Skip to main content

Singapura

Rancangan Indonesia kurangkan import minyak dari SG mungkin ganggu aliran perdagangan; kesan dijangka minimum: Penganalisis

Rancangan Indonesia untuk mengurangkan import minyak dari Singapura mungkin memberi tekanan terhadap aliran perdagangan di tengah-tengah rundingan tarif dengan Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Rancangan Indonesia kurangkan import minyak dari SG mungkin ganggu aliran perdagangan; kesan dijangka minimum: Penganalisis

Singapura merupakan hab penapisan minyak dan pembekal utama minyak global. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Rancangan Indonesia untuk mengurangkan import minyak dari Singapura mungkin memberi tekanan terhadap aliran perdagangan di tengah-tengah rundingan tarif dengan Amerika Syarikat. Namun, para pemerhati percaya kesan keseluruhan terhadap ekonomi Singapura adalah terhad.

Para penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa kepelbagaian ekonomi Singapura dalam bidang seperti teknologi dan pengilangan akan terus menyokong pertumbuhannya.

Namun begitu, mereka memberi amaran bahawa mungkin terdapat kesan tidak langsung terhadap sektor khidmat pengangkutan dan penyimpanan serta perdagangan borong.

Ini berlaku sedang Indonesia berusaha untuk menukar sebahagian sumber import minyaknya dari Singapura ke Amerika Syarikat.

Buat masa ini, Indonesia sedang merundingkan tarif sebanyak 32 peratus yang ingin dikenakan Amerika Syarikat terhadap barangan import dari negara itu. Tarif tersebut telah digantung buat sementara waktu sehingga Julai.

TANGANI TARIF TRUMP

Singapura merupakan hab penapisan dan pembekal utama minyak global. Dalam empat bulan pertama 2025, ia mengeksport lebih 54,000 tong produk petroleum yang telah ditapis dan 8,300 tong bahan api jet setiap hari ke Indonesia.

Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral, Bahlil Lahadalia, berkata pada Jumaat lalu (9 Mei) bahawa pihaknya mungkin memindahkan sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan import minyaknya dari Singapura ke Amerika Syarikat pada peringkat awal.

Jakarta sedang berusaha untuk meningkatkan import bahan api dari Amerika sebagai sebahagian daripada saranan lebih meluas untuk menangani tarif yang dikenakan Presiden Amerika Donald Trump.

Namun begitu, para pakar percaya kesan terhadap ekonomi Singapura adalah minimum.

“Walaupun Indonesia mengurangkan import mereka, Singapura masih mempunyai keupayaan,” kata John Driscoll, pengarah penyedia maklumat pasaran tenaga JTD Energy Services.

“Mereka mempunyai infrastruktur, kilang penapisan, terminal penyimpanan, khidmat sokongan, dan selain itu, mereka juga merupakan titik penetapan harga utama di timur Suez,” tambahnya, merujuk kepada kawasan yang terletak di timur Terusan Suez.

“Anda lihat semua syarikat teknologi utama membuka pejabat di sini — Facebook, Google, Amazon. Singapura tidak terlalu bergantung kepada minyak, dan saya rasa itu memang strategi yang dirancang. Mereka mahu mengurangkan kebergantungan pada sektor minyak.”

LEBIHAN BEKALAN MINYAK

Industri minyak menyumbang sekitar 5 peratus daripada keseluruhan keluaran dalam negara kasar (GDP) Singapura. Ia adalah lebih kecil berbanding sektor lain seperti pengilangan, yang menyumbang sekitar 20 peratus kepada ekonomi negara.

Namun, para penganalisis memberi amaran bahawa jika negara lain mengikuti jejak Indonesia, kesannya boleh berganda.

“Mungkin berlaku kesan pusingan kedua terhadap sektor khidmat pengangkutan dan penyimpanan. Sektor perdagangan borong dan runcit juga boleh terjejas kerana aktiviti semakin kurang. Ini juga boleh menjejas aktiviti pelabuhan,” kata Encik Jeff Ng, ketua strategi makro Asia di SMBC.

“Apabila permintaan berkurangan, sektor pengilangan dan sektor perkhidmatan mungkin turut terjejas.”

Cabaran jangka pendek lain termasuk lebihan bekalan minyak yang boleh menurunkan harga, kata para pakar.

Namun begitu, mereka menjangkakan pasaran akan stabil pada masa hadapan.

“Singapura mungkin sekali akan menanggung bekalan minyak yang lebih sedikit kerana tiada pembeli,” kata Profesor Ekonomi Sumit Agarwal dari Sekolah Perniagaan NUS.

“Itu akan memberi tekanan terhadap harga minyak Singapura yang dijual kepada negara seperti Malaysia dan lain-lain. Jadi, keuntungan bagi perniagaan penapisan di Singapura akan merosot.

“Tetapi pada jangka sederhana, Singapura akan mendapat pembeli lain yang sesuai untuk membeli minyaknya yang telah ditapis, dan keadaan akan kembali stabil.”

Para pemerhati turut menjangkakan potensi pemain baharu dalam pasaran Singapura termasuk negara-negara dari Timur Tengah. Pelabur seperti dana lindung nilai dan bank juga mungkin berminat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita