Skip to main content

Singapura

Rancangan Manja musim terbaharu bersiaran dari luar studio buat pertama kali

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Nov 2025 08:22PM Dikemas Kini : 03 Dec 2025 03:32PM
  • Buat julung kalinya, rancangan gaya hidup saluran Suria, Manja membawa rakaman dua episod ke luar studio di Hab Tampines Kita.
  • Acara santai sepanjang hari itu bermula 11 pagi sehingga 9 malam. Ia menampilkan rangkaian interaktif yang menghubungkan penonton dengan personaliti Manja kegemaran mereka, selain persembahan langsung di atas pentas, seperti demonstrasi memasak.
  • "Musim ke-10 Manja ini lebih gah. Yang unik yang berbeza kali ini - bahagian pertama kita cuba rakamkan di luar studio. Lokasi-lokasi kita memang luar biasa."
  • Tentunya tarikan terbesar adalah peluang untuk para pengunjung cuba menjadi 'hos undangan' Manja, di reruai Hos Manja yang disediakan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Buat julung kalinya, rancangan gaya hidup saluran Suria, Manja membawa rakaman dua episod ke luar studio di Hab Tampines Kita.

Rakaman yang diadakan pada Sabtu (15 Nov) itu bertujuan mendekati peminat selain memberi peluang kepada penonton menyaksikan sendiri pengalaman rakaman luar studio.

Ia selaras dengan komitmen berterusan Mediacorp untuk mendekatkan hiburan tempatan kepada masyarakat.

Acara sepanjang hari itu turut menampilkan persembahan langsung daripada rancangan Singapura LIVE! 4.0.

PELUANG INTERAKSI DAN MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA RAKAMAN EPISOD MANJA MUSIM INI

Acara santai sepanjang hari itu bermula 11 pagi sehingga 9 malam. Ia menampilkan rangkaian interaktif yang menghubungkan penonton dengan personaliti Manja kegemaran mereka, selain persembahan langsung di atas pentas, seperti demonstrasi memasak.
Related article image
Demonstrasi memasak di acara Manja di Hab Tampines Kita.
Beg cenderahati bagi 200 pengunjung pertama dan reruai berdekatan pentas pula membolehkan pengunjung menikmati lukisan inai.

"Saya rasa gembira sebab saya membawa nenek saya ke sini untuk menonton. Saya tengok nenek saya di depan itu bergabung dengan konsert. Dia tepuk tangan semua! Jadi meriah acara hari ini. Saya tengok yang menonton semua gembira, semua dapat bersatu dengan gembira menonton bersama-samalah," ujar Encik Amin, salah seorang pengunjung.

"Saya rasa menarik. Manja ada banyak segmen dan banyak informasi yang kita tak semestinya dapat saksikan setiap hari. Mereka sentiasa mencari konten baharu. Jadi anak-anak kita boleh dapat tonton, boleh dapat lihat apa yang di belakang tabir yang dilakukan oleh bakat-bakat di sebalik rancangan Manja, sebelum ditayangkan di TV," luah Cik Raodah Zulkiflee yang menonton bersama anaknya.

Selain menonton barisan hos Manja - Natasha Faisal, Zhin Sadali, Shenty Feliziana, dan Iskandar Shah beraksi seperti di dalam studio sewaktu rakaman mingguan, para penonton juga dapat bertemu mereka secara langsung dalam satu sesi pertemuan.
Related article image
Gambar poster Manja di Hab Tampines Kita.
"Saya rasa terharu sangat, sangat semangat, pertama kali kita turun padang. Biasanya Manja ini kita diraikan di skrin. Buat pertama kali dapat melihat penonton di depan muka, jadi saya rasa kali ini setiap segmen yang ditonjolkan lebih meriah, lebih intim dan juga lebih bermakna," luah Natasha Faisal berikutan pengalaman pertamanya bertemu penonton Manja.

TENTANG SEGMEN BAHARU MANJA MUSIM KE-10

Para penonton Manja boleh menjangkakan antara pembaharuan musim terbaharu Manja termasuk lokasi-lokasi tempat menarik serta podcast Manja.

"Musim ke-10 Manja ini lebih gah. Yang unik yang berbeza kali ini - bahagian pertama kita cuba rakamkan di luar studio. Lokasi-lokasi kita memang luar biasa. Kita pernah buat rakaman dekat dobi - Laundromat. Untuk mendekati dengan belia lagi, kita pernah buat rakaman di sekolah - di Politeknik Ngee Ann. Oh ada segmen baru - Boleh Ikut - di mana kita selami pekerjaan yang mungkin kurang lazim seperti perbaiki rel MRT atau tukang buat roti.

Dan juga nantikan podcast kita yang bakal datang nanti, di mana kita bincangkan topik-topik yang luar dari perbincangan TV, mungkin lebih hangat, lebih sensitif tapi lebih santai pada masa yang sama," tambah Natasha yang juga bekerja sepenuh masa sebagai penyampai radio di stesen radio Inggeris Mediacorp 987FM.

Tentunya tarikan terbesar adalah peluang untuk para pengunjung cuba menjadi 'hos undangan' Manja, di reruai Hos Manja yang disediakan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita