Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rang undang-undang baru beri kuasa keluarkan perintah perlindungan kecemasan bagi tangani keganasan keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu Rang undang-undang dibentangkan di Parlimen pada Selasa (9 Mei) untuk memberi pihak berkuasa lebih bidang kuasa dalam menangani kes keganasan keluarga, seperti mengeluarkan perintah perlindungan kecemasan dalam kes yang berisiko tinggi.

Perintah perlindungan kecemasan boleh dikeluarkan oleh Pasukan Respons Kecemasan (DVERT) di bawah Kementerian Pembangunan Keluarga dan Sosial (MSF) kepada pelaku di tempat kejadian jika timbul bahaya individu tersebut akan melakukan keganasan dan perintah itu perlu bagi memastikan keselamatan segera mangsa.

Pelaku boleh diberkas jika mereka melanggar perintah perlindungan kecemasan tersebut, yang berkuat kuasa selama 14 hari.

Rang (Pindaan) Piagam Wanita (Keganasan Keluarga dan Perkara Lain) dibaca buat pertama kalinya di Parlimen pada Selasa, yang diusulkan Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling. Kali terakhir Akta tersebut dipinda bagi perkara berkaitan dengan keganasan keluarga adalah pada 2016.

Perintah perlindungan kecemasan menghalang pelaku daripada melakukan keganasan lanjut ke atas anggota keluarga. Ia juga memberi masa kepada mangsa untuk memohon Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) atau mempercepatkan proses mendapatkan perintah tersebut.

Selain itu, perintah kecemasan, perintah disegerakan dan PPO merangkumi peruntukan lain, di samping peruntukan sedia ada untuk pengecualian dan kaunseling keluarga.

Salah satu daripadanya ialah peruntukan 'Stay Away' yang melarang pelaku daripada berada dekat dengan mangsa. Misalnya, di kawasan di luar rumah, atau tempat yang sering dikunjungi mangsa. Terdapat juga peruntukan 'No Contact' yang melarang pelaku daripada berhubungan dengan mangsa.

Perubahan yang diusulkan bertujuan mengukuhkan rangka kerja perundangan untuk melindungi mangsa keganasan keluarga dengan lebih baik dan meningkatkan pemulihan dan kebertanggungjawapan pelaku, kata MSF.

Ia susuli cadangan Pasukan Petugas Keganasan Keluarga yang dikeluarkan pada September 2021.

Jika diluluskan di Parlimen, perubahan tersebut akan mengukuhkan keupayaan pemerintah untuk campur tangan dalam kes keganasan keluarga dan memperkasa mangsa untuk melindungi diri mereka dengan lebih baik. Pindaan tersebut juga akan mengenakan hukuman lebih berat serta penguatkuasaan terhadap sebarang pelanggaran.

LEBIH KUASA UNTUK CAMPUR TANGAN

Rang undang-undang tersebut menyediakan pelbagai kuasa tambahan kepada pelindung, yang dilantik atau diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (DGSW), untuk bertindak demi kebajikan mangsa.

Apabila mangsa kes keganasan keluarga enggan memohon bagi PPO tetapi berisiko dicederakan, pelindung akan dapat memohon perintah tersebut bagi pihak mereka.

Pelindung juga boleh memohon kepada mahkamah bagi pelaku keganasan keluarga yang berisiko tinggi dipakaikan peranti pemantauan elektronik jika terdapat kecurigaan yang munasabah bahawa PPO telah dilanggar dan mangsa dicederakan.

Ini hanya bagi "bilangan kecil" mangsa yang masih tidak mahu membuat laporan mengenai pelanggaran PPO, meskipun terdapat risiko tinggi kecederaan, jelas MSF.

Jika semua langkah lain tidak cukup untuk melindungi mangsa tersebut, pelindung boleh memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan mangsa dari rumah mereka, jika keselamatan peribadi mereka terancam dengan serius tetapi mereka enggan mengambil langkah untuk melindungi diri sendiri.

Rang Undang-undang itu juga mengemas kini takrifan keganasan keluarga untuk meliputi penderaan fizikal, seksual dan emosi atau psikologi.

PEMULIHAN, PENGUATKUASAAN DAN HUKUMAN LEBIH BERAT

Terdapat juga peruntukan tambahan dalam PPO dan perintah perlindungan kecemasan bagi mengukuhkan usaha pemulihan ke atas pelaku.

Rang undang-undang tersebut memperluaskan skop peruntukan kaunseling untuk merangkumi program, rawatan, dan campur tangan lain seperti program keibubapaan dan latihan penjaga.

Mereka boleh dihantar untuk menjalani rawatan wajib sekiranya mahkamah mendapati pelaku tersebut mempunyai isu psikiatri yang boleh dirawat yang mungkin menjadi faktor penyumbang kepada melakukan keganasan keluarga.

Bagi memastikan pelaku dipertanggungjawabkan, rang undang-undang tersebut menyarankan hukuman bagi kesalahan melanggar perintah mahkamah ditambah kepada denda tidak lebih S$10,000, naik daripada S$2,000, dan/atau tempoh penjara selama 12 bulan, naik daripada enam bulan.

Bagi memastikan pelaku memandang serius peorgram pemulihan mereka, sebarang pelanggaran terhadap sesi kaunseling, atau peruntukan rawatan lain boleh dikenakan denda sehingga S$2,000.

MSF menyiasat 2,254 kes baru berkaitan keganasan keluarga pada 2022, iaitu hampir sama dengan jumlah kes baru pada 2021, apabila terdapat 2,346 kes.

Rang tersebut akan dibaca buat kali kedua pada sidang parlimen seterusnya pada atau selepas 3 Julai.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan