Skip to main content

Singapura

Rampasan vape mengandungi etomidate merosot sejak undang-undang diperketat: HSA, MOH

Anggaran Waktu Membaca:
Rampasan vape mengandungi etomidate merosot sejak undang-undang diperketat: HSA, MOH

(Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 08 Nov 2025 07:40AM Dikemas Kini : 08 Nov 2025 12:10PM
SINGAPURA: Terdapat trend yang menunjukkan jumlah kes rampasan vape yang mengandungi etomidate oleh pihak berkuasa sudah merosot sejak ia diklasifikasi sebagai dadah terkawal Kelas C, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat (7 Nov).

Ujian pemantuan secara rawak yang dijalankan oleh HSA mendapati bahawa peratusan vape yang mengandungi etomidate, juga dikenali sebagai Kpods, merosot daripada kira-kira satu pertiga daripada 100 vape yang dirampas pada Julai kepada 12 peratus pada Ogos.

Kemerosotan itu menyusuli pengumuman Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, pada 20 Julai bahawa Singapura sedang berusaha untuk menyenaraikan etomidate sebagai dadah haram.

Selepas hukuman lebih berat untuk vape diperkenalkan, termasuk yang dicampur dengan etomidate yang dikuatkuasakan pada 1 September lepas, peratusan Kpods merosot lagi kepada 9 peratus pada bulan tersebut, menurut MOH dan HSA.

Antara 1 September dan 2 November, seramai 1,929 individu ditangkap kerana kesalahan berkaitan vape, di mana 167 daripada mereka didapati memiliki Kpods.

Daripada 167 pesalah tersebut, 108 ditempatkan dalam program pemulihan di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan agensi perkhidmatan sosial.

Sebanyak 33 lagi masih menunggu siasatan lanjut atau temuduga, manakala enam lagi sedang menunggu untuk ditempatkan ke dalam sesuatu program.

20 daripada mereka tidak akan dimasukkan ke dalam sebarang program. Enam merupakan warga asing yang menunggu masa mereka dihantar pulang, manakala 14 lagi sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang tiada kaitan dengan vape.

"Daripada mereka yang menjalani pemulihan, 105 sudah mematuhi program pemulihan mereka, manakala tiga penyalahguna etomidate gagal menghadiri janji temu pertama mereka," kongsi MOH dan HSA.

13 pesalah berulang juga sudah dimasukkan ke dalam program pemulihan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB). Daripada jumlah itu, 11 orang mematuhi program mereka, manakala dua lagi gagal menghadiri janji temu pertama mereka.

Tiga individu - dua wanita dan seorang lelaki - didakwa atas kesalahan berkaitan etomidate selepas gagal menghadiri atau menamatkan program pemulihan mereka. Seorang lagi lelaki, yang turut gagal menghadiri atau menyelesaikan program pemulihannya, akan didakwa atas kesalahan berkaitan vape pada 11 November.

Hukuman maksimum bagi mereka yang disabit kesalahan berkaitan etomidate ialah denda sehingga S$10,000 dan penjara sehingga dua tahun, manakala bagi pesalah vape biasa pula, denda sehingga S$2,000.

PENGUATKUASAAN BERTERUSAN

Lapan orang juga didakwa di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dalam tempoh sembilan minggu lalu kerana disyaki mengedar Kpods, dengan tiga daripadanya didakwa pada bulan Oktober.

Pihak berkuasa juga mengesan sepuluh kes penyeludupan melibatkan vape di lapangan terbang, pusat pemeriksaan darat dan terminal pelayaran dalam tempoh sembilan minggu lalu.

Dua orang diberi amaran keras, lima didenda, dan dua didakwa di mahkamah. Satu kes masih dalam siasatan. Lebih 26,000 vape biasa dan komponen berkaitan dirampas, menurut MOH dan HSA.

HSA juga mengeluarkan lebih 570 senarai penjualan online, laman web yang melanggar undang-undang dan kumpulan Telegram berkaitan vape sepanjang sembilan minggu lalu.

Agensi itu menyatakan bahawa lebih 2,600 kes aktiviti vape biasa telah dilaporkan melalui borang online dan talian bantuan mereka, bagi membolehkan mereka menjalankan penguatkuasaan yang disasarkan.

Sehubungan itu, operasi penguatkuasaan bersama telah dijalankan antara 8 dan 10 Oktober di kawasan Khatib, Yishun dan Punggol.

Lima individu berusia antara 15 hingga 37 tahun telah ditangkap dan didenda di tempat kejadian.

MOH dan HSA berkata pemerintah akan terus memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan untuk berhenti menggunakan vape.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita