Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rancangan mahu benarkan rapatkan saf solat berjemaah di masjid ditarik balik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rancangan untuk membolehkan para jemaah kembali merapatkan saf dalam solat-solat berjemaah di masjid-masjid seawal esok (25 Feb) kini ditarik balik.

Ini disahkan sebilangan pegawai masjid kepada BERITAmediacorp. Menurut mereka, pihak-pihak masjid baru sahaja mendapat khabar dari pihak berkuasa bahawa rancangan tersebut perlu digantung "bagi tempoh masa yang tidak pasti".

Semalam, BERITAmediacorp melaporkan bahawa sesi-sesi solat berjemaah boleh dirapatkan seperti sediakala di masjid-masjid bermula subuh esok (Jumaat), sambil menukil sumber-sumber masjid.

Namun demikian, pada jam 11.35 pagi tadi, Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan satu kenyataan bahawa pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat yang dilonggarkan perlu ditangguhkan dahulu kerana "bilangan kes harian COVID-19 melonjak tinggi sekarang ini".

Pengumuman ini dilakukan hanya sehari sebelum fasa pertama bagi langkah-langkah pengurusan selamat seharusnya mula dilonggarkan pada Jumaat (25 Feb).

"Kami akan mengumumkan tarikh pelaksanaan yang baru dalam waktu terdekat. Sementara itu, kami akan tetap menguatkuasakan peraturan-peraturan sedia ada," menurut MOH.

Peraturan-peraturan sedia ada yang disebutkan termasuk menjaga jarak selamat 1 meter antara satu sama lain, mahupun mengehadkan bilangan jemaah di tempat-tempat ibadat.

Dalam erti kata lain, para jemaah di masjid belum boleh merapatkan saf apabila solat berjemaah di masjid. Rancangan membolehkan masjid menyambut sehingga 2,000 jemaah juga perlu ditangguh dahulu.

Tarikh baru bagi pelaksanaannya tidak pula dinyatakan pihak berkuasa.

Yang pasti, perkembangan ini agak mendadak memandangkan masjid-masjid tempatan seharusnya boleh mula menanggalkan tanda pelekat di dewan solat, tempat wuduk dan tandas selepas waktu isyak malam nanti (24 Feb). Tanda pelekat berkenaan bertujuan mewujudkan jarak selamat 1 meter bagi jemaah atau pengguna.

(Gambar fail: MUIS)

Dalam pada itu, MOH menyatakan pelonggaran pengurusan selamat akan diseleraskan apabila tiba masanya.

Pada Rabu lalu (16 Feb), Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) menyatakan pelonggaran akan dilakukan secara berperingkat, iaitu pada 25 Feb dan 4 Mac. Rancangan ini kini digantung.

"Memandangkan bilangan kes harian sekarang ini melonjak tinggi, dan ada pelbagai peraturan dalam keadaan yang berbeza-beza, MTF sudah menyemak perkara ini dan memutuskan untuk merangkumkan dan menyelaraskan langkah-langkah pengurusan selamat secara serentak."

Singapura pada Selasa (23 Feb) melaporkan rekod jangkitan sebanyak 26,032 kes. Jumlah itu menyusut semalam pada 20,312 kes.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan