarikat urus cukai korporat dan GST

Bangunan IRAS. (Gambar: Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) memperkenalkan dua rangka kerja cukai baru untuk membantu syarikat mengurus cukai korporat dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), umumnya pada Jumaat (18 Mac).

Rangka Kerja Tadbir Urus Cukai (TGF) dan Rangka Kerja Kawalan dan Pengurusan Risiko Cukai bagi Cukai Pendapatan Korporat akan membantu syarikat "memperkukuh pematuhan cukai", menurut IRAS, sambil menambah bahawa kedua-dua rangka kerja itu melengkapi Program Jaminan Pematuhan (ACAP) GST sedia ada.

"Secara bersama, ia menyediakan kaedah pematuhan secara sukarela di mana syarikat boleh melaksanakannya secara menyeluruh atau sebagai program tersendiri, bergantung kepada tahap kesediaan dan keperluan perniagaan," menurut IRAS.

Rangka Kerja Tadbir Urus Cukai memberi tumpuan pada usaha memperkukuhkan piawai tadbir urus cukai.

Ia melibatkan prinsip dan amalan yang luas berhubung tiga blok utama tadbir urus cukai yang baik iaitu pematuhan undang-undang cukai, struktur tadbir urus bagi menguruskan risiko cukai, serta hubungan baik dengan pihak berkuasa cukai.

Rangka kerja itu boleh diguna pakai bagi kedua-dua Cukai Pendapatan Korporat dan GST. Ia juga boleh digunakan mana-mana syarikat yang bersedia untuk melaksanakan tadbir urus cukai yang baik.

Sementara itu, Rangka Kerja Kawalan dan Pengurusan Risiko Cukai bagi Cukai Pendapatan Korporat disasarkan kepada syarikat besar dengan "struktur dan model perniagaan yang rumit", menurut IRAS.

Rangka kerja ini memberi panduan kepada syarikat dalam membangunkan kawalan dan proses dalaman yang "teguh" untuk mengenal pasti, mengurangkan dan memantau risiko cukai pendapatan korporat yang utama.

Ia merangkumi senarai semak proses dan langkah-langkah yang akan menunjukkan bahawa kawalan yang kukuh disediakan untuk mengurus risiko cukai, seperti struktur tadbir urus cukai, kawalan peringkat entiti dan kawalan pelaporan cukai.

FAEDAH KEPADA SYARIKAT

Syarikat akan dapat menikmati kelebihan jika dianugerahkan status di bawah dua rangka kerja itu, menurut IRAS.

Di bawah Rangka kerja Tadbir Urus Cukai, syarikat yang mencapai status TGF boleh menikmati tempoh lebih lama bagi sebarang kesilapan berhubung cukai.

Mereka boleh menikmati tempoh lanjutan sekali sahaja selama dua tahun bagi sebarang pendedahan secara sukarela mengenai cukai pendapatan korporat atau kesilapan berhubung pembayaran cukai yang dibuat, atau kedua-duanya, dalam tempoh dua tahun dari tarikh menerima status tersebut.

Syarikat berdaftar GST yang diberi status ACAP, pula boleh menikmati tempoh lanjutan sekali sahaja selama tiga tahun bagi sebarang pendedahan berhubung kesilapan GST yang dibuat dalam tempoh dua tahun dari tarikh pemberian status TGF.

Bagi perniagaan berdaftar GST tanpa status ACAP, mereka boleh menikmati tempoh tangguh lanjutan sekali sahaja selama dua tahun bagi pendedahan kesilapan GST yang dibuat dalam tempoh dua tahun dari pemberian status.

Semua syarikat yang layak dan mendapat status di bawah rangka kerja bagi cukai pendapatan korporat, boleh menikmati pelepasan denda sekali sahaja berhubung pendedahan cukai pendapatan korporat tahun sebelumnya atau kesilapan berhubung pembayaran cukai atau kedua-duanya.

Mereka juga boleh menikmati audit pematuhan cukai pendapatan korporat bagi tiga Tahun Taksiran berturut-turut dari tarikh pemberian status oleh pihak berkuasa cukai.

Pesuruhjaya Hasil Mahsul Ng Wai Choong berkata IRAS "sangat" menggalakkan syarikat-syarikat untuk melaksanakan kesemua tiga rangka kerja untuk memastikan kawalan dalaman dan sistem yang "betul" untuk menguruskan risiko cukai mereka.

Butiran lanjut mengenai kriteria kelayakan dan proses permohonan untuk kedua-dua rangka kerja boleh didapati di laman web IRAS. Untuk sebarang pertanyaan, syarikat boleh menghubungi talian bantuan IRAS di 1800 356 8622 atau emel ctmail [at] iras.gov.sg.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan