Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rancangan bersepadu bantu golongan memerlukan, berisiko, kata Dr Faishal Ibrahim

Kesan COVID-19 menjejas teruk warga tempatan terutama sekali golongan berpendapatan rendah. Maka itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan agensi-agensi Pemerintah akan memberikan pertolongan yang menyeluruh dan bersepadu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesan COVID-19 menjejas teruk warga tempatan terutama sekali golongan berpendapatan rendah. Maka itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan agensi-agensi Pemerintah akan memberikan pertolongan yang menyeluruh dan bersepadu.

Demikian ikrar Setiausaha Parlimen Kanan MSF, Profesor Madya Faishal Ibrahim, dalam wawancara dengan BERITAmediacorp hari ini (15 Jun).

Pemerintah sudah membentangkan empat Belanjawan bernilai hampir S$100 bilion sejauh ini bagi membantu masyarakat mengharungi waktu sukar COVID-19.

Misalnya, sekitar 450,000 orang sudahpun dibantu melalui Dana Bantuan Sementara (TRF) dan kira-kira 59,000 permohonan pula diterima bagi Geran Sokongan COVID-19.

Namun demikian Dr Faishal akur, besar kemungkinan situasi akan berpanjangan dek ekonomi yang lembap. Ini sekali gus akan akan membuatkan lebih ramai individu dan keluarga kehilangan pekerjaan dan dan memerluan bantuan kewangan.

"Mungkin mereka datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan yang berisiko akan terjejas teruk. Jadi MSF dan agensi-agensi pemerintah yang lain sama-sama dengan badan-badan masyarakat akan memberikan sokongan dan pertolongan yang holisitik dan menyeluruh.

"Kami akan menolong mereka dari segi kewangan, emosi, psikologi dan pendekatan yang holistik supaya mereka yang terjejas akan dibantu secara komprehensif, mudah dan bersepadu," ujar Dr Faishal.

Dr Faishal menambah bahawa sejak talian bantuan 24 jam sehari, National CARE Hotline, dilancarkan sebelum pertengahan April ia sudah menerima 18,400 pangilan.

Isu-isu yang dikemukakan termasuklah kebimbangan tentang soal kewangan, sokongan emosi, isu kesihatan mental dan hubungan kekeluargaan, selain soal ketiadaan tempat tinggal ekoran masalah keluarga di tengah-tengah wabak COVID-19 sekarang ini.

Beliau menambah: "MSF telah menerima 500 rujukan untuk mendapatkan tempat tinggal sementara sejak 7 April. Kami sedang cuba sedaya upaya untuk memberikan sokongan dan pertolongan kepada golongan ini. Kita mahu memberikan sokongan menyeluruh bukan saja dari segi aspek tempat tinggal tetapi bagaimana mereka boleh meneruskan kehidupan dengan keluarga dan meningkatkan tahap kehidupan masing-masing."

Dr Faishal menekankan bahawa usaha membantu golongan berisiko adalah "usaha kita bersama". Lantaran itu, beliau menyeru semua anggota masyarakat supaya tampil untuk saling membantu dan berkolaborasi bagi menyalurkan sumber-sumber bantuan yang ada. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan