Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rang Undang-Undang usul undi pos bagi pengundi luar negara, semak peraturan iklan pilihan raya dibentangkan

Undian melalui pos bagi rakyat Singapura di luar negara dan kemas kini bagi undang-undang pengiklanan pilihan raya merupakan antara perubahan yang dibentangkan bagi Akta Pilihan Raya Presiden dan Akta Pilihan Raya Parlimen pada Isnin (6 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Undian melalui pos bagi rakyat Singapura di luar negara dan kemas kini bagi undang-undang pengiklanan pilihan raya merupakan antara perubahan yang dibentangkan bagi Akta Pilihan Raya Presiden dan Akta Pilihan Raya Parlimen pada Isnin (6 Feb).

Pindaan itu sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperbaiki proses pilihan raya, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) di bawah Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan media.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, memperkenalkan kedua-dua Rang Undang-Undang itu di Parlimen bagi bacaannya yang pertama.

Untuk memudahkan rakyat Singapura yang menetap di luar negara untuk mengundi, Rang Undang-Undang itu mengusulkan undian pos bagi mereka. Kertas undi yang bertanda mesti diposkan sebelum Hari Mengundi di Singapura dan sampai ke ELD dalam masa 10 hari sebelum Hari Mengundi untuk ia diterima bagi pengiraan.

Rang Undang-Undang itu juga mengusulkan pembangunan ruang mengundi khas dalam rumah-rumah jagaan dan mengerahkan pasukan undi bergerak bagi membantu para penghuni rumah jagaan membuat undian daripada katil masing-masing.

Beberapa faktor seperti jumlah pengundi di rumah-rumah jagaan dan ketersediaan ruang sesuai akan dipertimbangkan dalam pelaksanaannya.

ELD mengadakan satu sesi rundingan bagi kedua-dua aturan undian itu pada Mei tahun lalu, yang mana maklum balas yang dikumpul dikongsi pada Julai.

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Singapura layak menjadi pengundi luar negara, Rang Undang-Undang (Pindaan) Pilihan Raya Parlimen juga mengusulkan supaya rakyat Singapura yang tinggal di luar negara dibenarkan mendaftar bagi undian luar negara asalkan mereka sudah berada di Singapura purata 30 hari dalam tempoh tiga tahun sebelum permohonan mereka menjadi seorang pengundi luar negara.

Ini berbeza dengan syarat bermastautin selama 30 hari dalam tempoh tiga tahun sebelum tarikh akhir yang kini ditetapkan pada 1 Mac untuk mana-mana tahun.

Pengundi luar negara sedia ada juga tidak lagi perlu mendaftar semula setiap kali daftar pengundi disemak sebelum pilihan raya diadakan. Status para pengundi ini akan dikekalkan melainkan jika mereka membatalkan pendaftaran undian luar negara atau nama mereka dikeluarkan daripada senarai daftar.

UNDIAN "BERTANGGUNGJAWAB DAN BERDASARKAN FAKTA"

Rang Undang-Undang itu juga bertujuan menggalakkan undian "bertanggungjawab dan berdasarkan fakta" dengan meningkatkan ketelusan pengiklanan pilihan raya serta kebertanggungjawaban dan keupayaan mengesan mereka yang terlibat dalam menerbitkan dan memaparkan bahan-bahan tersebut.

Ini termasuk memerlukan kesemua iklan pilihan raya - sama ada berbayar atau tidak - untuk memaparkan nama penuh mereka yang memainkan peranan aktif seperti individu yang bertanggungjawab membuat cetakan; memberi kelulusan atau arahan bagi iklan itu untuk dicetak; dan individu yang membuat bayaran bagi iklan tersebut.

Rakyat individu dikecualikan daripada syarat-syarat itu jika mereka bukanlah calon atau ejen pilihan raya, dan sudah menerbitkan bahan iklan pilihan raya menerusi online mengikut keupayaan sendiri tanpa menerima bayaran atau arahan daripada orang lain.

Dengan wadah media dan perhubungan terus berubah, Rang Undang-Undang itu juga mengusulkan supaya proses menguar-uarkan iklan pilihan raya online sedia ada - seperti dengan mengongsi, mengongsi semula dan menyiarkan semula - harus tertakluk di bawah peraturan sama dengan mencetak bahan baru.

Tindakan sedemikian akan meningkatkan jangkauan bahan iklan pilihan raya dan mempunyai kesan sama seperti menerbitkan kandungan baru, menurut ELD.

Rang Undang-Undang itu juga harus menjelaskan bahawa iklan pilihan raya berbayar akan meliputi pelbagai jenis bayaran, termasuk bayaran secara tidak langsung termasuk menerusi seorang pengantara - serta tidak melibatkan wang.

Akhir sekali, Rang Undang-Undang itu menyarankan supaya pegawai pengurus undi pilihan raya dibenarkan mengeluarkan arahan pembetulan bagi sebarang pelanggaran iklan pilihan raya online.

Arahan pembetulan kepada seorang penerbit bahan termasuk memadamkan iklan serta menghentikan atau mengurangkan akses kepada iklan bagi penduduk di Singapura.

PERKEMAS PROSES

Pindaan juga diusulkan terhadap Akta Pilihan Raya Presiden dengan tujuan menyepadukan prosedur yang diambil oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab dalam memastikan para calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Presiden memenuhi kelayakan dalam Perlembagaan, seperti individu itu merupakan seorang rakyat Singapura dan berusia 45 tahun ke atas pada Hari Penamaan Calon.

Rang Undang-Undang itu mengusulkan agar dimansuhkan syarat tersebut supaya pihak jawatankuasa dapat mempertimbangkan permohonan daripada mereka yang berusia bawah 45 tahun serta mereka yang tidak menyerahkan pengiystiharan tergolong dalam masyarakat bagi masyarakat, yang mana pilihan raya itu dikhaskan.

Pindaan perlembagaan diluluskan pada lewat 2016 untuk menetapkan pilihan raya presiden dilantik bagi calon daripada kumpulan kaum tertentu, jika tiada seorang presiden daripada kaum itu selama lima penggal presiden sebelum ini.

Satu pilihan raya presiden perlu diadakan sebelum 13 September tahun ini, dengan penggal Presiden Halimah Yacob selama enam tahun tamat pada hari itu.

Di bawah pindaan yang diusulkan, pihak jawatankuasa hanya perlu memaklumkan kepada pihak yang membuat perisytiharan apabila terjadi dua situasi berikut.

Pertama, apabila seorang pengisytihar yang berkata beliau tidak tergolong dalam mana-mana masyarakat bagi sebuah pilihan raya terbuka, diterima.

Kedua, apabila pengiystiharan tergolong dalam masyarakat pengisytihar tersebut ditolak kerana ia tidak lengkap atau ia bukan dikhaskan bagi masyarakat tertentu dalam kes Pilihan Raya yang Diperuntukkan.

Dalam situasi lain, ELD menyatakan pengiystiharan tergolong dalam masyarakat akan diterima untuk pertimbangan tanpa perlu sebarang pemberitahuan yang jelas.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan