Skip to main content

Singapura

Rancangan peluasan Marina Bay Sands bernilai S$4.5 bilion dijangka tergendala

Anggaran Waktu Membaca:
Rancangan peluasan Marina Bay Sands bernilai S$4.5 bilion dijangka tergendala

(Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)

SINGAPURA: Projek peluasan Marina Bay Sands (MBS) bernilai S$4.5 bilion kemungkinan besar tidak dapat dimulakan pada April 2023 seperti dirancang.

Demikian menurut satu pemfailan dibuat syarikat induknya Las Vegas Sands (LVS) kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) pada 3 Februari lalu.

Pada 2019, LVS mengumumkan rancangan peluasan bernilai AS$3.3 bilion (S$4.4 bilion) bagi pembangunan baru yang terletak bersebelahan dengan resort bersepadu itu. Ia dijangka siap pada 2026.

Antara pembangunan yang dirancang termasuk menara keempat MBS, yang bakal mempunyai sekitar 1,000 bilik hotel, arena hiburan dengan 15,000 tempat duduk, kawasan atas bumbung atau 'sky roof' berserta sebuah kolam renang serta restoran. Terdapat juga dewan acara, dewan pameran dan peruncit mewah yang baru.

Namun demikian, rancangan peluasan tersebut terjejas disebabkan gangguan kepada industri binaan akibat pandemik COVID-10. Lembaga Pelancongan Singapura (STB) kemudian memberi pengendali resort bersepadu itu tempoh lanjutan selama 12 bulan tahun lalu.

Menurut pemfailan SEC yang bertarikh 30 Mac tahun lalu, MBS diberi tempoh sehingga 8 April 2023 untuk "memulakan kerja-kerja binaan" bagi rancangan yang termaktub dalam perjanjian Pembangunan Kedua yang dimeterai dengan STB pada April 2019.

Penangguhan kedua pula berlaku selepas LVS menyatakan dalam pemfailan terbarunya kepada suruhanjaya tersebut, bahawa ia "tidak menjangka dapat memulakan kerja" pada April 2023, sepertimana yang dipersetujui dalam garis masa tersebut.

Syarikat kasino dan resort AS itu menjelaskan bahawa ia sedang dalam rundingan dengan Pemerintah mengenai garis masa yang dilanjutkan bagi tarikh memulakan dan tarikh siap projek peluasan Marina Bay Sands.

Ia menarik perhatian bahawa sekiranya lanjutan itu tidak diperolehi, syarikatnya akan gagal memenuhi kewajipan di bawah perjanjian Pembangunan Kedua.

LVS menambah bahawa projek pembinaan tersebut bergantung kepada kos disebabkan hal di luar kawalan mereka, seperti kekurangan bekalan bahan, buruh kemahiran, kejuruteraan yang tidak dijangka dan banyak lagi.

YAKIN MBS AKAN TERUS BERKEMBANG

Meskipun terdapat kemungkinan kelengahan dalam projek tersebut, LVS menyuarakan keyakinannya terhadap prestasi memberasangkan resort bersepadu MBS dalam keputusan laporan suku keempat bulan lalu, berikutan kelonggaran dalam langkah-langkah COVID-19.

Pengerusi dan CEO Robert G. Goldstein berkata: "Di Singapura, kami berbesar hati menyaksikan pemulihan prestasi secara berterusan di Marina Bay Sands semasa suku tersebut, dengan hartanah itu mencapai prestasi mencecah rekod."

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita