Skip to main content

Singapura

Rampasan terbesar 9.5kg heroin pada 2024, lelaki 67 tahun diberkas

Anggaran Waktu Membaca:
Rampasan terbesar 9.5kg heroin pada 2024, lelaki 67 tahun diberkas

Dadah dirampas daripada seorang lelaki berusia 67 tahun pada 14 Ogos 2024, termasuk sejumlah 9.5 kg heroin dan 2.6 kg Ice. (Gambar: CNB)

SINGAPURA: Sejumlah 9.5 kilogram heroin disita dalam satu rampasan dadah heroin terbesar tahun ini, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Jumaat (23 Ogos).

Seorang lelaki warga Singapura berusia 67 tahun ditangkap kerana memiliki dadah heroin itu pada 14 Ogos.

Selain heroin, para pegawai turut menemui 2.6kg Ice (juga dikenali sebagai kristal methamphetamine), 4,182pilt Erimin-5, 171g pil methamphetamine, 18g ecstasy, lima botol metadon dan wang tunai lebih S$25,000.

CNB menganggarkan dadah itu bernilai sejumlah S$1.4 juta (AS$1.1 juta).

Rampasan dadah itu adalah sebahagian daripada operasi dari 12 Ogos hingga 23 Ogos yang dijalankan di pelbagai kawasan termasuk Bukit Timah, Ghim Moh, Mountbatten dan Hougang.

Secara keseluruhan, agensi antidadah menahan 113 suspek pesalah dadah dan merampas pelbagai dadah dianggarkan bernilai S$1.54 juta, termasuk kira-kira 9.8kg heroin, 3.3kg Ice dan 620g ganja.

Suspek paling muda yang ditahan ialah seorang pelajar lelaki Singapura berusia 15 tahun, disyaki kerana penyalahgunaan dadah. Dia ditemui dengan "sejumlah kecil" Ices pada 19 Ogos, kata CNB.

Dalam satu siasatan susulan, seorang lagi pelajar lelaki 15 tahun ditangkap kerana disyaki mengedar dadah.

"Ini adalah peringatan tegas kepada semua, bahawa kita tidak boleh pandang ringan terhadap situasi dadah remaja. Kita mesti terus melibatkan belia kita mengenai topik dadah dan bahaya akibat dadah," kata Timbalan Penolong Pesuruhjaya Saherly Limat, yang juga pengarah penguatkuasaan di CNB.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam pendidikan mengenai pencegahan dadah, supaya mereka tidak mendapat maklumat melalui saluran yang meragukan dan mula terjerumus dalam kancah dadah."

Siasatan terhadap kesemua suspek yang ditahan sedang dijalankan.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita