Rang undang-undang diperkenal bagi gubal semula perundangan pengambilan anak angkat

(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Rang undang-undang yang akan merombak perundangan berhubung pengambilan anak angkat diperkenalkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli di Parlimen pada Isnin (4 Apr).
Akta Pengambilan Anak Angkat 1939 kali terakhir dipinda pada tahun 1985 , iaitu lebih 30 tahun lalu. Rang undang-undang baru itu akan memansuhkan Akta tersebut dan menggubal semula Akta Pengambilan Anak Angkat yang baru.
Langkah ini juga akan menambah lagi 12 bahagian dalam Akta sedia ada kepada sebanyak 75 bahagian.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan perubahan itu diusulkan dengan kebajikan seseorang anak angkat itu sebagai "prinsip panduan utama".
Tujuannya adalah untuk mencari keluarga yang baik dan rumah yang selamat bagi setiap kanak-kanak yang dikenal pasti bagi pengambilan anak angkat, mematahkan lingkaran penderaan dan pengabaian serta dan mencegah "kelakuan yang tidak diingini" dalam sektor pengambilan anak angkat, menurut kementerian tersebut dalam kenyataan medianya.
Satu perubahan besar ialah semua bakal ibu bapa angkat akan diwajibkan untuk menghadiri dua taklimat dan menjalani penilaian bagi mempersiapkan diri mereka sebelum mengambil anak angkat.
Buat masa ini, hanya para pemohon yang mengambil anak angkat yang tidak mempunyai kaitan dengan mereka, atau kanak-kanak di bawah perlindungan negara mesti menjalani penilaian prapengambilan.
Taklimat-taklimat itu, yang akan dijalankan oleh agensi-agensi pengambilan anak angkat yang berdaftar dengan MSF, bakal memperkenalkan bakal ibu bapa angkat dengan proses pengambilan itu dan bagaimana untuk menjaga seorang anak angkat.
"Taklimat pendedahan" pula akan menjelaskan kepada para pemohon tentang bagaimana untuk mendedahkan status anak angkat seseorang anak itu kepadanya dan bagaimana mereka boleh menyokong kanak-kanak tersebut selepas itu.
Rang undang-undang itu mengusulkan penilaian itu yang dipanggil Penilaian Kesesuaian Pengambilan Anak Angkat (ASA) - untuk menjadi prasyarat bagi semua permohonan pengambilan anak angkat. Mereka yang mahu mengambil seorang kanak-kanak yang ada kaitan sebagai anak angkat, misalnya anak tiri, boleh layak bagi ASA yang lebih ringkas, menurut MSF.
Jika rang undang-undang itu diluluskan, mahkamah juga dapat mengeluarkan arahan kepada kanak-kanak itu, bakal ibu bapa angkatnya dan individu-individu yang relevan, seperti ibu bapa kandung, untuk menghadiri kaunseling atau pengantaraan semasa prosiding pengambilan tersebut, atau selepas arahan pengambilan itu sudah dibuat, jelas MSF.
Para pemohon juga mesti menetap di Singapura selama sekurang-kurangnya setahun sebelum mereka memohon bagi ASA, bagi memastikan sistem keluarga dan sokongan mereka stabil sebelum mereka memilih untuk mengambil anak angkat.
KEUTAMAAN BAGI RAKYAT, PENDUDUK TETAP S'PURA
Satu lagi pindaan adalah untuk memberi keutamaan kepada rakyat dan para penduduk tetap Singapura bagi pengambilan anak angkat di Singapura, memandangkan jumlah kanak-kanak yang dikenal pasti untuk diambil sebagai anak angkat adalah kecil.
"Ini akan memastikan Singapura tidak menjadi hab pengambilan anak angkat yang mudah," menurut MSF.
Bagaimanapun kementerian tersebut mendedahkan ia sekadar langkah pencegahan, memandangkan jumlah warga luar negara yang mengambil anak angkat di sini adalah rendah iaitu sekitar 20 daripada sekitar 400 pengambilan anak angkat setiap tahun.
Rang undang-undang itu juga akan menambah sekatan agar mereka yang didapati bersalah atas kesalahan serius seperti seksual, keganasan dan dadah tidak layak untuk mengambil anak angkat.
Ini kecuali mahkamah mendapati ada keadaan tertentu - misalnya, jika kesalahan itu dilakukan 10 tahun yang lalu dan ada petanda mereka sudah berubah.
Bagi menyediakan lebih banyak panduan kepada para pemohon tentang kriteria kesesuaian untuk mengambil anak angkat, MSF juga akan memberi definisi "sesuai untuk mengambil anak angkat" dalam rang undang-undang tersebut.
Sebagai tambahan kepada perundangan tersebut, agensi-agensi pengambilan anak angkat dan mahkamah juga perlu menimbangkan "sebarang faktor yang konsisten dengan undang-undang kes berhubung pengambilan anak angkat".
Sebagai contoh, dasar-dasar awam yang berkaitan seperti yang menentang unit keluarga yang diketuai oleh pasangan hubungan sejenis dan menentang keibubapaan tunggal yang dirancang menerusi penggunaan teknologi bantuan atau ibu tumpangan.
ANAK-ANAK TITIPAN
Sebilangan pindaan dalam rang undang-undang itu juga bagi kanak-kanak yang sudahpun ditempatkan dalam jagaan titipan atau rumah kanak-kanak bertahun-tahun lamanya, memandangkan ibu bapa kandung mereka tidak mahu atau tidak mempunyai keupayaan untuk menjaga mereka.
MSF menyatakan pihak-pihak berkepentingan yang dirujuk, bersetuju bahawa pengambilan anak angkat adalah bagi kepentingan anak-anak itu. Bagaimanapun, pasangan yang mahu mengambil mereka sebagai anak angkat mungkin berdepan dengan cabaran berbuat demikian jika ibu bapa kandung anak itu tidak bersetuju.
Bagi memudahkan pengambilan bagi kanak-kanak seumpama ini, rang undang-undang itu menjelaskan lagi keadaan yang diusulkan dan mengkhususkan syarat di mana pengambilan anak angkat itu boleh dilakukan tanpa persetujuan ibu bapa kandung.
"Ini termasuk kes di mana ibu bapa kandung mencederakan teruk anak itu dengan sengaja atau gagal menyediakan jagaan sesuai bagi anak itu bagi tempoh yang lama, sekali gus menyebabkan anak itu memerlukan jagaan dan perlindungan," menurut MSF.
Selain itu, rang undang-undang itu juga akan menjelaskan beberapa kesalahan bagi melindungi kebajikan kanak-kanak itu dan "memastikan integriti proses dan amalan pengambilan anak angkat di Singapura".
Rang undang-undang itu akan mengambil kira "kelakuan tidak diingini" sebagai jenayah.
Ini termasuk mengiklankan anak-anak untuk diambil sebagai anak angkat, meminta persetujuan ibu bapa kandung bagi pengambilan anak angkat itu dengan cara menipu serta memberi maklumat palsu atau tidak tepat semasa proses pengambilan anak angkat.
Rang undang-undang itu juga menetapkan garis panduan bagi bayaran yang dibenarkan berkaitan pengambilan anak angkat dan tuntutan bagi semua agensi pengambilan anak angkat bagi memberi maklumat berhubung bayaran mereka.
"Jika diluluskan di parlimen, Akta Pengambilan Anak Angkat yang digubal semula akan memastikan dengan lebih baik lagi, kanak-kanak yang dikenal pasti bagi pengambilan anak angkat ditempatkan dan dibesarkan dalam keluarga penyayang, selamat dan stabil, dan mengukuhkan kawal selia dalam sektor pengambilan anak angkat," menurut MSF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.