Rang Undang-Undang saran semua bangunan baru dipasang 1 tempat cas EV bagi setiap 25 lot letak kereta
(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)
SINGAPURA: Semua bangunan yang ada tempat meletak kereta harus memasang jumlah minimum tempat mengecas kenderaan elektrik (EV), yakni sekitar satu tempat cas bagi setiap 25 lot letak kereta, di bawah saranan yang dibentangkan di Parlimen pada Rabu (9 Nov).
Rang Undang-Undang Mengecas Kenderaan Elektrik, jika diluluskan, akan mengawal selia hal-hal berhubung cas EV secara selamat, memastikan terdapat khidmat mengecas yang boleh dipercayai dan meluaskan rangkaian prasarana pengecas EV yang boleh digunakan di Singapura.
"Ini sejajar dengan sasaran kami untuk memasang 60,000 tempat mengecas menjelang 2030, dan bagi semua kenderaan menggunakan tenaga lebih bersih menjelang 2040," menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan.
Langkah itu diumumkan di tengah-tengah penggunaan EV yang semakin pesat di Singapura, dengan pendaftaran bagi EV baru membentuk 8.4 peratus daripada semua pendaftaran kereta baru dalam tempoh lima bulan pertama 2022, iaitu lebih seganda berbanding 2021 dan lebih 20 kali daripada kadar yang dicatatkan pada 2020.
Rang tersebut menetapkan bahawa tempat mengecas EV perlu ditawarkan sekiranya kerja-kerja binaan dan elektrikal bangunan tersebut jatuh di bawah dua kategori berikut:
- Kerja-kerja membina atau membangunkan semula bangunan baru, atau kerja-kerja untuk menambah saiz pembangunan sekurang-kurangnya 50 peratus, dan
- Kerja-kerja elektrikal yang menyebabkan muatan elektrik yang diluluskan naik lebih 280 kilo-volt ampere (kVA)
Sekiranya Rang Undang-Undang itu diluluskan, undang-undang tambahan perlu diusulkan bagi memastikan bangunan itu boleh membekal kapasiti tenaga mencukupi, iaitu sekurang-kurangnya 1.3 kVA bagi setiap lot letak kereta dan motosikal, menurut LTA.
Ini bersamaan keupayaan untuk menyokong tempat mengecas 7.4kW dengan keupayaan mengecas bijak - sekitar purata kuasa mengecas kebanyakan pengecas di pusat beli-belah dan rumah - bagi satu daripada lima lot letak kereta, tambahnya.
Namun, bangunan berkenaan hanya perlu memasang jumlah minimum tempat mengecas yang mengunakan sekurang-kurangnya seperlima kapasiti tenaga 1.3kVA - bersamaan sekitar satu tempat mengecas bijak 7.4kW bagi setiap 25 lot.
Dengan mempunyai kapasiti tenaga yang lebih daripada yang diperlukan membolehkan lebih banyak tempat mengecas dipasang kelak, jika perlu.
Bangunan dengan kurang lapan lot letak kereta dan motosikal dikecualikan daripada memasang jumlah minimum tempat mengecas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.