Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rang Undang-undang Langkah Tindak Balas Campur Tangan Asing mula dibahas di Parlimen

Satu rang undang-undang untuk mencegah campur tangan asing di Singapura hangat dibahaskan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Oct 2021 06:21PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 09:21PM

SINGAPURA: Satu rang undang-undang untuk mencegah campur tangan asing di Singapura hangat dibahaskan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (4 Okt).

Perbahasan dilakukan walaupun satu petisyen diajukan meminta supaya perbahasan Rang Undang-undang Langkah Tindak Balas Campur Tangan Asing atau FICA itu ditangguhkan.

Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengemukakan petisyen itu atas alasan untuk memberi lebih banyak masa bagi mendapatkan maklum balas.

Petisyen itu ditandangani beberapa kumpulan masyarakat sivil.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata isu itu sudah dibincangkan dengan meluas sepanjang tiga tahun lalu.

Ia dilakukan di tengah-tengah bertambahnya serangan siber global dan kempen maklumat yang bersifat permusuhan (HIC).

Encik Shanmugam menambah beliau sudah membuat ucapan mengenai topik itu seawal tahun 2017.

Selain itu dalam tahun 2018 semasa perbahasan Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online Yang Disengajakan, sekurang-kurangnya 18 wakil antarabangsa dan tempatan turut membincangkan mengenai ancaman kempen maklumat yang boleh mencetuskan permusuhan.

Setahun kemudian, topik itu juga timbul dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen.

Dalam tahun 2019 pula satu persidangan antarabangsa diadakan tentang isu tersebut.

Pihak media dan badan-badan pemikir seluruh dunia turut menerbitkan pelbagai rencana dan kajian menyeluruh tentang percubaan campur tangan asing.

Encik Shanmugam juga menekankan lagi perlunya undang-undang sedemikian sambil merujuk banyak negara lain yang berdepan dengan taktik subversif yang dianjurkan dan dibiayai pihak asing.

Beliau merujuk kepada beberapa kejadian yang mana Singapura menjadi sasaran HIC semasa hubungan dua hala yang tegang dalam 2018.

Salah satunya datang dari apa yang beliau sebut "jiran terdekat".

"Kepelbagaian kaum dan agama kita mudah dipergunakan negara-negara lain. Seperti apa yang kita lihat, pelbagai naratif yang dilakukan dengan baik iaitu bukan propaganda yang jelas tetapi membuat orang ramai berfikiran menjurus kepada cara tertentu," kata Encik Shanmugam.

Tambah beliau: "Mengenai isu dasar luar ia kerap menjurus lebih kepada identiti kaum daripada identiti Singapura. Pada pandangan saya, ini adalah salah satu ancaman paling serius yang kita hadapi tetapi tidak disedari penduduk kita. Sejak kebelakangan ini Singapura sudah menjadi mangsa serangan-serangan seperti serangan siber dan manipulasi online."

Dalam pada itu, Encik Shanmugam berkata rang undang-undang baru itu menangani ancaman online dengan "cara lebih teratur".

Sebagai contoh, pihak berkuasa boleh mengarahkan syarikat teknologi dan penyedia internet untuk membuat catatan HIC kurang tular, memadam aplikasi berkaitan atau menyekat iklan.

Ia tidak sama seperti Akta Penyiaran yang memadamkan seluruh platform jika kandungan itu dianggap bahaya terhadap kepentingan awam.

Beliau juga menjelaskan FICA bukan bermaksud menjejas interaksi dengan warga asing seperti dalam bidang akademik.

Individu politik penting hanya dimasukkan ke dalam kategori itu jika mereka mempunyai motif politik yang bercanggah dengan kepentingan awam.

Ramai orang tidak termasuk dalam syarat-syarat untuk dikenakan langkah-langkah terhadap individu politik penting itu. 

Sumber : CNA/RU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan