Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rang undang-undang wajibkan bayaran bagi beg plastik di pasar raya dibentangkan di Parlimen

Satu Rang Undang-Undang yang mewajibkan bayaran bagi beg plastik di pasar raya, serta skim pulangkan bekas minuman dibentangkan bagi bacaan pertama di Parlimen pada Isnin (6 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu Rang Undang-Undang yang mewajibkan bayaran bagi beg plastik di pasar raya, serta skim pulangkan bekas minuman dibentangkan bagi bacaan pertama di Parlimen pada Isnin (6 Feb).

Rang Undang-Undang (Pindaan) Kemampanan Sumber itu bertujuan mengurangkan sisa bungkusan dan makanan serta mendorong perubahan tingkah laku di Singapura bagi mengurangkan pembuangan sisa dan meningkatkan tabiat kitar semula, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam satu kenyataan media bersama.

Langkah-langkah itu akan menyumbang kepada sasaran kebangsaan di bawah Pelan Singapura Menghijau 2030 dan Pelan Induk Tanpa Sisa yang bertujuan mengurangkan 30 peratus jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah bagi setiap kapita setiap hari dan meningkatkan kadar pengitaran semula negara kepada 70 peratus menjelang 2030, menurut NEA dan MSE.

Ini juga akan membantu melanjutkan jangka hayat Tapak Pelupusan Sampah Semakau.

Bayaran bagi beg pakai buang diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada Mac tahun lalu. Bayaran itu, yang tertakluk kepada beg-beg pakai buang yang diperbuat daripada semua jenis bahan, berkuat kuasa pada pertengahan tahun ini.

Demi "memastikan kebertanggungjawapan dan ketelusan" dalam penggunaan hasil bayaran itu, para pengendali pasar raya perlu menerbitkan maklumat mengenai bilangan beg yang diberikan, jumlah hasil yang diperolehi daripada setiap beg yang dikenakan bayaran dan bagaimana hasil bayaran itu digunakan termasuk bagi menyokong usaha-usaha sekitaran atau amal, menurut NEA dan MSE.

SEKURANG-KURANG 5 SEN BAGI SETIAP BEG

Para pengendali pasar raya lebih besar perlu mengenakan bayaran minimum S$0.05 bagi setiap beg plastik pakai buang yang diberikan kepada para pelanggan di kedai mereka.

Sebagai permulaan, syarat tersebut tertakluk kepada pengendali pasar raya dengan hasil tahunan lebih S$100 juta kerana mereka mempunyai sumber lebih baik untuk melaksanakannya. Ini merangkumi sekitar dua pertiga daripada kesemua cawangan pasar raya di Singapura termasuk NTUC FairPrice, Cold Storage, Giant, Sheng Siong dan Prime.

Sisa bungkusan menyumbang sekitar sepertiga daripada sisa domestik yang dibuang dan sekitar 60 peratus daripadanya adalah plastik, menurut NEA dan MSE. Pada 2021, hanya enam peratus sisa plastik yang dibuang dikitar semula.

Berhubung skim pulangkan bekas minuman, para pengguna akan dikenakan bayaran deposit bagi setiap pembelian minuman tertentu. Mereka boleh mendapatkan semula bayaran deposit penuh apabila mereka memulangkan bekas minuman yang kosong di tempat pengumpulan khas.

Skim tersebut diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan 2021. Ia sepatutnya dilancarkan pada 2023 dan satu rangka kerja undang-undang diperkenalkan pada tahun lalu.

Sekalipun demikian, Mengeri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor berkata pada April 2022 bahawa Pemerintah akan "menyemak semula" garis masa bagi pelancaran skim pulangkan bekas minuman menyusuli maklum balas daripada pemain industri.

"Skim ini akan menyumbang kepada usaha sifar sisa dengan memupuk tabiat kitar semula dalam kalangan rakyat Singapura serta mengumpul bahan-bahan kitar semula yang bersih dan bermutu tinggi," menurut NEA dan MSE. "Dengan menambah bekalan dan mutu bahan kitar semula yang dikumpul, skim ini juga akan menyokong pembangunan industri kitar semula di Singapura."

Pindaan yang diusulkan itu juga merancang membangunkan satu rangka kerja laporan sisa makanan.

Pada 2021, Singapura menjana 817,000 tan sisa makanan, yang mana 19 peratus dikitar semula.
Premis komersil dan perindustrian membentuk sekitar 40 peratus daripada sisa makanan yang dijana di Singapura setiap tahun.

Para pemilik atau pengendali bangunan perindustrian dan komersial, yang mana sejumlah besar sisa makanan dihasilkan, sudah perlu mengasingkan sisa makanan mereka mulai tahun depan.

Bagi melengkapi keperluan ini, mereka juga perlu mengira dan melaporkan jumlah sisa makanan yang diasingkan bagi rawatan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan