Skip to main content

Singapura

Rang undang-undang bagi mansuh Akta Hasutan diperkenal di Parlimen

MHA jelaskan, pelaksanaan Akta Hasutan 'terhad' kerana ia bertindih dengan undang-undang lain yang tangani kesalahan serupa dengan lebih khusus.

Anggaran Waktu Membaca:
Rang undang-undang bagi mansuh Akta Hasutan diperkenal di Parlimen

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 02:56PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 03:00PM

SINGAPURA: Pemerintah hari ini (13 Sep) memperkenalkan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi memansuhkan Akta Hasutan, sambil menegaskan bahawa pelaksanaannya "terbatas" kerana undang-undang lain berupaya menangani kesalahan-kesalahan serupa dengan cara yang lebih bersasar.

"Kita telah menggunakan Akta Hasutan pada masa lalu untuk menangani pelbagai bentuk tingkah laku yang boleh melemahkan fabrik sosial kita dan menjejas institusi-institusi kita," menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataan medianya pada Isnin (13 Sep).

"Saban tahun, undang-undang baru diperkenalkan untuk menangani keprihatinan ini dengan cara yang lebih bersasar dan tersusun."

Ini termasuk Akta Mengekalkan Keharmonian Agama, Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) 2019, Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016, Akta Penerbitan Tidak Diingini, Akta Akhbar dan Mesin Cetak dan peruntukan-peruntukan khusus di bawah Kanun Jenayah.

"Maka itu, pelaksanaan Akta Hasutan adalah terbatas dan boleh dimansuhkan," tambah MHA.

Saranan untuk memansuhkan Akta Hasutan juga bangkit ketika Pemerintah merancang untuk meluluskan undang-undang keharmonian kaum yang baru yang bakal mengukuhkan bidang kuasa undang-undang tersebut untuk menangani isu-isu berkaitan kaum.

Akta Hasutan sudah wujud sejak 1938 dan ia menjadikan kecenderungan untuk menghasut sebagai satu jenayah termasuk memupuk rasa tidak puas hati terhadap Pemerintah dan perasaan tidak senang hati dan permusuhan antara pelbagai kaum atau suku kaum.

Sungguhpun demikian, MHA menegaskan bahawa satu aspek daripada Akta Hasutan adalah untuk menjaga perpaduan sosial antara pelbagai kumpulan di Singapura, yang terus kekal relevan.

"Salah satu kesalahan dalam Kanun Jenayah akan dipinda bagi memastikan hal ini terus ditangani secukupnya, dengan cara yang lebih bersasar," tambah kementerian itu.

Walaupun Akta Mengekalkan Keharmonian Agama dan Kanun Jenayah sudahpun meliputi kes-kes ketidakharmonian yang melibatkan kumpulan-kumpulan agama dan kaum, MHA menegaskan masih ada keperluan untuk mempunyai undang-undang yang dapat menangani kes-kes serius yang melibatkan kumpulan-kumpulan lain.

Ini termasuk para individu yang dikenal pasti atau sesuatu yang dilakukan atas dasar agama, kerakyatan atau status penduduk.

PINDAAN SEKSYEN 267C KANUN JENAYAH

Atas tujuan tersebut, MHA akan meminda Seksyen 267C Kanun Jenayah, yang melarang perbuatan, pemilikan atau penyebaran bahan-bahan yang menghasut keganasan terhadap orang lain, menggalak orang lain supaya mengingkari undang-undang, atau yang mungkin boleh mengganggu ketenteraman.

Bahagian tersebut akan dipinda untuk meliputi tindakan-tindakan lain, seperti ucapan dan komunikasi lisan, yang boleh menyebabkan keganasan, pelanggaran undang-undang atau mengganggu ketenteraman.

"Ppada masa yang sama, kami akan mengecilkan skop pelaksanaannya dengan memastikan pesalah benar-benar berniat untuk melakukan keganasan, enggan mematuhi undang-undang, atau mengganggu ketenteraman, atau mengetahui ataupun mempunyai alasan untuk percaya bahawa ia mungkin berlaku,”tambah MHA.

Bahagian ini juga akan dipinda untuk menjelaskan bahawa "menggalak ketidakpatuhan terhadap undang-undang" merangkumi, tetapi tidak terhad kepada setakat memberikan arahan, nasihat atau maklumat yang mendorong kepada ketidakpatuhan terhadap undang-undang.

SEBILANGAN KESALAHAN DI BAWAH KANUN JENAYAH BOLEH DIBERKAS

Menjangkaui pindaan-pindaan itu, MHA turut mengusulkan agar sesetengah kesalahan di bawah Kanun Jenayah, yang menangani tingkah laku yang menggugat perpaduan sosial dan keharmonian kaum, menjadi kesalahan yang boleh diberkas. Kesalahan-kesalahan serupa di bawah Akta Hasutan juga boleh diberkas.

Kesalahan-kesalahan tersebut merangkumi perbuatan yang dilakukan dengan sengaja untuk mengguris perasaan agama atau kaum lain, menggalak ketidakharmonian antara kumpulan agama dan kaum yang berbeza, dan penerbitan bahan yang berniat untuk menghasut mana-mana golongan supaya melakukan kesalahan terhadap kumpulan orang lain.

Langkah itu akan memastikan polis dapat terus bertindak pantas dan berkesan ketika menangani kes-kes berat yang menjejas perpaduan sosial di sini, menurut MHA.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita