Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rang Undang-Undang baru benarkan banduan tingkat kemahiran di luar penjara

Satu Rang Undang-Undang baru bertujuan memperluaskan skop kegiatan yang boleh dilakukan oleh banduan yang layak di luar penjara di hujung tempoh hukuman mereka. Ini termasuk membolehkan mereka menjalani latihan kemahiran dan pendidikan, selain daripada bekerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Nov 2021 06:25PM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 09:12PM

SINGAPURA: Satu Rang Undang-Undang baru bertujuan memperluaskan skop kegiatan yang boleh dilakukan oleh banduan yang layak di luar penjara di hujung tempoh hukuman mereka. Ini termasuk membolehkan mereka menjalani latihan kemahiran dan pendidikan, selain daripada bekerja.

Dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen oleh Menteri Negara bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri Faishal Ibrahim pada Isnin (1 Nov), Rang Undang-Undang (Pindaan) Penjara akan memperkenalkan satu skim baru dipanggil Skim Persediaan Pekerjaan (EmPS) untuk mempertingkatkan daya bekerja bagi banduan dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan.

Ia menggantikan Skim Pelepasan Kerja yang hanya membenarkan banduan yang layak untuk keluar bekerja di luar penjara namun tidak mengikuti kegiatan pendidikan atau latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Seseorang banduan itu layak menjalani EmPS jika sudah menjalani hukuman penjara selama sekurang-kurangnya 14 hari dan Pesuruhjaya Penjara menganggap mereka sesuai berdasarkan faktor-faktor seperti kemajuan mereka dan tindak balas kepada pemulihan, sokongan keluarga dan risiko melakukan kesalahan lagi.

TIGA FASA DI BAWAH SKIM BARU

EmPS terdiri daripada tiga fasa iaitu - fasa di tempat latihan, fasa cuti hujung minggu di rumah dan fasa cuti yang panjang di rumah.

Di bawah fasa pertama, banduan boleh bekerja, mengikuti program peningkatan kemahiran menerusi latihan atau meneruskan pelajaran di luar penjara pada siang hari dan kemudian kembali ke sebuah "pusat pelepasan kerja" pada sebelah petang, menurut Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media.

Banduan "yang mencatatkan kemajuan baik" semasa fasa ini akan dibenarkan untuk melangkah ke fasa cuti hujung minggu di rumah, menurut MHA.

Di bawah fasa itu, banduan boleh kembali ke tempat tinggal mereka pada hujung minggu.

Di bawah fasa cuti panjang di rumah, banduan boleh pulang ke rumah mereka setiap hari selepas selesai bertugas, mengikuti kelas pendidikan atau latihan kemahiran.

Sepanjang EmPS, banduan akan menerima sokongan dari pihak penjara berhubung "keperluan kembali semula ke pangkuan masyarakat" tertakluk pada syarat, seperti memakai alat pemantauan elektronik dan melaporkan diri secara kerap kepada pegawai integrasi semula, menurut MHA.

Mereka yang melanggar syarat-syarat itu akan dipanggil semula ke penjara sementara menanti siasatan berhubung pelanggaran itu atau ditarik balik perintah EmPS.

PERTINGKAT PEMULIHAN DALAM MASYARAKAT

Beberapa pindaan ke atas Akta Penjara juga dibentangkan pada Isnin, yang bertujuan membantu Jabatan Penjara Singapura (SPS) mengendalikan program pemulihan berasaskan masyarakat dengan lebih baik.

Salah satu pindaan memberikan SPF "kaedah alternatif" untuk memaklumkan kepada banduan tentang sebarang perubahan terhadap syarat program berasaskan masyarakat yang mereka jalani. Undang-undang kini memerlukan pemberitahuan bertulis. Ini akan diperluaskan kepada kiriman SMS dan aplikasi mesej jika pindaan ini diluluskan.

Kedua, MHA mengusulkan untuk memberi kuasa kepada pegawai SPS untuk "mendapatkan dokumen atau maklumat dari pihak ketiga' apabila mereka menjalankan siasatan berhubung pelanggaran syarat oleh banduan.

Sekarang ini, pegawai SPS tidak boleh meminta pihak ketiga untuk memberi dokumen atau maklumat kerana permintaan sedemikian tidak tertakluk dalam perundangan, di mana ini menyebabkan sesetengah pihak ketiga tidak memenuhi permintaan itu, menurut MHA.

TEMPOH TANGGUH UNTUK JATUHKAN HUKUMAN DILANJUTKAN

MHA menyatakan ia juga membentangkan beberapa pindaan untuk membantu SPS dari segi "fleksibiliti dalam operasi dan pentadbiran".

Pertama, Rang Undang-Undang ini mengusulkan agar Pesuruhjaya Penjara dibenarkan menangguhkan pembebasan tahanan sehingga 21 hari, berbanding 14 hari sekarang, untuk membolehkan sebarang hukuman tertunggak yang diarahkan mahkamah. Hukuman ini lazimnya melibatkan hukuman sebat.

Banduan boleh mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya dalam masa 14 hari setelah dijatuhi hukuman. Hukuman sebat tidak boleh dilaksanakan sehingga tempoh itu selesai walaupun jika tiada sebarang rayuan dibuat.

SEKAT HUBUNGAN, SEBARAN MAKLUMAT

Kedua, Rang Undang-Undang yang diusulkan itu membenarkan Menteri Ehwal dalam Negeri membuat peraturan untuk mengeluarkan atau menghalang kiriman surat banduan yang boleh menjejas "keselamatan atau susun atur penjara yang baik" atau "mencetuskan berlakunya sebarang kesalahan".

Satu pindaan serupa bertujuan membenarkan menteri berkenaan meminta individu tersebut supaya berjanji tidak akan menerbitkan atau menyebarkan maklumat sedemikian sebelum mereka dibenarkan untuk berhubungan dengan seorang banduan.

Ia termasuk lukisan yang menggambarkan pelan meloloskan diri dari penjara, maklumat berkaitan langkah keselamatan di penjara dan mesej berkod untuk mencetuskan huru-hara di penjara.

Pada masa ini tiada sekatan sama ada individu itu boleh menerbitkan atau menyebarkan sebarang maklumat yang diperolehi melalui kiriman surat bersama seorang banduan.

PERLINDUNGAN BAGI PEGAWAI

Ketiga, Rang Undang-Undang itu menyarankan supaya perlindungan "lebih jelas" diberikan kepada pegawai penjara dan pegawai polis tambahan yang ditauliahkan oleh Pesuruhjaya Penjara daripada "bertanggungjawab atas tindakan dan pengecualian yang dijalankan dengan berniat baik dan usaha sedaya mungkin" semasa melaksanaan Akta Penjara.

Akhir sekali, Rang Undang-Undang itu juga ingin mengemas kini takrifan "juvenile" atau jenayah yang dilakukan individu bawah usia 18 tahun berbanding 16 tahun sekarang

Ini sejajar dengan takrifan yang dikemas kini di bawah Akta (Pindaan) Kanak-Kanak dan Orang Muda 2019. 

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa