Ramli Sarip duta Kempen Pengumpulan Dana Tabung Sedekah Subuh 2022 kendalian Jamiyah

(Gambar: Jamiyah Singapura)
SINGAPURA: "Papa Rock" Ramli Sarip dilantik menjadi duta 'Kempen Pengumpulan Dana Tabung Sedekah Subuh 2022' kendalian Jamiyah Singapura.
Selaku duta kempen tersebut, penghibur veteran itu akan "mendekati masyarakat dan menggalakkan orang ramai menyokong program dan perkhidmatan yang disediakan oleh Jamiyah".
Demikian dedah badan sosial dan keagamaan itu hari ini (17 Feb) menerusi satu kenyataan media.
Wang yang dikumpul akan digunakan untuk kerja-kerja kebajikan kendalian Jamiyah Singapura, termasuk agihan makanan, pembelian barangan keperluan untuk keluarga yang memerlukan, program pendidikan bagi kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dan program dakwah badan itu.

Antara sumbangan pertama Ramli Sarip selaku duta tersebut ialah menghasilkan sebuah lagu baru berjudul 'Hadirkan Kasih & Sayang'.
Bait-bait liriknya menyelitkan seruan beliau agar orang ramai menabung lalu menyedekahkannya kepada para penerima bantuan Jamiyah.
Ini sekali gus menjadi salah satu sumbangan beliau membela nasib mereka yang kurang bernasib baik.
Menurut Jamiyah, Ramli Sarip sebenarnya sudah lama menawarkan khidmat secara sukarela kepada mereka.
Bagi Ramli Sarip pula pelantikan selaku duta itu dianggapnya sebagai satu "panggilan".
"Ini satu anugerah dan rezeki. Saya terpanggil… saya ditanya apa sumbangan yang boleh saya berikan untuk membuat sesuatu yang baik," kata penyanyi veteran itu.
APA ITU KEMPEN 'TABUNG SEDEKAH SUBUH'?
Pasti ada yang tertanya-tanya: Apa itu kempen Tabung Sedekah Subuh Jamiyah yang dipimpin Ramli Sarip sekarang ini?
Konsepnya ternyata cukup unik. Mereka yang mendaftarkan minat untuk menyertai kempen ini umumnya akan mendapat satu tabung berbentuk tin yang dihantar ke rumah masing-masing.
Para peserta kemudian diajak untuk menabung setiap hari pada waktu Subuh.
“Tabung Sedekah Subuh membolehkan orang ramai untuk beramal tanpa perlu keluar rumah. Kami ingin mendorong orang ramai untuk bersedekah di waktu subuh, kerana ia adalah satu amalan yang sangat digalakkan," kata Pengarah Jabatan Pengumpulan Dana Jamiyah Singapura, Encik Siraj Salman.
Apabila tabung itu penuh, penderma seterusnya boleh memulangkan tabung itu kepada Jamiyah.
Pendek kata, kempen ini tidak sahaja menggalak seseorang menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Ia juga bertujuan memupuk sifat suka bersedekah dan menabung dalam kalangan penerima bantuan.
DAPAT PERCUMA ALBUM TERBARU RAMLI SARIP JIKA SUMBANG LEBIH S$200
Dengan Ramli Sarip kini menjadi duta kempen Jamiyah, ada juga satu peluang keemasan untuk para peminat Papa Rock itu mendapat album terbarunya secara percuma - sambil beramal.
Mereka yang menabung dan menyumbang lebih S$200 setiap tin, boleh mendapatkan album 'Rasa' sebagai cenderamata dari Jamiyah Singapura.
Album yang memuatkan 10 buah lagu itu diterbitkan pada September tahun lalu.
Ini cara-caranya jika anda berminat mendapatkan tin-tin Tabung Sedekah Subuh:
- Kunjungi Jamiyah Singapura di 31 Geylang Lorong 12, Singapura 399006
- Hubungi Jamiyah menerusi talian 67440150 atau 96334630
- Kirimkan emel kepada info [at] jamiyah.org.sg
Ramli Sarip sendiri sudahpun sempat melakukan lawatan ke beberapa kedai, gerai makanan dan rumah penderma untuk mengagihkan tabung tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.