Rancangan bina masjid-masjid baru ditunda termasuk untuk Tampines North
Rancangan untuk membina masjid-masjid baru termasuk di Tampines North kini ditunda dan rancangan itu akan hanya disemak semula setelah ekonomi pulih semula.
SINGAPURA: Rancangan untuk membina masjid-masjid baru termasuk di Tampines North kini ditunda dan rancangan itu akan hanya disemak semula setelah ekonomi pulih semula.
Sebaliknya, empat buah masjid sedia ada akan dinaik taraf dalam tempoh lima tahun ini - iaitu Masjid Darul Makmur, Masjid Alkaff Kampung Melayu, Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Darussalam.
Demikian dedah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengenai perubahan dalam perancangan sektor masjid tempatan.
PERLU LEBIH BERHEMAT, SEBALIKNYA NAIK TARAF 4 MASJID
Sejak lima tahun lalu sahaja, sebanyak $60 juta dibelanjakan untuk membina dua buah masjid baru, iaitu Masjid Yusof Ishak dan Masjid Maarof, selain meningkatkan 11 masjid lain.
Bagaimanapun di tengah-tengah cabaran ekonomi sekarang dek COVID-19, dengan pemulihan ekonomi dijangka memakan masa, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) perlu lebih berhemat dalam penggunaan dana masyarakat.
Disebabkan itu ia kini menyemak Pelan Peningkatan Masjid (MUP) yang termasuk menunda pembinaan masjid-masjid baru.
Pemerintah pada tahun 2015 pernah mengumumkan pelan untuk membina sebuah masjid baru di Tampines North, yang dijangka mempunyai lebih banyak perumahan baru.
Tumpuan kini beralih kepada menaik taraf masjid-masjid sedia ada iaitu Darul Makmur, Alkaff Kampung Melayu, Ar-Raudhah dan Darussalam dalam usaha memenuhi keperluan masyarakat Muslim buat masa ini.
Encik Masagos mendedahkan perkembangan baru itu dalam ucapannya di Seminar Pelan Kerja MUIS hari ini yang dihadiri 340 orang pemimpin masyarakat dan masjid secara online.
"MUIS juga akan mendapatkan pegangan pajakan lebih lama bagi Masjid Tentera dan Masjid Ahmad Ibrahim, yang kini di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOP) dan ada rancangan untuk menaik taraf masjid-masjid ini," kata beliau.

"Masjid-masjid itu akan dipertingkat dengan daya akses lebih baik seperti lif dan tanjakan untuk menyokong bilangan warga emas lebih banyak dalam masyarakat kita."
Selain itu, masjid berkenaan juga akan menerapkan amalan mampan dan hijau, iaitu menjadi lebih berkesan dalam penggunaan tenaga dan air.
MASJID HARUS RANCANG PEMBIAYAAN OPERASI
Menurut beliau lagi, pandemik sekarang suatu peringatan tentang peri pentingnya mempunyai rizab serta peri perlunya masjid-masjid dan madrasah berdaya tahan dan mampan dalam soal kewangan.
"Masjid-masjid harus merancang bagaimana boleh membiayai operasi masa depan, termasuk apabila tempoh pajakan masing-masing perlu diperbaharui. Oleh itu, masjid-masjid harus memperuntukkan dana secara tetap, yang boleh dilaburkan dengan wajar bagi mendapatkan pulangan," ujar beliau.
Encik Masagos menambah beliau akan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai perkara ini dalam bulan-bulan mendatang. Ia dijangka berada di bawah rancangan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).
Beliau menambah, WMS akan membantu mendapatkan sumber-sumber yang diperlukan untuk memperkukuh sektor dan institusi-institusi keagamaan Islam tempatan bagi tahun-tahun mendatang.
Mengulas tentang falsafah baru kemampanan kewangan sektor masjid pula, Pengarah Kanan, Pembangunan Masjid dan Masyarakat, Zaini Osman berkata pihaknya ingin meningkatkan pendapatan dari sumber-sumber baru.
Ini termasuklah seperti pihak masjid memanfaatkan geran-geran yang disediakan pemerintah.

"Kita juga perlu mengemas kini kos tenaga kerja melalui mereka semula pekerjaan sebagai contoh mereka juga boleh mula mencari satu pekerjaan yang lebih sesuai dalam keadaan ini, di mana pihak masjid boleh mereka semula pekerjaan yang mungkin terjejas dalam situasi COVID ini," tambah Encik Zaini lagi.
LEBIH BANYAK PANDUAN DALAM SOAL AMALAN HALAL
Dalam seminar itu Encik Masagos juga menyatakan bahawa masyarakat Muslim tempatan kini memerlukan kepimpinan keagamaan yang kuat dalam soal amalan-amalan halal.
Beliau mendedahkan bahawa pada tahun depan, MUIS akan mengambil langkah untuk menghulurkan lebih banyak panduan berhubung keperluan-keperluan makanan halal di Singapura dan memperkukuh proses pensijilan halal.
"Kita mesti berhati-hati supaya tidak berlebihan. Di beberapa negara, amalan halal dilanjutkan kepada produk-produk yang tidak boleh dimakan seperti peti sejuk, selipar, lampin dan makanan haiwan.
"Trend-trend sebegini biasanya didorong perniagaan berbanding kepentingan agama, dan mengurangkan ruang bersama yang umat Islam kongsikan dengan masyarakat," ujar Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.