Skip to main content

Singapura

Ramai warga S'pura mahu subsidi tambahan bagi flat HDB di kawasan nilai tinggi

Kebanyakan warga Singapura menyokong idea memberi subsidi perumahan tambahan agar flat-flat HDB di kawasan bernilai tinggi masih mampu untuk dibeli. Ini berdasarkan maklum balas daripada lebih 6,500 orang sejak idea itu ditimbulkan pada pertengahan November lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Jul 2021 06:26PM Dikemas Kini : 04 Jul 2021 08:44PM

SINGAPURA: Kebanyakan warga Singapura menyokong idea memberi subsidi perumahan tambahan agar flat-flat HDB di kawasan bernilai tinggi masih mampu untuk dibeli.

Ini berdasarkan maklum balas daripada lebih 6,500 orang sejak idea itu ditimbulkan pada pertengahan November lalu.

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee memberikan perkembangan terbaru itu semasa satu acara pada Ahad (4 Jul) tentang model perumahan awam bagi kawasan nilai tinggi.

Encik Desmond Lee berkata cara menyesuaikan dasar dan strategi perumahan awam dalam beberapa tahun dan dekad akan datang mesti sejajar dengan perubahan demografi dan masyarakat di negara ini.

Beliau menambah, model perumahan baru bagi flat-flat HDB di kawasan bernilai amat tinggi adalah satu dasar sosial utama.

Ia bukan hanya melibatkan isu rumah atau potensi peningkatan nilai pelaburan tetapi juga masyarakat lebih luas.

Saranan-saranan yang diberikan termasuk menjual semula flat sedemikian kepada pemerintah, tempoh penghunian lebih lama dan berperingkat bergantung kepada saiz flat dan mengadakan syarat kelayakan bagi pembeli flat jualan semula.

Hasil pengumpulan maklum balas itu mungkin dikongsi menjelang hujung tahun ini.

Perincian dan format bagaimana ini akan dilakukan sedang disiapkan.

Encik Lee akui skim perumahan awam tidak sempurna dan ada ruang untuk diperbaiki.

Namun beliau berkata usaha sedang dilakukan untuk menjadikan lebih baik dasar-dasar yang telah digubal sejak beberapa generasi lalu dan sudah melalui beberapa perubahan.

Ia, katanya, perlu dikaji dengan berhati-hati kerana setiap orang mempunyai kepentingan, pertimbangan dan keutamaan masing-masing. 

Sumber : CNA/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita