Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rang undang-undang perketat penguatkuasaan perintah bayaran nafkah dibentangkan di Parlimen

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Apr 2023 04:57PM Dikemas Kini : 20 Apr 2023 08:58PM
SINGAPURA: Satu rang undang-undang untuk mengetatkan penguatkuasaan pembayaran nafkah, yang boleh diperintahkan bagi isteri, anak, suami dan ibu bapa yang tidak berupaya, dibentangkan di Parliman pada Khamis (20 Apr).

Rang Undang-undang Perubahan terhadap Keadilan Keluarga (RFJB) memperkenalkan beberapa pindaan untuk memudahkan dan menjadikan prosiding kes keluarga lebih cekap, serta memudahkan hasil pembayaran nafkah yang lebih mampan.

Demikian menurut Kementerian Undang-Undang (MINLAW) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan media bersama.

Jika ia diluluskan, Rang Undang-undang menyeluruh itu akan meminda perundangan termasuk Akta Keadilan Keluarga, Piagam Wanita dan Akta Hak Penjagaan Bayi untuk mengukuhkan nilai-nilai "keadilan terapeutik" dalam sistem keadilan keluarga.

Ia sekali gus akan membantu keluarga-keluarga dalam kesusahan untuk "pulih dan meneruskan kehidupan mereka", serta meningkatkan akses kepada keadilan, terutama bagi individu yang tidak mampu mendapatkan perwakilan undang-undang, menurut MINLAW dan MSF.

PROSES PENGUATKUASAAN BARU

Rang undang-undang yang dicadangkan itu akan menetapkan Proses Penguatkuasaan Pembayaran Nafkah yang baru, yang berkuat kuasa apabila permohonan dibuat untuk menguatkuasakan perintah pembayaran nafkah dalam kes di mana bayaran tidak dibuat.

Ia termasuk perintah pembayaran nafkah di bawah Piagam Wanita, Akta Hak Penjagaan Bayi, Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA), Akta Perintah Nafkah (Penguatkuasaan Timbal Balik) dan Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA).

MINLAW and MSF menyatakan pelanggaran terhadap perintah nafkah terus menjadi satu "kebimbangan".

Buat masa ini, maklumat berhubung aset dan kemampuan pihak-pihak terbabit sukar diperolehi atau didedahkan dalam proses penguatkuasaan.

"Tanpa maklumat sedemikian, sukar untuk membezakan antara responden yang tidak mampu membayar nafkah dan mereka yang enggan membayar," kata MINLAW dan MSF.

Jika seseorang responden benar-benar tidak mampu membayar nafkah, percubaan penguatkuasaan yang dibuat berulang kali adalah sia-sia, tambah MINLAW dan MSF.

Di bawah proses baru itu, "mereka yang enggan membayar nafkah akan ditangani dengan lebih tegas, manakala mereka yang tidak mampu bayar akan dirujuk kepada bantuan sewajarnya, dan lebih banyak aturan pembayaran nafkah boleh dipertimbangkan," kata kedua-dua kementerian itu.

Proses itu akan dijalankan oleh unit baru Pegawai Penguatkusaan Bayaran Nafkah (MEO) di bawah Kementerian Undang-undang.

Berbanding dengan proses sekarang, MEO akan lebih aktif mencari maklumat dan mengesyorkan penyelesaian praktikal kepada pihak terbabit.

Mereka diberi kuasa untuk mendapatkan maklumat mengenai aset dan kemampuan pihak-pihak terbabit daripada entiti yang ditetapkan, dan menyediakan maklumat itu kepada mahkamah, kata MINLaw dan MSF.

Entiti yang dimaksudkan termasuk agensi-agensi pemerintah seperti Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS), Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), serta bank dan Depositori Pusat (CDP).

Maklumat cukai dari IRAS dan bank hanya boleh didapatkan dengan perintah mahkamah.

Pihak-pihak yang memerlukan boleh dirujuk bagi bantuan kewangan dan sokongan lain dengan lebih pantas. Perubahan itu juga bertujuan mengurangkan waktu yang diluangkan pemohon dalam prosiding penguatkuasaan, and perjalanan keluar masuk ke mahkamah.

Dengan gambaran yang lebih tepat tentang kemampuan responden dari segi kewangan, MEO akan dapat mengemukakan cadangan kepada pihak-pihak untuk mendapatkan persetujuan mereka mengenai bayaran nafkah, kata Menteri Negara MSF, Sun Xueling.

"Kami berharap ini akan menjadi hasil yang lebih mampan untuk pihak-pihak terlibat," katanya kepada pemberita.

HUKUMAN PENJARA JIKA TIDAK BAYAR NAFKAH

Untuk menangani responden yang terus enggan membayar nafkah , Rang undang-undang itu juga menetapkan bahawa mahkamah harus mengeluarkan Perintah Bukti Pembayaran jika ia mendapati perintah pembayaran nafkah tidak dipatuhi.

Perintah Bukti Pembayaran itu menetapkan seseorang responden harus membuktikan pembayaran telah dibuat pada tarikh yang ditetapkan. Ia juga menetapkan tempoh penjara bagi responden yang gagal menunjukkan bukti pembayaran.

Tempoh Perintah Bukti Pembayaran biasanya ditetapkan selama enam bulan dari tarikh perbicaraan.

Jika responden melanggar perintah itu dalam tempoh tersebut, mereka mungkin dikenakan hukuman penjara.

Namun, perintah penjara tidak dikenakan dalam kes melibatkan keadaan kesihatan responden atau faktor usianya, kata MINLAW dan MSF.

Rang undang-undang itu juga mengenalkan "andaian yang boleh disangkal" untuk menangani isu aset responden yang lesap, seperti duit yang dibelanjakan atau dipindahkan ke akaun yang lain.

Responden perlu menunjukkan dia tidak ada niat untuk menyebabkan aset itu berkurangan nilai.

Bagi responden yang benar-benar mempunyai masalah membayar nafkah, mahkamah juga boleh menyesuaikan perintah pembayaran nafkah tanpa pihak terbabit membuat pemohonan rasmi.

Rang undang-undang itu juga akan memberi kuasa kepada mahkamah untuk tidak membenarkan pemfailan permohonan lanjut yang akan menghalang penyelesaian kes atau mempunyai kesan buruk terhadap kebajikan kanak-kanak.

Ia berikutan saranan Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan dalam Sistem Keadilan Keluarga yang dibuat pada 2019, supaya permohonan undang-undang yang tidak bermutu disingkirkan pada peringkat awal.

Pindaan itu juga bertujuan untuk meningkatkan pendekatan yang diterajui hakim dalam prosiding keluarga, yang diperkenalkan pada 2014.

Dalam kes di mana kehendak seorang anak itu dipertimbangkan di mahkamah, Peraturan Keadilan Keluarga boleh menetapkan cara ia ditetapkan.

"Ini mungkin termasuk hakim menjalankan temu bual dengan kanak-kanak itu," kata MINLAW dan MSF.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan