Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rang Undang-Undang Cukai Karbon diluluskan; saranan WP ditolak

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura akan menaikkan cukai karbon kepada S$25 setiap tan bagi pelepasan gas rumah hijau pada 2024 dan 2025 dan S$45 setiap tan mulai 2026.

Ini selepas Rang Undang-Undang (Pindaan) Harga Karbon diluluskan di Parlimen pada Selasa (8 Nov).
Peningkatan secara progresif itu akan meletakkan Singapura pada kedudukan untuk mencapai harga antara S$50 hingga S$80 setiap tan menjelang 2030.

Demikian didedahkan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu semasa bacaan kedua rang undang-undang tersebut.

Buat masa ini, kadar cukai karbon Singapura - yang dikenakan ke atas kemudahan-kemudahan yang mengeluarkan sekurang-kurangnya 25,000 tCO2e gas rumah hijau (GHG) setiap tahun - ditetapkan pada S$5 setiap tan sehingga 2023.

Rang undang-undang itu juga akan menetapkan rangka kerja bagi Kredit Karbon Antarabangsa (ICC), iaitu sijil niaga bagi pengurangan atau penghapusan karbon daripada atmosfera, yang dijana melalui projek-projek atau program-program di luar Singapura.

Firma-firma juga akan dibenarkan untuk menggunakan ICC bagi mengimbangi sehingga 5 peratus daripada pelepasan karbon yang boleh dikenakan cukai.

Anggota Parlimen (AP) Leon Perera (WP-Aljunied) dan AP He Ting Ru (WP-Sengkang) turut menyarankan beberapa pindaan pada rang undang-undang itu termasuk langkah, yang didakwa berupaya memperbaiki ketelusan rejim ICC.

Usulan mereka bagaimanapun ditolak.

Sementara itu, para AP lain turut menyuarakan keprihatinan sama ada cukai karbon akan menjejas kos sara hidup warga Singapura.

Cik Fu berkata: "Pemanasan bumi tidak akan terhenti gara-gara inflasi yang melanda."

"Oleh itu, daripada menangguhkan rancangan kami, Pemerintah sudah dan akan terus memberikan sokongan secara bersasar kepada perniagaan-perniagaan dan isi rumah yang terjejas, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami kepada peralihan rendah karbon yang inklusif," kata Cik Fu.

Pada S$25 setiap tan, kenaikan harga karbon akan sekali gus menyaksikan kenaikan kira-kira S$4 sebulan pada bil api air bagi purata keluarga yang menetap di flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kata Cik Fu.

Tambah Cik Fu lagi: "Ketika cukai karbon mula diperkenalkan pada 2019, rebat U-Save diberikan untuk menawarkan sokongan bagi membantu isi rumah yang terjejas menyesuaikan diri. Kami sudah dan akan terus menyokong isi rumah dengan rebat U-Save."

Selain itu, Pemerintah akan menyemak skim-skim sedia ada, seperti Program Keluarga Mesra Iklim untuk menggalak lebih ramai keluarga mengurangkan kesan kos jangka panjang dengan beralih kepada peralatan cekap tenaga dan kelengkapan yang menjimatkan air.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan