Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rang Undang-Undang mansuh 377A, pindaan Perlembagaan bagi lindungi takrif perkahwinan dibentang di Parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Oct 2022 06:02PM Dikemas Kini : 20 Oct 2022 09:19PM
SINGAPURA: Rang undang-undang untuk memansuhkan undang-undang yang menyifatkan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah, dan meminda Perlembagaan Singapura bagi melindungi takrif perkahwinan sedia ada, dibentangkan di Parlimen pada Khamis (20 Okt) bagi bacaan kali pertama.

Rang undang-undang tersebut akan dibahaskan pada bulan depan.
Pindaan yang diusulkan itu menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 21 Ogos lalu, bahawa seksyen 377A Kanun Keseksaan akan dimansuhkan.

Namun, bagi melindungi norma keluarga dan masyarakat sedia ada, PM Lee berkata perlembagaan akan dipinda untuk melindungi takrifan perkahwinan sedia ada.

Dengan hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita diiktiraf di Singapura di bawah undang-undang, pindaan itu sekali gus akan memberi kuasa kepada Parlimen untuk menakrifkan institusi perkahwinan dengan Pemerintah bolehkan menggubal dasar-dasar bersandarkan takrifan perkahwinan itu.

Ia termasuk dasar-dasar berhubung perumahan awam, manfaat kewangan bagi pasangan yang sudah berkahwin, pendidikan, dan dasar media yang mengalakkan dan melindungi institusi perkahwinan.

Ini bagi memastikan bahawa undang-undang dan dasar-dasar berkenaan tidak boleh dicabar di mahkamah kerana melanggar hak-hak asas di bawah Perlembagaan.

Sekalipun demikian, ditekankan berulang kali bahawa takrifan perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dan seorang wanita tidak akan memaktubkan dalam Perlembagaan.
Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) hari ini, Pemerintah berunding secara meluas dengan pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan Seksyen 377A.

Kenyataan tersebut juga menyatakan: "Dari sudut pandangan di peringkat nasional, tingkah laku seksual secara peribadi sesama orang dewasa tidak menimbulkan sebarang isu terhadap ketenteraman awam."

Satu lagi sebab bagi pemansuhan tersebut adalah berdasarkan keputusan mahkamah baru-baru ini mengenai Seksyen 377A, yang mana terdapat risiko besar bahawa ia boleh ditolak oleh mahkamah jika dicabar kelak, atas alasan bahawa ia melanggar Artikel 12 Perlembagaan yang menjamin kesaksamaan dan perlindungan sama rata di bawah undang-undang.

Namun, Pemerintah mengesahkan bahawa ia akan menegakkan struktur keluarga yang sedia ada, yang mana perkahwinan adalah di antara seorang lelaki dan seorang wanita, serta undang-undang serta dasar-dasar berlandaskan takrifan tersebut. Ia tertera dalam Piagam Wanita bahawa perkahwinan antara sesama jenis, adalah tidak sah.
Jika diluluskan, perubahan perundangan itu akan menamatkan satu bab konflik sosio-politik antara kumpulan konservatif yang berhasrat untuk melindungi nilai keluarga dan aktivis yang memperjuangkan hak sama rata untuk homoseksual.
Selepas bacaan kali pertama, Rang tersebut akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga sebelum pengundian dijalankan.

Rang tersebut akan diundi secara berasingan, memandangkan pemansuhan Seksyen 377A hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan.

Pindaan Perlembagaan bagaimanapun memerlukan sokongan dua pertiga daripada Anggota Parlimen (AP) yang dipilih dan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), bermakna, sekurang-kurangnya 63 undian daripada 92 AP diperlukan bagi meluluskan pindaan Perlembagaan tersebut.

Parti memerintah, Parti Tindakan Rakyat mempunyai 83 AP.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan